Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Wasatiyah tonggak kesatuan Ummah

Ust Dr. Fathul Bari Mat Jahya

Setiap tahun kita berbicara tentang hijrah, penderitaan yang dihadapi oleh Nabi SAW bersama sahabat-sahabatnya kaum Muslimin ketika di Makkah. Mereka disiksa, dipulau, hingga dikeluarkan dari negeri tanah tumpah darah sendiri.

Nabi lari bersama Abu Bakar, bersembunyi di Gua Thur, diburu oleh Arab Jahiliyah, kemudian sampai ke Madinah dan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Berlaku peristiwa pembinaan masjid yang pertama, iaitu Masjid Quba di Madinah, kemudian membina sebuah Negara Islam.

Cerita ini saban tahun kita bahaskan bagi mengingati peristiwa sejarah dan bermuhasabah sejauh mana keadaan kita dengan riwayat sejarah itu. Adakah riwayat itu hanya tinggal sejarah yang kita jadikan bahan cerita tahunan, atau sejarah itu kita terapkan dalam kehidupan seharian untuk kita majukan dan perbaiki diri kita.

Tema Hijrah tahun ini adalah ‘Wasatiyah tonggak kesatuan ummah’. Kita kena hati-hati bila bercakap tentang wasatiyah. Ini kerana ada tiga kelompok yang bercakap tentang wasatiyah; Satu yang benar, dan dua yang salah.

Kelompok pertama, mereka salah faham tentang wasatiyah sehingga menganggap wasatiyah itu merujuk kepada taksub dan keterlaluan dalam memahami prinsip dan nas syarak.

Mereka menamakan gerakannya sebagai gerakan wasatiyah atau gerakan Islam, tetapi menyesatkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, sampai memaksumkan dan mempertuhankan pemimpin-pemimpin mereka. Ini bukan wasatiyah. Ini adalah golongan yang disebut dalam hadis Nabi “Binasalah orang-orang yang melampau-lampau” (Muslim) dan Nabi menyebutnya sebanyak tiga kali.

Sebagai contoh, mereka melarang bergaul dengan manusia, kena asingkan diri, jauhkan diri dari masyarakat. Kalau begitu bagaimana dakwah hendak dilaksanakan? Bagaimana kita hendak amar makruf nahi mungkar? Sedangkan dalam hadis Nabi mengatakan bahawa Mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan mereka.

Ini menunjukkan bahawa wasatiyah yang sebenar adalah kita mencampuri manusia bertujuan untuk memberi nasihat dan teguran, mengajak manusia kepada Islam. Bukan bercampur untuk mengikuti orang buat maksiat.

Golongan kedua, mereka salah faham maksud wasatiyah (sederhana) dengan ertikata memudah-mudahkan dan meremehkan agama ke arah meninggalkan nas-nas Syarak. Contohnya, memandang ringan isu aurat, menganggap tidak mengapa menyentuh dan bergaul bebas lelaki perempuan. Slogan mereka ada bersederhana dalam agama, jangan ekstrim.

Ini adalah salah faham dan kita bimbang istilah wasatiyah ini digunakan sehingga membawa ideologi liberalisme. Mereka menjaja wasatiyah tetapi yang mereka maksudkan adalah pemikiran liberal. Adakah mereka tidak beriman dengan hadis Nabi, “Ditusuk kepala seorang dengan besi, sungguh lebih baik baginya dari menyentuh wanita yang bukan mahramnya.” (Sahih, Al-Thabarani)

Maka tidak boleh sama sekali kita menggunakan perkataan wasatiyah untuk membenarkan suatu yang dilarang dalam Agama. Jadi apakah maksud wasatiyah yang sebenar?

Dalam Al-Quran ada menyebut tentang wasatiyah. Firman Allah, “Dan Kami jadikan kamu umat yang ‘wasata’ agar kamu menjadi saksi bagi sekalian manusia.” (Al-Baqarah: 143)

Ayat ini merujuk kepada Sahabat-Sahabat Nabi, merekalah umat wasatiyah. Nabi sendiri telah memberi tafsiran tentang ayat ini. Kata Nabi, “Wasatiyah itu adalah adil” Ulama membahas panjang maksud adil. Ada yang mengatakan adil itu meletak sesuatu pada tempatnya. Ada yang mengatakan adil itu adalah memberi hak kepada yang berhak.

Allah ada hakNya, kita sebagai hamba kena tunaikan hak Allah. Hamba Allah ada hak, Allah pun tunaikan hak-hak hambaNya. Pemimpin ada hak, rakyat perlu tunaikan hak pemimpin. Rakyat ada hak, pemimpin perlu tunaikan hak rakyat. Anak kena tunaikan hak ibubapa, demikian juga ibubapa kena tunaikan hak anak.

Maka bila masing-masing tunaikan hak ini mengikut lunas-lunas syariat, maka tindakan itu adalah tindakan yang wasatiyah. Ini baru wasatiyah yang sebenar. Sebab itu Allah menggambarkan sahabat Nabi sebagai umat wasatiyah. Mereka adalah generasi yang mengamalkan kesederhanaan, keadilan, bukan sekadar pada nama tetapi mereka benar-benar mempraktikkan dalam kehidupan harian.

Sabda Nabi SAW bagi menggambarkan maksud hijrah, “Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang.” (Sahih Bukhari)

Jadi tidak ada gunanya kita bercakap tentang hijrah kalau kita tidak berusaha meninggalkan apa yang Allah larang. Hijrah bukan terkait dengan parti politik atau gerakan tertentu, tetapi ia terkait dengan setiap individu, sejauh mana dia meninggalkan apa yang Allah larang.

Apabila dia meninggalkan apa yang Allah larang, barulah dia termasuk di kalangan orang yang berhijrah. Itulah yang dilakukan oleh para sahabat Nabi, mereka berhijrah meninggalkan kekufuran kepada keimanan, meninggalkan tempat tinggal mereka yang dikuasai oleh kaum yang mensyirikkan ALLAH dan berhijrah ke tempat orang-orang yang beriman kepada Allah, serta mereka berhijrah (meninggalkan) segala yang Allah larang kepada apa yang Allah redhai. Merekalah umat wasatiyah yang perlu kita contohi dan teladani.

Artikel ini disiarkan di akhbar, Ahad, 08.12.2013
Wasatiyah tonggak kesatuan Ummah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 11:18 PM Rating: 5

2 comments:

  1. tahniah kpd ustaz yg berjaya menjadi exco pemuda UMNO dan berpendirian tegas.. sesungguhnya perjuangan terbuka begini sgt2 dialukan dan ianya satu pengorbanan yg besar. pasti ramai yg mencaci, mencemuh dan sbgnya namun kegigihan n kecekalan ustaz pasti membuahkan hasil akhirnya, insyaallah Allah makbulkan jua.

    ReplyDelete
  2. Semoga selalu dalam Lindungan Allah Ta'ala

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.