Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAWAL ZULHIJJAH

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

zulhijjahSepuluh hari pertama Zulhijjah bermula dengan masuknya bulan Zulhijjah dan berakhir dengan Hari Raya. Rasulullah SAW bersabda tentang fadilat beramal pada 10 hari ini dalam hadis Ibnu Abbas,


“Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad (perang) di jalan Allah?” Jawab Nabi SAW, “Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad bersama hartanya dan nyawanya dan dia tidak kembali dengan satu pun daripadanya.” (Al-Bukhari, Al-Tirmidzi, Ibnu Majah)


Dalam hadis ini Rasulullah menegaskan bahawa amal di 10 hari pertama Zulhijjah lebih dicintai Allah berbanding orang yang berjihad di jalan Allah yakni berperang melawan orang kafir. Jihad sekalipun tidaklah lebih utama berbanding beramal pada 10 hari ini, kecuali jika dia berjihad dengan hartanya dan nyawanya lalu dia mati syahid, barulah ia lebih utama.


Ini menunjukkan keagungan 10 hari pertama Zulhijjah. Abu Osman Al-Nahdi (tabi’in) berkata, “Sesungguhnya para sahabat mengagungkan tiga 10; iaitu 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, 10 hari terawal di bulan Zulhijjah, dan 10 hari terawal dari Muharram.” (Lathaif Al-Ma’arif)


10 hari terawal di bulan Zulhijjah menunjukkan keutamaan mutlak di atas hari-hari lain selama setahun. Tidak ada hari yang lebih utama berbanding 10 hari ini. Malah 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih besar keutamaannya berbanding 10 hari terakhir Ramadhan. Ini kerana Rasulullah SAW menyebut secara umum “tidak ada satu hari pun” di mana amalan soleh lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini.


Sebagian ulama mengkompromikan keutamaan hari ini dengan mengatakan bahawa 10 malam terakhir di bulan Ramadan lebih utama berbanding 10 malam terawal Zulhijjah, kerana di malam 10 akhir Ramadhan ada Lailatul Qadar. Tetapi 10 hari pertama di bulan Zulhijjah (siangnya) lebih utama berbanding siang 10 hari terakhir Ramadhan. Ini pendapat yang dipegang oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Al-Qayyim, dan ramai lagi di kalangan para Ulama.


Adapun Ibnu Rajab rhm., beliau melihat hadis Ibnu Abbas tentang keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ini adalah nas yang menunjukkan keutamaannya secara mutlak (umum), iaitu lebih utama daripada seluruh hari-hari terakhir Ramadhan.


Ibnu Hajar berkata, “Sebab yang menjadikan istimewa sepuluh hari Zulhijjah adalah padanya terkumpul ibadah-ibadah induk iaitu solat, puasa, sedekah, haji, yang tidak terdapat pada hari lain.” (Fathul Bari)

Maka hendaklah kita mengetahui keagungan hari-hari ini, merebut faedah daripadanya. Jangan sampai kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja. Dalam hadis Ibnu Umar ra, Nabi SAW bersabda, “Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk beramal di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah di dalamnya tahlil, takbir dan tahmid.” (Riwayat Ahmad)


Dengan itu juga saya menyeru seluruh kaum Muslimin memperbanyakkan amalan soleh pada 10 hari ini; Haji bagi yang mampu, membaca Al-Quran, solat, zikir, sedekah, puasa, taubat, berbuat baik sesama makhluk, dan pelbagai amal yang mendekatkan diri kepada Allah.


Dukacita kita melihat kebanyakan manusia membiarkan 10 hari ini berlalu dan tidak bersungguh-sungguh merebut kebaikan yang ada padanya seperti mana mereka mengejar keutamaan yang ada pada 10 malam terakhir Ramadhan.


Menjadi tanggungjawab para penuntut ilmu dan sesiapa yang memiliki ilmu supaya memberi kesedaran kepada sesama manusia akan keutamaan hari-hari ini, kerana manusia kebanyakannya lupa, lalai, dan tidak mengetahui, mereka sangat memerlukan peringatan dan ilmu.


Hari yang paling utama untuk puasa pada 10 hari ini adalah pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi yang tidak mengerjakan Haji. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang puasa pada hari Arafah Baginda bersabda, “Aku berharap agar Allah menghapuskan (dosa-dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)


Kemuncaknya, setelah bersungguh-sungguh beribadah pada hari-hari ini, Allah menganugerahkan Hari Raya, di mana umat Islam diharamkan puasa, tetapi disuruh menyembelih korban dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah, setelah melaksanakan solat Eid berjemaah dan mendengar khutbah. Ini adalah sunnah sejak zaman Nabi Ibrahim dan syariat ini tidak terhapus hingga hari ini.


Disiarkan di akhbar pada Ahad, 6 Oktober 2013

KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAWAL ZULHIJJAH Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 8:44 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Selamat hari raya dan saatnya kita kembali ke fitrah dan kembali menjadi manusia yang suci dan akan melakukan perjalanan selanjutnya.

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.