Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

3 TANDA ORANG YANG BENAR CINTANYA KEPADA SAHABAT NABI

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

sahabat nabiPerlu diketahui bahawa di antara konsekuensi kecintaan yang benar kepada sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang diamalkan Salaf Al-Soleh adalah sebagai berikut;

Pertama: Mendoakan dan meminta rahmat bagi mereka (para sahabat radhiyallahu ‘anhum). Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah Al-Hasyr,

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ


“Orang-orang yang datang sesudah mereka (sesudah Muhajirin dan Ansar) berdoa, “Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau jadikan di dalam hati kami perasaan dengki terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Lembut lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Hasyr, 59: 10)

Ini adalah antara adab dan cara kita berdoa memohon dan meminta kebaikan bagi para sahabat Nabi, iaitu orang yang pasti telah mendahului kita dalam beriman kepada Allah dan Rasul serta mendahului kita di dalam kebaikan. Apabila kita berdoa, hendaklah kita memohon kebaikan dan rahmat untuk mereka. Inilah yang dipraktikkan oleh Salaf. Jangan kita tinggalkan puji-pujian kepada Sahabat Nabi dengan menyebut radhiyallahu ‘anhum ajma’in.

Ada seorang tokoh dalam kelompok tertentu apabila kita berbual dengannya dan bertanya, mengapa si fulan yang mendapat kedudukan yang tinggi dalam kelompok itu, dia apabila bercakap tidak ada puji-pujian ke atas para sahabat Nabi, dia enggan menyebut radhiyallahu ‘anhu apabila menyebut nama Sahabat. Si fulan ini berkata, “Ini masalah kecil sahaja, masalah dia cuma tidak puji sahabat Nabi sahaja. Dia bukan menyebut Abu Bakar kafir, Umar kafir.”

Orang yang hendak menyebarkan ajaran sesat tidak akan terus mengatakan Al-Quran salah. Sebaliknya dia akan menimbulkan syubhat. Contohnya ada penulis Syiah yang popular dalam tanah air kita menulis hadis Nabi. Dia menulis hadis riwayat Imam Al-Bukhari. Tetapi apa yang dia timbulkan melalui hadis tersebut? Syubhat. Itu tujuannya. Agendanya adalah hendak membawa kepada penolakan hadis-hadis Nabi yang disandarkan kepada para sahabat.

Kedua: Menyebarkan keutamaan-keutamaan mereka kepada manusia dan menahan lisan dari ucapan yang mengandungi penghinaan terhadap mereka.

Kita banyak membuang masa bercerita dan menyebarkan cerita karut dan sia-sia, berbangga menyebut nama-nama tokoh falsafah, sehingga nama-nama sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in seolah-olah hanya menjadi bahan kosmetik untuk mencantikkan sahaja. Mengeluarkan sesuatu pendapat kemudian baru mencari perkataan sahabat Nabi untuk menyokong, mencari Al-Quran dan Hadis untuk menyokong pendapat semata-mata.

Imam Abu Nu’aim dalam kitab “Al-Imamah” berkata, “Maka menahan lisan dari membicarakan sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan menyebutkan kesalahan mereka, menyebarkan kebaikan dan keutamaan-keutamaan mereka, dan membawa segala urusan mereka kepada makna yang terbaik merupakan di antara tanda orang-orang yang beriman yang mengikuti jejak mereka dengan baik.” (Al-Imamah wa Al-Raddu ‘ala Al-Rafidhah)

Ketiga: Mendidik anak-anak untuk menghormati para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, mencintai mereka serta menempatkan mereka pada kedudukan para sahabat tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan, sebagaimana yang dilakukan oleh Salaf Al-Soleh.

Ahli Sunnah seimbang kecintaan mereka kepada para sahabat Nabi, tidak mengangkat atau memuji lebih dari kedudukan sepatutnya serta tidak pula sama sekali meremehkan. Betapa pentingnya mengajari anak-anak supaya mencintai para sahabat Nabi, sebagaimana Imam Al-Lalaka-i meriwayatkan dari Imam Malik, bahawasanya dia berkata,

“Para Salaf terdahulu mengajarkan anak-anak mereka untuk mencintai Abu Bakar dan Umar radhiyallahu ‘anhuma sebagaimana mereka mengajarkan sebuah Surah dari Al-Quran.” (Syarh Usul I’tiqad Ahlus Sunnah)

Betapa para salaf bersungguh-sungguh mengajar anak-anak mereka mencintai Abu Bakar dan Umar. Adapun kita pada hari ini mengajar anak mencintai Ben-10, Boboiboy, Ultraman, Upin dan Ipin. La hawla wala quwwata illaa Billaah. Sangat menyedihkan keadaan kita. Sepatutnya kita ketengahkan keperibadian-keperibadian para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in untuk dicintai, dikasihi, ditiru dan dicontohi.

Di antara manfaat hasil dari kecintaan tersebut ialah supaya dapat bersahabat dengan mereka pada Hari Kiamat kelak, berkumpul bersama mereka di dalam Syurga, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

“Seseorang itu akan (dikumpulkan) bersama orang yang dicintainya.” (Riwayat Bukhari)


Wallahu A’lam
3 TANDA ORANG YANG BENAR CINTANYA KEPADA SAHABAT NABI Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 7:57 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.