Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Menyentuh anjing: Keterbukaan & sensitiviti agama




Menyentuh anjing: Keterbukaan & sensitiviti agama

BARU-BARU ini satu program khas bertajuk Keterbukaan Vs Sensitiviti Lazim, telah dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (Akhi).

Perbincangan berlangsung antara saya dan penganjur program I Want to Touch a Dog, Syed Azmi Alhabshi. Banyak persoalan, penjelasan, dan perbincangan yang berlangsung di hadapan hampir 100 penonton ini.

Mungkin ramai menyangka ini adalah isu yang kecil dan tidak perlu diperkatakan. Namun sedar atau tidak isu ini memberi impak besar kepada sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Isu ini membuatkan ramai pihak terutama masyarakat Islam di Malaysia marah dan terkejut dengan tindakan pihak penganjur.

Kembali pada tajuk menyentuh anjing dan hukumnya. Bagaimana sifat keterbukaan kita dalam isu program menyentuh anjing ini, dan apa pandangan berkenaan dengan sensitiviti lazim masyarakat Islam di Malaysia.


Hukum menyentuh anjing

Menyentuh anjing tidak kira haiwan itu dipelihara atau yang bukan dipelihara, hukumnya harus bagi yang ada keperluan menyentuhnya. Contohnya membantu anjing yang dalam kesusahan atau tersepit, tetapi haram hukumnya jika menyentuh anjing tanpa keperluan dan secara sengaja.

Dalam Islam terdapat dua kategori anjing yang dibolehkan untuk dipelihara. Antaranya anjing yang dipelihara untuk menjaga tanaman dan buruan, seperti pihak berkuasa yang menggunakan perkhidmatan anjing pengesan untuk mengesan dadah dan menjejak penjenayah.

Namun, tidak dibenarkan dalam Islam dengan menjadikan haiwan tersebut sebagai peliharaan di rumah. Terdapat hadis sahih mengenai hukum menyentuh dan memelihara anjing di rumah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing jalanan (untuk tujuan menjaga ternakan atau keselamatan) dan anjing pemburuan, maka berkuranganlah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirat (sebesar Gunung Uhud). (Riwayat Bukhari & Muslim)


Keterbukaan dalam Islam

Islam, agama yang mengamalkan sikap keterbukaan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya agama itu mudah dan tidaklah seseorang itu menyulitkan agama melainkan dia sendiri dikalahkan..." (Riwayat Bukhari)

Namun keterbukaan itu ada batasnya, dan kadang-kadang kita meletakkan logik akal itu mendahului segala sesuatu. Dalam Islam logik dan keterbukaan perlu ada batasnya. Maka dalam hal tertentu seperti bab agama, logik akal harus diketepikan.

Contoh dalam satu hadis menjelaskan perihal pentafsiran antara logik dan dalil. Daripada Ali RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya agama dengan logiknya, maka tentu bahagian bawah khuf (kasut) sepatutnya lebih perlu untuk disapu daripada atasnya.

Sungguh aku pernah melihat Rasulullah SAW menyapu bahagian atas khufnya (kasutnya).” (Riwayat Abu Daud 162 dan Ibnu Hajar. Disahihkan Syaikh Al Albani)


Sifat cuai dalam agama

Dalam Islam segala aspek diajar dan dijelaskan tidak ada istilah Islam itu tidak mengikut peredaran masa mahupun Islam itu sempit. Sempit adalah pemikiran kita sendiri yang jahil dan malas dalam menuntut agama ALLAH ini.

Jangan kerana sifat diri yang bodoh sombong terhadap ALLAH SWT dan memandang lekeh hadis Nabi Muhammad SAW membuat kita buta mata dan buta hati mengenai realiti keindahan, kehebatan dan keagungan Islam.

Tahukah setiap persoalan dan jawapan dalam kehidupan ini ada terkandung dalam agama Islam. Cuma diri kita yang jahil ini tidak mengetahuinya. Dan apabila didorong dengan perasaan malas untuk menuntut ilmu dan bertanya maka wujudlah perkara yang bercanggah dengan agama.

ALLAH SWT berfirman: "Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi ALLAH, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak dalamnya.” (Surah An-Nisaa’: 82)

Firman ALLAH: "Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau ada atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" (Surah Muhammad: 24)


Sensitiviti masyarakat Islam

Antara perkara yang perlu dalam bersifat keterbukaan adalah dengan memikirkan sensitiviti masyarakat Islam pada hari ini kerana perkara tersebut mampu mendatangkan musibah dan pelbagai perspektif. Malah boleh mendatangkan fitnah kepada diri. Oleh itu, sebelum ingin bersifat keterbukaan, sensitiviti masyarakat harus dijaga kerana program untuk menyentuh anjing ini adalah sesuatu yang janggal bagi umat Islam di negara kita. Tambahan pula terdapat penyebaran gambar masyarakat Islam yang dengan sengaja menyentuh dan
memeluk anjing tersebut di media sosial.

Islam jelas mengajar dan memberi pertunjuk dalam hal ini, sebagaimana Rasulullah SAW ajarkan. Dalam satu kisah, Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa Baginda SAW tidak merobohkan Kaabah dan membina semula seperti binaan Nabi Ibrahim AS.

Jawab Rasulullah SAW: "Wahai Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih baru dengan kesyirikan (baru memeluk Islam), dan jika bukan kerana aku tidak memiliki peruntukan untuk membangunkannya, nescaya aku akan infaqkan perbendaharaan Kaabah di jalan ALLAH dan aku akan runtuhkan Kaabah dan ratakan dengan tanah, kemudian aku akan membinanya semula di atas asas binaan Ibrahim." (Riwayat Bukhari)

Lihat, Nabi Muhammad SAW tidak merobohkan Kaabah, sebaliknya Baginda SAW membiarkannya sehingga kewafatannya.

Sahabat Nabi Muhammad SAW juga, semuanya tidak merobohkan Kaabah. Mereka membiarkan Kaabah sampai ke hari ini kerana menjaga sensitiviti dan adat masyarakat Arab.


Ihsan dituntut dalam Islam

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya ALLAH mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa." (Riwayat Muslim)

Lihat bagaimana Rasulullah SAW dan Islam mengajar kita dalam bersifat ihsan terhadap haiwan. Begitu juga dalam bersifat ihsan terhadap anjing. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menceritakan mengenai haiwan dan sifat ihsan manusia terhadapnya.

Diriwayatkan Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israel melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka ALLAH mengampunkan dia kerana perbuatannya itu." (Riwayat Bukhari, sahih)

Rasulullah SAW bersabda: "Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk makan serangga di tanah.”(Riwayat Bukhari, sahih)


Perspektif & hukum

Mengikut fahaman Mazhab Imam Maliki, anjing bukan najis. Namun mengikut Mazhab Imam Syafie, anjing adalah najis besar dan ini antara pandangan yang lebih kuat, dan sedia maklum masyarakat Islam di Malaysia bermazhab Imam Syafie.

Dalam al-Quran dan hadis banyak menyebut mengenai anjing dan perumpamaannya seperti dalam kisah As Habul Kahfi. Tentang kisah benar yang diceritakan dalam al-Quran mengenai beberapa pemuda dan seekor anjing peliharaan mereka yang ditidurkan oleh ALLAH
SWT di dalam sebuah gua serta dibangunkan semula selepas 309 tahun.

Namun dalam Mazhab Syafie, anjing adalah najis besar oleh kerana air liur dan jilatan anjing itu adalah najis. Air liur anjing yang terkena pada kita perlu disamak dan disertu.

Kita sedia maklum anjing antara haiwan yang gemar menjilat bulu di badannya. Maka jika bulu di badannya basah dan kita menyentuhnya, ia perlu disamak. Ini adalah pendirian Mazhab Imam Syafie dan Ulama Imam Hambali.

Kesimpulannya, untuk bersifat keterbukaan dalam sesuatu urusan berkaitan dengan agama, ia harus dikaji dan dirujuk terlebih dahulu dengan pihak sepatutnya. Dalam masa sama, kita perlu menjaga sensitiviti masyarakat dalam keterbukaan sifat itu.

Artikel ini disiarkan di Sinar Harian.





Like | Follow | Subscribe

Facebook (Please Like)
Twitter (Please Follow)
Youtube (Please Subscribe)
Google+ (Please Follow)
Instagram (Please Follow)
Feed Burner (Please Subscribe)
Menyentuh anjing: Keterbukaan & sensitiviti agama Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 9:00 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.