Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Risalah sekalian Nabi dan Rasul adalah Tauhid

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

281971_438873956187491_1688835508_nSesungguhnya akidah merupakan asas dan tujuan diutuskan para Nabi dan Rasul. Bermula dari Nabi Adam ‘alaihissalam sehingga Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam kesemuanya membawa risalah yang sama; Tauhid. Semuanya diperintah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengembalikan manusia kepada mentaati dan menyembah hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jall di dalam Al-Quran,

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ


“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan di dalam setiap umat seorang Rasul, (yang menyeru): ‘Beribadahlah kalian kepada Allah dan jauhilah oleh kalian perkara-perkara thaghut’.” (An-Nahl: 36)

Maka demikianlah tugas para Nabi dan Rasul iaitu menyeru manusia menyembah Allah di atas asas kalimah Laa-Ilaaha-illAllah dan juga menyeru manusia agar menjauhkan diri daripada thaghut.

Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menceritakan tentang Nabi Adam dengan anak-anaknya, dan kemudian bermula daripada Nabi Nuh ‘alaihissalam, Baginda diperintah untuk memulakan seruan kepada umatnya agar menyembah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.

Penentangan demi penentangan dihadapi oleh Nuh ‘alaihissalam dan ia merupakan hal yang lumrah. Hampir seribu tahun Nabi Nuh ‘alaihissalam berdakwah menyeru manusia menyembah Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan apa yang berlaku?

Adakah Nabi Nuh berjaya mengumpulkan ribuan manusia bersama-sama dengannya, ataupun Baginda menjadi da’i sejuta ummat? Tidak, bahkan Nabi Nuh ‘alaihissalam diuji dengan anak Baginda sendiri yang tidak menerima dakwahnya. Begitu juga dengan Nabi-nabi yang lain; Nabi Ibrahim, Ya’qub, Dawud, Musa, Isa dan Nabi kita Muhammad sallallaahu ‘alaihi wasallam, seruan mereka sama dan senada kecuali di dalam beberapa hal iaitu dari sudut pensyariatan dan ibadah, dan masing-masing mererima tentangan yang hebat.

Umat Islam wajib pertahankan akidah Umat

Maka pada hari ini, apabila ada di kalangan manusia yang membawa perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan umat Islam dari segi akidahnya, kita harus tampil dan bertanggungjawab menggalas tugas Rasul sallallaahu ‘alaihi wasallam iaitu untuk mempertahankan akidah Islam.

Isu kerosakan akidah bukan baru berlaku pada hari ini atau semalam. Bukan isu kalimah Allah semata-mata, bukan isu liberalisme semata-mata. Malah isu akidah telah bermula sejak zaman Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam lagi, ketika datangnya Islam.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan sebagai rahmat untuk alam ini.” (Surah Al-Anbiya: 107)

Dalam keadaan Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam diutuskan sebagai pembawa rahmat, tentangan demi tentangan tetap Baginda hadapi. Bahkan Baginda juga berhadapan dengan orang yang turut mengaku menjadi Nabi, iaitu Musailamah Al-Kadzdzab yang diperangi dan dibunuh pada zaman Abu Bakar As-Siddiq radyiallaahu’anhu.

Bahkan penceritaan tentang akan wujudnya keruntuhan dan kucar kacir di dalam akidah umat ini telah pun diperjelaskan oleh Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam sejak 1400 tahun dahulu, dan Baginda sallallaahu ‘alaihi wasallam sendiri telah memberi dan menyediakan solusinya. Baginda telah mengkhabarkan tentang kewujudan kelompok yang banyak dengan akidah yang pelbagai sehinggakan Baginda sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,

وسَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً قِيْلَ: مَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ :هُمُ الَّذِيْنَ عَلَي مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي


“Akan berpecah umatku menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang satu) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad)

Nabi telah menyebutnya lama dulu. Ulama kemudian membahaskan perpecahan 73 kelompok ini dari sudut apa. Para ahli ilmu mengkhususkan bahawa kelompok-kelompok yang berpecah ini adalah di atas asas akidah.

Sejarah perpecahan umat Islam tidak lari dari 7 kumpulan menyimpang

Imam Ibnul Jauzi (wafat 597 H) dalam kitab beliau Talbisu Iblis telah menceritakan di dalam muqaddimah kitab beliau tentang sejarah perpecahan umat Islam; di mana ia tidak lari daripada tujuh kelompok; Qadariyah, Jabariyah, Mu’tazilah, Jahmiyah, Murji-ah, Khawarij, dan Syiah.

Ini adalah di antara kelompok-kelompok asas yang membawa kepada kerosakan akidah umat Islam sehingga ke hari ini. Memang pada hari ini tidak wujud Persatuan Khawarij, Persatuan Qadariyah, Persatuan Mu’tazilah dan sebagainya, sebab nama-nama ini adalah nama-nama yang dicerca di dalam sejarah Islam. Pandangan mereka dicerca dan dikritik oleh para ahli ilmu, bahkan ada di kalangan mereka yang dihukum bunuh, menunjukkan bahawa ini adalah suatu hal yang serius.

Ini semua membuktikan bahawa sejarah keruntuhan akidah telah bermula setelah kewafatan Nabi lagi, bahkan bibit-bibit ideologinya telah mula timbul pada zaman Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, dan ia tidak berkembang pada zaman Nabi disebabkan kekuatan Islam pada masa itu di samping Nabi masih hidup dan setiap masalah dirujuk kepada Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam.

Namun setelah kewafatan Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, pemikiran menyimpang ini muncul lalu berkembang biak bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Khususnya setelah kewafatan Umar Al-Khatthab radhiyallahu ‘anh, muncul golongan Khawarij yang metodologi dan modus operandi mereka adalah kafir mengkafirkan manusia; barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah dikatakan kafir, pelaku maksiat dikatakan kafir, peminum arak, pemain judi semuanya dikatakan kafir.

Kelompok ini bukan muncul baru kelmarin, tetapi pemikiran ini telah wujud dalam sejarah sejak 1400 tahun dahulu. Dan kita akan terus mengingatkan manusia tentang kebejatan pemikiran ini agar manusia menjauhkan diri daripadanya. Sebagaimana kata Huzaifah bin Al-Yaman radhiyallahu ‘anh,

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي


“Adalah orang (para sahabat) bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang perkara kebaikan dan adapun aku bertanya kepada Rasulullah tentang perkara kejahatan, khuwatir kejahatan itu menimpa diriku.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah. Lafadz Al-Bukhari)

Jadi kita perlu tahu apa perkara yang tidak baik agar kita dapat menjauhinya dan tidak termasuk di dalam perkara tersebut. Kita perlu ada ilmu tentang pemikiran-pemikiran yang menyesatkan, pemikiran yang membawa kepada pecah belah manusia pada hari ini.

Ciri asas golongan menyimpang

Secara ringkasnya, saya akan ceritakan bagaimana cara mereka bergerak dan membentuk pemikiran dan ideologi manusia.

Pertama, Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan bahawa kelompok ini banyak dan kuat beribadah sebagaimana sabda Baginda,

يَأْتِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ حُدَثَاءُ الْأَسْنَانِ سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ لَا يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ


“Akan ada di akhir zaman suatu kaum yang usianya muda, pemahamannya dangkal, mereka mengucapkan perkataan manusia yang paling baik (Rasulullah), mereka lepas dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busurnya, iman mereka tidak sampai ke kerongkong mereka.” (Riwayat Bukhari)

Yakni mereka tidak faham apa yang mereka bacakan. Dan Nabi menyebutkan tentang mereka lagi,

يَخْرُجُ فِيكُمْ قَوْمٌ تَحْقِرُونَ صَلَاتَكُمْ مَعَ صَلَاتِهِمْ وَصِيَامَكُمْ مَعَ صِيَامِهِمْ وَعَمَلَكُمْ مَعَ عَمَلِهِمْ وَيَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ


“Akan muncul di kalangan kalian suatu kaum yang kalian akan meremehkan shalat kalian (para sahabat) jika dibanding dengan shalat mereka, puasa kalian jika dibanding puasa mereka, dan amal  kalian di samping amal mereka. Mereka rajin membaca Al-Qur’an akan tetapi tidak melampaui kerongkong mereka. Mereka keluar dari Islam seperti anak panah yang keluar menembus sasarannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan sehingga berkata para sahabat, di dahi-dahi mereka ada tanda-tanda hitam kesan kuatnya mereka bersujud dan bershalat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, walaupun mereka membaca Al-Quran, walaupun mereka shalat, namun ianya tidak melepasi kerongkong mereka yakni mereka tidak memahami apa yang mereka baca dan buat itu. Sebenarnya mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan.

Itu ciri-ciri asasnya, iaitu mereka tidak memiliki ilmu walaupun mereka rajin membaca Al-Quran, kuat beribadah, membaca Hadis.

Maka kita sama sekali jangan menyangka orang yang menyebut dan membaca ayat-ayat Al-Quran bererti dia mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya. Hendaklah kita melihat bagaimana kaedah yang dia gunakan di dalam mentafsirkan ayat tersebut, barulah kita tahu sama ada dia memiliki ilmu ataupun tidak.

Ini kerana Al-Quran dan hadis tidak boleh ditafsir ikut sesuka hati, sekiranya ia ditafsir mengikut cita rasa dan akal masing-masing, itu yang boleh ada orang mengaku sebagai Nabi, Rasul, dilantik menjadi Imam Mahdi dan sebagainya. Mereka ini menggunakan ayat Al-Quran juga. Syiah yang memaksumkan Ali dan mengkafirkan sahabat Nabi juga menggunakan ayat Al-Quran. Dari sini boleh dibuat kesimpulan bahawa bukan semua orang yang berdalilkan ayat Al-Quran bererti dia bercakap perkataan yang benar. Maka hendaklah kita memperhatikan bagaimana cara dia mentafsirkan dan memahami ayat Al-Quran, setelah memastikan sumbernya betul iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=IS4kbI-Ifuk

 
Risalah sekalian Nabi dan Rasul adalah Tauhid Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.