Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Bala berganda, apabila bencana dipropaganda



BENCANA banjir mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal, kerugian dalam perniagaan, ada yang dijangkiti penyakit dan anak kecil sudah tidak punyai peralatan untuk memulakan sesi persekolahan.

Sesungguhnya segalanya milik ALLAH SWT dan hanya kepada-Nya tempat kembali. Bersabarlah, semoga semua ini menjadi kafarah dan jika kita reda atas semua kehilangan ini ALLAH akan menggantikan sesuatu yang lebih baik. Insha-ALLAH.


Berita palsu

Rentetan kisah duka ini sebenarnya ALLAH timpakan kepada kita supaya kembali kepada-Nya. Namun menyedihkan apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan isu bencana ini sebagai propaganda untuk kepentingan sendiri.

Dengan kemudahan komunikasi canggih hari ini, perkhabaran yang belum tentu sahih disebarkan dengan pantas dan meluasnya melalui Facebook, Twitter, Instagram, blog dan lain-lain. Semuanya di hujung jari.

Tidak dinafikan jaringan sosial banyak manfaat, tetapi ia juga menjadi musibah sekiranya tiada kesedaran sivik yang tinggi. Rasulullah SAW mengingatkan kita sejak 1400 tahun yang lalu perihal bahayanya komunikasi.

Sabda Rasulullah SAW: "Zaman menjadi dekat (pendek), ilmu berkurangan, dicampakkan kebakhilan (dalam jiwa) dan banyaknya haraj". Sahabat bertanya: "Apa itu haraj’? Nabi SAW menjawab: "Bunuh dan bunuh". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Syaikh Ibnu Baz menjelaskan makna dekat ini sebagai komunikasinya menjadi mudah. Kini, media komunikasi serba canggih inilah segala urusan komunikasi menjadi sangat mudah dan cepat.

Hari ini, pesawat hebat dicipta dan harganya makin murah, gajet seperti mesin faks, komputer, internet dan telefon pintar yang canggih dicipta untuk berkomunikasi tanpa sebarang halangan. Terbukti kata-kata Rasulullah SAW perihal suatu masa zaman akan menjadi dekat (pendek).

Kesan komunikasi yang mudah ini menjadikan manusia semakin mementingkan diri. Di kala bencana berlaku pun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah yang mendatangkan musibah yang lebih besar. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana bertentangan dengan akhlak sebagai seorang Muslim.

Antara kesan penyebaran berita palsu:

1. Mengganggu kestabilan dan keharmonian negara.
2. Mengancam nyawa pasukan penyelamat.
3. Mendatangkan permusuhan sesama Islam.
4. Menimbulkan resah gelisah rakyat, gangguan emosi dan kecelaruan akidah.
5. Mendatangkan kemudaratan kepada mangsa banjir.

Tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menjalankan siasatan berkenaan berita palsu di laman sosial sememangnya wajar bagi memberi pelajaran kepada orang ramai dan agar perkara ini tidak berulang kembali.






Penyelesaian fitnah

1. Memeriksa dengan teliti (tabayyun) dan berhati-hati (tasabut)

Imam Asy Syaukani rahimahullah berkata: "Dimaksud tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksudkan dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya." (Fathul Qadir, 5:65)

ALLAH berfirman: "Wahai orang beriman, apabila datang kepada kalian orang fasiq dengan membawa berita, maka periksalah dahulu dengan teliti, agar kalian tidak menuduh suatu kaum dengan kebodohan, lalu kalian menyesal akibat perbuatan yang telah kalian lakukan." (Surah Al- Hujurat: 6)

Kitai perlu ada tasabuh dan tabayyun terlebih dahulu sebelum berkongsi maklumat di media sosial. Semak, kaji dan cari sumber yang betul. Elakkan berkongsi perkara yang kita tidak ada ilmu mengenainya. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada yang ahli. ALLAH SWT berfirman, setiap pendengaran, penglihatan dan hati kita kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH. Jadi ittaqillah! Takutlah kepada ALLAH.


2. Elakkan bersangka buruk

Sebagai orang beriman, kita harus terima semua ini sebagai qada dan qadar. Reda atas ketentuan ALLAH dan bersabar dalam menghadapi ujian. Elakkan menyalahkan pihak tertentu. Contohnya, bersangka-sangka dengan setiap bantuan yang dihulurkan untuk orang tertentu. Ketepikan politik di waktu sukar ini. Hadapi ujian ALLAH dengan ketakwaan.

ALLAH berfirman lagi: "Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". (Surah Al-Hujuraat: 12)


3. Mesyuarat dan berbincang

Sebagai Masyarakat kita perlu membiarkan perkara ini diuruskan oleh pemerintah (ulul amri) kerana pengetahuan kita hanya pada sebahagian perkara sahaja. Sedangkan pemerintah mengetahui keseluruhan permasalahan dan seharusnya setiap permasalahan perlu berlandas al-Quran dan Sunnah.
Begitu juga halnya dengan isu bencana banjir ini. Serahkan kepada yang ahli untuk mereka bermesyuarat dan kita hendaklah mendengar segala maklumat daripada mereka. Kerana mereka berpengetahuan lebih daripada kita.


4. Memilih maklumat daripada sahabat yang baik

Pengguna media sosial dinasihatkan agar berhati-hati dalam menyampaikan maklumat. Lihat dahulu siapa yang mengeluarkan maklumat itu. Fikir, kaji dan siasat dahulu kebenarannya.

Kadangkala mereka ini terlebih emosi dalam penulisannya sehingga tidak sedar apa yang disampaikan boleh menjadi fitnah sehingga menimbulkan resah gelisah dan mempengaruhi orang lain. Jadi, pilihlah maklumat dari sahabat yang baik dan menyampaikan maklumat yang benar.

Kesimpulannya, lihatlah setiap apa yang terjadi daripada sudut positif, bencana yang berlaku ini juga adalah teguran daripada ALLAH buat hamba-Nya yang sentiasa alpa.

Oleh itu, marilah kita sama-sama kembali kepada ALLAH dengan melakukan apa yang disuruh oleh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Apabila ada segelintir daripada kita melakukan kemaksiatan dan mendatangkan murka ALLAH. Maka segala kerosakan di muka bumi ini ini adalah hasil daripada tangan kita sendiri. Hentikanlah segala khabar berita yang diada-adakan.

Takutlah kepada ALLAH. Sesungguhnya kita diciptakan punya tujuan di muka bumi ini. Jadilah manusia yang bermanfaat buat ummah.

ALLAH berfirman: "Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah Al-Mukminun: 115) - Sinar Harian








Like | Follow | Subscribe

Facebook (Please Like)
Twitter (Please Follow)
Youtube (Please Subscribe)
Google+ (Please Follow)
Instagram (Please Follow)
Feed Burner (Please Subscribe)
Bala berganda, apabila bencana dipropaganda Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:42 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.