Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Fathul tegar pertahan agama



Fathul tegar pertahan agama
Oleh Fouziah Amir

SINONIM dengan gelaran ulama muda, personaliti Kampus Legend kali ini bukanlah calang-calang orang yang disegani ramai. Orang yang dimaksudkan ialah Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (iLMU), Dr Fathul Bari Mat Jahya, 34.

Anak kelahiran Kampung Hilir, Kepala Batas, Kedah merupakan anak sulung kepada pasangan bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin dan Datin Naimah Jaafar.

Menceritakan latar belakang dirinya, Fathul dipelihara oleh Allahyarham datuk, Jaafar Ahmad dan neneknya, Fatimah seawal usianya 40 hari, apabila kedua ibu bapanya melanjutkan pelajaran di Mesir.

“Datuk saya, guru al-Quran dan imam, sentiasa menjadi rujukan dan menguruskan isu dalam masyarakat di Kepala Batas dan Ayer Hitam, Kedah. Sejak kecil, saya dibawa datuk ke mana-mana dan dari situ saya terkesan dengan cara didikannya," katanya.

Di zaman persekolahannya di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, Kangar dan Sekolah Menengah Agama Arau, Perlis, Fathul mewakili negeri Perlis dalam pertandingan menghafaz al-Quran pada 1990 (johan), 1991 (naib johan), 1992 (johan), 1994 (johan) dan 1995 (johan). Beliau juga menerima Anugerah Tokoh Nuzul Al-Quran Remaja Kebangsaan 1995.

Sekembali ayah Fathul pulang dari Mesir dan menjadi Mufti Perlis pada 1984, dan ibunya sebagai guru agama (syariah) di SMA Perempuan, Kangar, Fathul meneruskan pembelajaran al-Quran untuk memperbaiki makhraj dan tajwid.

"Emak ayah saya sangat tegas dalam mendidik kami empat beradik. Sesiapa malas solat atau mengaji, kena rotan. Itu pentingnya ketegasan dalam pendidikan awal dan ini memberi kesan kepada kami berjaya dalam bidang agama,” katanya.

Pengaruh pengajian

Fathul menghafaz 30 juzuk al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu pada 1996 -1999 dan bergelar juara empat tahun berturut-turut dalam pertandingan menghafaz al-Quran di peringkat negeri Terengganu.

Di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau banyak terlibat dalam gerakan mahasiswa dan kepimpinan, termasuk menjadi Pengerusi Biro Dakwah dan Tarbiah Kolej Umar Al Khatab, dan Presiden Persatuan Pelajar Islam Perlis.

Fathul berkata, penglibatan pelajar dalam gerakan kemahasiswaan adalah penting dalam membina kepimpinan diri, pengurusan, pentadbiran dan perhubungan masyarakat di dalam dan luar kampus.

“Pelajar perlu imbangi penglibatan antara gerakan kemahasiswaan dan pembelajaran. Orang yang hanya fokus belajar, tidak terdedah dengan pelbagai pengalaman.

“Saya pernah ponteng kuliah kerana meletakkan keutamaan perjuangan menegakkan Islam.

"Masa itu saya masih berada tahap kurang matang cara berfikir.

"Saya terlibat dengan politik tanah air sebagai koordinator gerak saraf dalam Pilihanraya Umum (PRU) 1999 dan menjadi wakil pelajar di Slim River," kata Pengerusi Biro Pemuda IPT (PPUM) dan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.






Sahut cabaran

Pandangan Fathul mengenai politik kemudiannya berubah sejak belajar di Fakulti Hadis dan Pengajian Islam, Universiti Islam Madinah, pada tahun 2000. Beliau tidak terlibat dalam politik kerana menganggapnya membuang masa dan sentiasa mencari kesalahan manusia.

"Ini mungkin saya terkesan dengan pengajian hadis dalam mempelajari Sahih Imam Muslim dan Sunan Abi Daud. Kedua-duanya banyak menyentuh isu pemerintahan, komunikasi dan tanggungjawab pemerintah serta rakyat.

“Politik itu merugikan jika tak diuruskan dengan baik dan ia memberi kesan kepada agama itu sendiri. Akhirnya agama digunakan dan dimanipulasikan bagi memenuhi kepentingan politik dan sesiapa sahaja,” katanya.

Di Madinah, Fathul banyak belajar daripada ulama Ahlus Sunnah terkemuka di bilik kuliah dan Masjid Nabawi, antaranya pakar hadis Sheikh Abdul Muhsin Al Abbad, Prof Dr Sheikh Ibrahim Ar Ruhaili dan Sheikh Waili (dalam ilmu fiqh), Prof Dr Anis Tohir (bidang hadis Aljarah wa ta'dil - ilmu berkaitan dengan penilaian perawai hadis) dan Prof Dr Hikmat Basher (penulis kitab Tafsir As Sahihul Masbur Fi Tafsir Bil Maksur).

Setelah tamat pengajian 2004, Fathul mendirikan rumah tangga dengan Siti Aisyah Mohd Nor, 32, dan dikurniakan dua cahaya mata, Fathul Islam dan Fathul Iman. Di penghujung 2005, beliau mengikut jejak langkah isterinya, untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah lanjutan dalam bidang hadis dan usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan.

Fathul mengikuti pengajian ilmu dengan tokoh ilmuwan seperti Dr Yasir Asshamali (pakar hadis), Dr Bahjad (perbandingan agama), Sheikh Taufik Bambrah (pengajian al-Quran dan qiraat), Sheikh Solah Abdul Fatah Al Khalidi (pakar tafsir), Syeikh Ali Hassan Al, Sheikh Mashur Hassan Salman (pakar hadis), Dr Mustapha Bugho (pakar fiqh Shafie), Sheikh Abu Toriq Ehsan Al Utaibi (Sirah) dan Sheikh Ahmad Al Manna'ie (tafsir).

“Pembiayaan pengajian saya di Jordan dibantu Datuk Seri Shahidan Kassim di bawah Yayasan Pok dan Kassim, selain penyumbang peribadi, tokoh korporat Datuk Hasnur Rabian. Manakala pengajian isteri saya ditaja oleh Mara,” kata Fathul yang kemudian menyambung belajar peringkat doktor falsafah dalam bidang hadis di UIAM pada 2007, bagi memenuhi hasrat ibu kesayangannya.

Dalam bidang politik, nama Fathul menonjol semenjak penyertaan beliau dalam kumpulan 40 ulama muda menyertai Umno pada 25 Jun 2010.

Titik temu penyelesaian

Pada awalnya, Fathul tidak bersetuju terlibat politik. Setelah diberitahu bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Shahidan bahawa Umno janjikan platform agamawan untuk bersuara, jadi beliau melihat itu peluang terbaik untuk sertai dan beri pandangan secara langsung kepada pemimpin dan pemerintah.



“Bila saya sudah bersama Umno, kita manfaatkan hubungan yang ada untuk menegur dan memperbetulkan kesalahan sesuatu dengan cara berhemah seperti dalam satu keluarga.

“Saya dan sahabat kemudian mewujudkan Pertubuhan Ilmuwan Malaysia dan mencipta platform melalui YouTube yang akhirnya media arus perdana mengambil pendapat dan pandangan kita,” kata Penasihat Agama Penerangan Umno Malaysia ini.

Fathul menghargai pemimpin Umno yang tidak menyekat atau menghalang untuk golongan agamawan bercakap. Namun beliau tidak dapat lari daripada cabaran apabila sesetengah pihak media mengambil kenyataannya mengikut kepentingan masing-masing dan ini boleh menimbulkan salah faham pelbagai pihak, di samping persepsi awam di luar sana menghukum agamawan tak bersuara.

"Parti politik tak boleh gunakan isu agama untuk jatuhkan parti lawan. Itu tidak betul, itu salah...

"Sepatutnya dalam setiap isu agama, kita patut cari titik temu penyelesaian untuk menonjolkan agama dan bukan untuk mengangkat parti politik tertentu.

“Oleh itu saya sentiasa bermuhasabah dan berterima kasih kepada sahabat sekeliling saya yang membantu tanpa ada kepentingan.

“Nasihat saya, kita berkawan bukan untuk penuhi kepentingan, tetapi bertemu, berhubung dan bersahabat kerana ALLAH SWT. Itu akan memberkati perjuangan kita,” ujarnya penuh bermakna.

Artikel ini disiarkan di Sinar Harian








Like | Follow | Subscribe

Facebook (Please Like)
Twitter (Please Follow)
Youtube (Please Subscribe)
Google+ (Please Follow)
Instagram (Please Follow)
Feed Burner (Please Subscribe)
Fathul tegar pertahan agama Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:00 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.