Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Pengikut hawa nafsu

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

430175_333469060022648_679329490_nPengikut hawa nafsu sebenarnya membawa maksud dan pengertian yang sama dengan pelaku bid’ah. Allah SWT mengkritik pengikut hawa nafsu di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT,
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً

Maksudnya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya?” (surah Al Jaatsiyah, 45: 23)

Orang yang mengikuti hawa nafsu mengikuti apa yang hatinya inginkan, dia mengikuti apa yang akalnya inginkan, dia tidak menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber asal agama, dan disusuli dengan ijma’ yakni kesepakatan ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang tidak ada kekhilafan sesama mereka.

Susulannya menurut Imam Asy-Syafi’i adalah atsar sahabah yakni perkataan-perkataan para sahabat Nabi RA, susulannya lagi menurut Imam Asy-Syafi’i adalah qiyas yang disertai dengan syarat-syaratnya.

Dari sini dapat difahami bahawasanya pengikut hawa nafsu juga adalah ahli bid’ah, sebab ahli bid’ah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, adalah orang yang merekacipta sesuatu amalan dan dia mengaitkannya dengan agama, dia mengatakan ianya suruhan Allah dan Rasul padahal Allah SWT tidak pernah menyuruh melakukan sedemikian.

Contoh bid’ah dan pengikut hawa nafsu

Pada zaman Nabi SAW, ada kisah tiga orang lelaki di mana kisah mereka sampai ke pengetahuan Nabi SAW seperti yang diriwayat di dalam hadis,
اجتمع نفر فقال بعضهم: أنا أقوم ولا أنام، وقال الآخر: أنا أصوم ولا أفطر، وقال الثالث: أنا لا أتزوج النساء، فبلغ ذلك النبي، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فقال، عليه الصلاة والسلام: ” ما بال أقوامٍ يقولون كذا وكذا أنا أصوم وأفطر، وأقوم، وأنام، وأتزوج النساء، فمن رغب عن سنتي فليس مني

“Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan shalat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku shalat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tiga orang lelaki ini melihat kalau shalat tidak tidur itu baik, merupakan tuntutan dalam Islam dan dikira sebagai amal kebaikan. Tetapi sebenarnya mereka salah, kerana Nabi tidak pernah mengajar umatnya shalat sehingga meninggalkan tidur.

Lelaki kedua mahu berpuasa dan tidak mahu berbuka. Dia merasakan amalan itu baik. Nabi SAW berkata bahawa baginda berpuasa tetapi berbuka.

Lelaki ketiga pula mengatakan tidak mahu bernikah dengan wanita kerana mengganggu urusan ibadahnya. Lelaki ini menyangka apabila dia tidak berkahwin kerana mendahulukan urusan ibadah, itu satu kemuliaan. Tetapi kata Nabi, baginda mengahwini wanita. Lelaki tersebut menyangka amalan yang ingin dibuatnya itu betul tetapi hakikatnya dia sedang mengikut hawa nafsunya dan meninggalkan petunjuk Nabi yang merupakan tuntutan Islam yang sebenar.

Inilah perkara yang membimbangkan berlaku di dalam dunia Islam pada hari ini secara khususnya dan di Barat umumnya.
Dalam negara kita pada hari ini, bid’ah berlaku dalam beberapa kategori. Bid’ah ada pada akidah, ibadah, dan akhlak. Tiga perkara ini adalah asas dan tonggak kepada Islam. Kata Syaikh Abdul Wahab Khallaf, perkataan Islam itu ditunjangi tiga perkara besar. Pertama akidah, maka bid’ah boleh berlaku juga pada akidah.

Bid’ah akidah

Contoh bid’ah akidah yang wujud dalam negara kita pada hari ini adalah ideologi pluralisme yang menyamakan kedudukan dan menganggap sama semua agama. Pendokong ideologi pluralisme yang cerdik sedikit tidak akan mengatakan semua agama adalah sama secara langsung, tetapi dia mengatakan nilai-nilai semua agama yang baik boleh diterima. Sedangkan sebagai umat Islam, kita wajib meletakkan kepercayaan dan keimanan bahawasanya,
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلامُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali ‘Imran, 3: 19)

Kita tidak boleh mengiktiraf agama lain, tetapi kita perlu hormat penganut agama lain. Kita tidak dibenarkan mencerca agama lain, tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawasanya agama selain Islam sama seperti agama kita yakni menuju Tuhan yang satu. Inilah bentuk pluralisme yang merupakan bid’ah dalam akidah.

Mengikut jumhur (majoriti) ulama, kesemua para Nabi adalah beragama Islam yang satu. Cuma bezanya hanyalah pada pensyariatan. Contoh pada zaman Nabi Musa, harus mandi berbogel seperti yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari. Itu pensyariatan yang diharuskan pada zaman Nabi Musa, adapun pada zaman Nabi Muhammad, pensyariatan seperti ini tidak dibolehkan. Walaupun syariat berbeza, tetapi agama dan tauhid tetap sama yakni Islam.

Umar Al-Khatthab pada zaman Nabi pernah membawa kitab Taurat ajaran Nabi Musa. Dia membawa kitab itu dan mengajak Rasulullah SAW sama-sama membacanya. Nabi SAW mengingkari perbuatan Umar itu dengan mengatakan,
لو كان موسى حيا بين أظهركم ما حل له إلا أن يتبعني

“Sekiranya Musa hidup di hadapan kalian, tidak halal baginya kecuali mengikuti aku.” (riwayat Ahmad. Ahmad Syakir berkata “Isnadnya hasan”)

Ini kerana Nabi Muhammad SAW telah membawa syariat yang baru dan memadai dengan syariat yang dibawanya.

Kalau perkataan sedemikian diucapkan Nabi SAW kepada Umar yang membawa sebuah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada salah seorang Nabi-Nya iaitu Taurat, apatah lagi ajaran yang dibawa oleh agama Budha, Kristian, Hindu, dan agama lain semuanya. Tentu lebih tidak boleh lagi.

Bid’ah dalam syariat (ibadat)

Syariat ada banyak pecahannya; isu berkaitan shalat, zakat, puasa, haji, hukum hakam berkaitan mu’amalat atau jual beli, nikah kahwin, dan jenayah. Di bawah hukum hakam jenayah pula ada hukum hakam berkaitan qisas, hudud, ta’zir, dan diyah. Bid’ah boleh berlaku dalam hal-hal syariat ini.

Contoh bid’ah dalam bab syariat ini, adalah seperti mengatakan hukum Islam itu hanya dilaksanakan untuk orang Islam sahaja, tidak boleh dijatuhkan ke atas orang bukan Islam. Kita sendiri mengiktiraf hukum Islam adil. Kalau adil mengapa kita tidak mahu ia dilaksanakan ke atas semua orang? Mengapa untuk umat Islam sahaja?

Kalau hukum Islam hanya dilaksanakan untuk orang Islam sahaja, sekiranya berlaku rompakan yang melibatkan perompak Islam dan bukan Islam, adakah adil jika orang Islam sahaja yang dipotong tangan?

Orang Islam sendiri nanti yang akan menganggap hukum ini tidak adil kepadanya, dan ini akan mengakibatkan mereka yang kurang akalnya berfikir, “daripada kena potong tangan lebih baik aku murtad untuk mengelakkan hukuman dan kemudian bertaubat setelah itu”.

Begitu juga salah satu contoh bid’ah dalam urusan ibadah, seperti berdoa keburukan untuk pemimpin Muslim. Sangat jelas pendirian ahlus sunnah wal jama’ah zaman berzaman. Contohnya pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal, juga bagaimana Nabi dan Al-Quran mengajar kita bersikap terhadap pemimpin. Firman Allah SWT,
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى
فَقُولا لَهُ قَوْلا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan murid kepada Imam Asy-Syafi’i rahimahullah dan pendiri mazhab Hanbali pada zamannya, dia ditangkap dan disiksa oleh pemimpinnya yang bernama Khalifah Makmun. Khalifah Makmun bukan sekadar menangkap suka-suka, tetapi dia tangkap dan siksa ulama pada masa itu untuk menukar pendirian akidah mereka. Tidak pernah lagi kita dengar di Malaysia pemimpin yang menangkap dan memaksa ulama menukar akidah.

Imam Ahmad disiksa dan dipenjara, orang datang dan bertanya kepadanya, “Wahai Imam, tidakkah kamu mendoakan sesuatu untuk pemimpin yang seperti ini?” Jawab Imam Ahmad,
لَوْ كَانَ لَنَا دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ لَدَعَوْنَا بِهَا لِلسُّلْطَانِ

“Andai bagi kami doa yang mustajab (dikabulkan), sungguh akan kami doakan kebaikan bagi pemerintah.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/391)

Maksud kebaikan ini luas, contohnya mendoakan hidayah, mendoakan ketakwaan buat pemimpin agar dia terkesan dengan Islam dan mempraktikkan Al-Quran dan As-Sunnah. Ini semua contoh doa kebaikan. Imam Ahmad tidak pernah mendoakan kehancuran.

Susulan dari Imam Ahmad adalah Imam Fudhail bin Iyadh yang hidup pada kurun ketiga hijrah. Perkataan sama dia sebutkan seperti mana Imam Ahmad, apabila dia ditanya mengapa dia tidak berdoa kebaikan untuk dirinya sedangkan doanya dimakbulkan. Kata Fudhail bin Iyadh,
“Jika doa itu hanya untuk diriku, ianya hanya untuk diriku dan teman yang berada di sekelilingku. Namun jika aku panjatkan doa untuk kebaikan pemimpin, kemudian dia jadi baik, maka masyarakat dan negara akan menjadi baik. Kita diperintahkan untuk mendoakan kebaikan untuk mereka, dan kita tidak diperintahkan untuk mendoakan keburukan bagi mereka, meskipun mereka zalim. Kerana kezaliman mereka akan ditanggung mereka sendiri, sementara kebaikan mereka akan dirasai oleh mereka dan kaum muslimin.”

Susulan daripada Imam Fudhail bin Iyadh, datang Imam Al-Barbahari yang wafat pada tahun 329 hijrah. Dia menyusun satu buku yang masyhur yang menjelaskan prinsip ahlis sunnah dan prinsip ahli bid’ah, buku yang berjudul Syarhus Sunnah. Di dalamnya dia menulis satu poin khusus,
إذا رأيتَ الرجلَ يَدعُو على السلطان فاعلم أنه صاحبُ هوىً
وإذا رأيتَ الرجلَ يدعو للسلطان بالصلاح فاعلم أنه صاحبُ سُنَّةٍ إن شاء الله

“Apabila engkau melihat seseorang mendoakan keburukan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang pengikut hawa nafsu. Dan apabila engkau melihat seseorang itu mendoakan kebaikan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah ahli sunnah Insya Allah.”

Ini bukan Fathul Bari yang kata, tetapi ini Imam Al-Barbahari yang kata, lebih 1100 tahun dulu di dalam kitabnya yang menyusun pendirian akidah ahlus sunnah dan bezanya dengan ahli bid’ah.

Jadi apabila orang mendoakan keburukan buat pemerintah dan dia menyangka apa yang dibuatnya itu adalah sesuatu yang baik dan diredhai Allah, sedangkan ianya bercanggah dengan tuntutan dan contoh Nabi dan para sahabat, maka perbuatan seperti ini dinamakan sebagai bid’ah dan mengikut hawa nafsu.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;
http://www.youtube.com/watch?v=i9eQQyoC3Oo
Pengikut hawa nafsu Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 8:13 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.