Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Talbis Iblis kepada golongan agamawan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

555098_559924694040686_650527995_nSoalan: Sepatutnya makin kita faham dan kuat pengetahuan, semakin hafal Al-Quran sepatutnya kita menjadi semakin lama semakin tawadhu’, akidah makin mantap dan sebagainya. Tetapi pada hari ini, seolah-olah terbalik. Kenapa jadi begitu?

Jawapan:

Apabila diutusnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, seperti yang disebut dalam sabda Baginda,

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِاُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْاَخْلَاقِ


“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari dalam al-Adabul Mufrad, Ibnu Sa’d, dan al-Hakim dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dihasankan oleh Al-Albani dalam Al-Shahihah)

Bahkan di dalam hadis yang lain, sabda Nabi,

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًاْ


“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At-Tirmidzi. Lihat Ash-Shahihah)

Allah menguji akhlak manusia dari pelbagai perspektif. Orang yang ada ilmu, Allah mengujinya dengan kesombongan. Orang yang berharta diuji dengan sikap tidak mahu bersedekah. Orang yang berkuasa untuk memimpin diuji dengan hal-hal tertentu. Semua manusia menghadapi ujian.

Saya tertarik dengan satu kitab tulisan Imam Ibnul Jauzi berjudul Talbisu Iblis (Tipudaya Iblis). Disusun dari mula tentang bagaimanaperangkap_setan-500x500 Iblis menipudaya manusia dari sudut akidahnya, bagaimana Iblis menipudaya ulama, bagaimana Iblis melakukan tipudaya terhadap pemerintah, bagaimana Iblis melakukan tipudaya kepada golongan sufi, tipudaya kepada orang yang membaca Al-Quran dan sebagainya.

Jadi saya spesifikkan kepada topik yang ditanya tadi, orang yang diberikan ilmu; apa tipudaya Iblis kepada mereka? Saya ingin mengulas dua sahaja; Pertama, kefahaman tentang ilmunya. Kedua, kesombongan.

Orang yang Allah Subhanahu wa Ta’ala berikan kepadanya Al-Quran, di mana dia boleh membaca dan dia boleh mengulas Al-Quran. Tetapi bagaimana dengan kefahamannya? Pernah dengar atau tidak kenyataan seorang tokoh Islam liberal yang popular beberapa belas tahun dahulu, Prof. Dr. Zaki Badawi tentang isu aurat contohnya. Dia mengatakan (penutupan) aurat wanita ini hanyalah satu budaya, bukan satu kewajipan sebaliknya hanyalah budaya Arab.

Dia mengambilnya dari mana, dia juga membaca Al-Quran. Dia adalah seorang Professor, dia adalah Pengerusi Muslims College di London. Dia bukan tidak tahu Al-Quran, dia bukan tidak tahu Hadis, tetapi masalahnya adalah kaedah dalam memahaminya.

Sebab itu kaedah memahami ini penting. Tidak semestinya orang yang membawa Al-Quran dan Hadis, benar-benar apa yang diungkapkannya itu kefahamannya benar. Kalau tidak, tidak akan berlaku orang berdalilkan Al-Quran untuk mengkafirkan orang lain, tidak berlaku orang berdalilkan Al-Quran untuk menyesatkan orang, orang berdalilkan Al-Quran untuk melantik dirinya menjadi Nabi, orang berdalilkan Al-Quran berkahwin dua, tiga, empat sekaligus.

Sumbernya sudah benar, tetapi cara memahami tidak betul. Jadi salah satu cara untuk menyatupadukan ummah, kita kena kembali kepada kaedah pemahaman yang benar, iaitu dengan mengikut penjelasan dan penafsiran para ulama yang muktabar. bermula dengan generasi sahabat Nabi kerana mereka adalah ketua para Ulama. Susulannya adalah tabi’in dan tabi’ut tabi’in.

Dan kita perlu faham, ulama-ulama juga banyak berbeza di dalam hal-hal berkaitan fiqh secara khususnya. Contoh perbezaan yang mudah, yang masyarakat kita berkelahi sampai ke hari ini tidak habis-habis; isu qunut. Isu kecil sahaja, tetapi kita bergaduh tidak habis-habis. Ulama kita walaupun berselisih, ia disusuli dengan adab.

Ini perkara kedua yang disebutkan tadi; iaitu Allah menguji orang yang ada ilmu dengan akhlaknya.

Walaupun seseorang itu berpegang dengan mazhab Syafi’i, ada orang lain pula berpegang dengan Imam Ahmad bin Hanbal kerana Imam Ahmad bin Hanbal lebih hebat dalam bidang Hadis berbanding Imam Syafi’i. Orang lain pula mengatakan Imam Syafi’i lebih hebat dalam Ushul Fiqh, yang lain pula mengatakan Imam Malik Tok Guru kepada Imam Syafi’i. yang lain pula mengatakan Imam Syafi’I juga belajar dengan anak murid Imam Abu Hanifah. Datang pula yang lain mengatakan kita ambil guru mereka semua; Nafi’ maula Umar, Waqi’ Ibn Jarrah yang mendahului Imam-imam ini semua. Ada yang kata tidak boleh, sahabat Nabi lebih hebat. Kemudian ada yang kata mana boleh, Nabi lebih hebat.

Adakah kita hendak bergaduh seperti itu?

Dalam isu yang dibangkitkan tadi adalah masalah adab; iaitu sombong. Tidak faham adalah satu masalah, kemudian ditambah dengan sombong pula.

Ini yang disebut Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis tentang kibr. Di mana sifat takbur ini bukan hanya ada pada orang kaya sahaja. Ia merangkumi semua orang yang Allah berikan sedikit kelebihan padanya, lalu dia merasa sombong.

Akan lahir pada orang yang sombong ini dua perkara seperti kata Nabi; 1) menolak kebenaran, dan 2) merendahkan-rendahkan manusia lain.

Hal ini memang benar-benar berlaku. Apabila kita mengatakan tidak boleh, dia bertanya kita mengaji mana? Apabila orang menulis buku, dia kata ini cikgu sekolah rendah sahaja, jangan baca tulisannya. Menolak kebenaran adalah kerana sombong, tidak kira siapa pun dia. Satu lagi adalah merendah-rendahkan manusia lain.

Ini adalah ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada orang yang berilmu. Sama-samalah kita bermuhasabah agar kita tidak tergolong di kalangan golongan yang seperti itu. Wallahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

www.youtube.com/watch?v=YJjqzyqLEIU
Talbis Iblis kepada golongan agamawan Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:51 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.