Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Harga barang adalah ketetapan Allah

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

Dalam dunia ini tidak ada yang gembira jika terpaksa bayar lebih untuk satu produk yang sama. Tidak ada yang suka harta berkurang sedangkan pekerjaan dan tanggungan kian bertambah. Semua orang suka kesenangan, keuntungan, rezeki yang lapang, bonus, hadiah, serta pulangan lumayan dari apa yang dibelanjakan.

Namun tidak semua harapan itu terealisasi di alam nyata. Realitinya manusia sering diuji dengan perkara yang dibenci. Dunia bukan Syurga yang semuanya ideal. Manusia yang sedar tahu bahawa dunia dicipta sebagai tempat ujian dan mereka melaluinya dengan cara yang Penciptanya redhai.

Ini kerana setiap ujian datang dari Allah walau tidak secara langsung tetapi melalui pelbagai wasilah sama ada melalui teman rapat, keluarga, pemimpin, orang kaya, dan sebagainya. Buktinya adalah firman Allah, “Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, adakah kamu bersabar. Dan Tuhanmu Maha Melihat.” (Al-Furqan: 20)

Imam Al-Qurtubi rh. ketika mentafsir ayat ini berkata, “Orang sihat adalah ujian bagi orang sakit, orang kaya ujian bagi orang fakir, dan orang fakir tetapi sabar adalah ujian bagi orang kaya. Orang kaya dituntut berbuat adil dengan merasa apa yang dirasakan dan tidak merendahkannya (orang fakir). Orang fakir dituntut tidak hasad terhadap orang kaya dan tidak mengambil sesuatu darinya kecuali apa yang diberi. Semuanya dituntut untuk sabar.” Beliau melanjutkan, “Dan sabar adalah setiap orang menahan diri, iaitu menahan diri dari penentangan, kemalasan dan keluhan.”

Firman Allah, “Apakah manusia mengira mereka dibiarkan berkata ‘Kami beriman’ sedang mereka tidak diuji? Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Kenaikan harga barang adalah sebentuk ujian yang jelas; ujian dalam bentuk kesusahan dan bukan ujian kenikmatan. Ia bukan suatu yang disukai dan bukan suatu yang diraikan. Ia adalah azab, penderitaan bagi orang miskin.

Seseorang yang memiliki akidah yang lurus sentiasa mengaitkan apa yang terjadi baik nikmat mahupun azab kepada Allah. Hal ini ditunjukkan dalam satu peristiwa di mana harga barang di pasar Madinah menjadi mahal pada zaman Nabi. Anas bin Malik ra. berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’”

Para sahabat meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang miskin dapat membeli dengan harga mampu milik. Namun mungkin kita tidak sangka bahawa Baginda enggan memenuhi permintaan itu antaranya kerana bimbang menzalimi peniaga. Jawab Baginda,

“Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu. Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, Dialah Allah yang memberi rezeki. Sungguh aku berharap aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Abu Daud)

Rasulullah mengucapkan hal itu agar dilihat makna di sebalik musibah itu; supaya manusia sabar dan tidak bertindak melampaui batas, dan supaya mereka memerhatikan iman mereka kepada Allah dan memperbaiki hubungan dengan Allah, kerana musibah menimpa disebabkan kelalaian manusia terhadap hak Allah.

Dari hadis ini, para ulama mengatakan bahawa hukum asal harga harus dibiarkan bergantung pada tawaran dan permintaan, pemerintah tidak boleh menetapkan harga. Namun jika mendatangkan mudarat contohnya sebahagian peniaga menguasai pasaran lalu menaikkan harga sewenang-wenangnya sehingga menzalimi manusia, maka dalam hal ini sebahagian ulama membenarkan pemerintah mengawal harga untuk menghilangkan kezaliman dan menegakkan keadilan. Namun jika kenaikan harga itu bukan kerana kezaliman peniaga tetapi kerana berkurangnya jumlah barang di pasaran atau sebab lain yang mempengaruhi ekonomi, maka penetapan harga oleh pemerintah adalah dilarang.

Banyak pelajaran yang boleh dipetik dari hadis yang mulia ini. Pelajaran terpenting adalah akidah; iaitu beriman setiap yang telah terjadi adalah Qadarullah (ketetapan Allah). Ini adalah rukun Iman keenam. Tindakan menyalahkan peniaga, kerajaan, pengundi atau sesiapa saja adalah menyalahi akidah suci ini.

Islam melarang keras umatnya berkalau-kalau atas perkara yang  telah terjadi, contohnya “kalau parti itu memerintah tentu harga barang tidak naik”, kerana ucapan ini membuka pintu Syaitan merosak akidah manusia. Siapa yang mengetahui kecuali Allah? Boleh jadi musibah lebih besar terjadi sekiranya hal itu berlaku. Oleh itu Islam mengajar apabila berdepan situasi yang tidak disukai untuk mengucapkan QaddarAllah wama syaa-a fa’al (Allah telah menetapkan dan Dia berbuat apa yang dikehendakiNya).

Perintah ini sejajar dengan hadis kenaikan harga tadi, juga sabit dalam sabda Nabi, “Jika suatu musibah menimpamu, jangan kamu berkata: ‘Kalau aku lakukan begini tentu akan jadi begini dan begini’. Tetapi ucapkanlah, Qaddarallah wama syaa-a fa’al, kerana ‘kalau’ membuka pintu Syaitan. (Riwayat Muslim)

Di samping itu, menjadi kewajipan atas manusia untuk beriman bahawa yang meluaskan dan menyempitkan rezeki adalah Allah semata, dalam ertikata turun naik harga barang tidak mempengaruhi rezeki. Ini sebagaimana firman Allah, “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Al-Ra’d: 26)

Rezeki yang Allah tetapkan tidak terusik sehingga dicukupkan sampai tiba ajalnya bertepatan sabda Baginda, “Wahai manusia, sesungguhnya seorang kamu tidak akan mati sehingga mendapat seluruh rezekinya secara sempurna. Maka janganlah kamu tidak sabar dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara baik, ambil yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Sahih. Al-Hakim)

Maka petunjuk Syarak mengajar supaya tidak menyalahkan takdir, sebaliknya memperbaiki keadaan dengan cara yang syar’i, memperelokkan hubungan dengan Allah, bertaubat atas dosa, memohon pertolongan dan bertawakkal hanya kepada Allah. Sabda Nabi SAW, “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan tawakkal yang sebenar pasti Allah memberi kamu rezeki sepertimana Dia memberi burung rezeki. Burung pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petangnya dalam keadaan kenyang.” (Sahih. Al-Tirmizi)

Bukanlah rezeki menjadi luas dan sempit kerana manusia, kerajaan atau diri sendiri, sebaliknya semua dari Allah. “Segala nikmat yang ada padamu dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” (Al-Nahl: 53)

Allah SWT berfirman, “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan jadikan baginya jalan keluar dan dia akan diberi rezeki dari arah yang tidak pernah dia sangka.” ( At-Talaq: 2-3)

Kita juga dituntut memperbanyakkan syukur, sedekah dan istighfar yang dengannya Allah akan tambahkan nikmat dan rezeki. Jika kita melakukannya dengan cara yang benar dan sabar, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 08/09/2013

557474_533511990055101_1874538294_n
Harga barang adalah ketetapan Allah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:51 AM Rating: 5

4 comments:

  1. STUPID ASSHOLE......

    ReplyDelete
  2. Teruskn menuntut ilmu ustaz.... http://www.al-ahkam.net/home/fathul-bari-kata-harga-barang-ketetapan-allah-apa-komen-syeikh-al-qaradhawi

    ReplyDelete
  3. Seorang Insan10 September, 2013

    Lawak la ustaz ni...Memang la semua ketentuan Allah....namun pemimpin sepatutnya pikir cara yang lebih baik untuk menangani masalah ekonomi negara. Yang kerajaan naikkan harga minyak buat apa, sebab dah confirm akan ada domino effect yg negatif... Ops...kurangkan subsidi bukan naikkan harga minyak...sebab harga minyak tetap 1.90 pada hakikatnya...tapi subsidi dah kurang 20 sen...hehehe..

    ReplyDelete
  4. […] Ini rujukan asal :  http://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/09/08/harga-barang-adalah-ketetapan-allah/ […]

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.