Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Kebenaran pada dalil walaupun seorang diri, bukan pada ramainya yang mengikuti

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

16818_486004301444853_2071825847_nKebenaran adalah bergantung kepada nash dan juga dalil. Barangsiapa yang bersama dengannya dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah maka dia berada di atas kebenaran. Sesiapa yang tidak bersama-sama dengannya dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah, sekiranya dia mujtahid maka dia mendapat ganjaran walaupun ijtihadnya salah.

Namun orang awam dan penuntut ilmu tidak boleh meletakkan kaedah ini kepada diri sendiri kerana kita bukan mujtahid yakni kita tidak mampu berijtihad. Seseorang yang tidak mampu berijtihad tidak boleh melakukan sesuatu atau memilih sesuatu pendapat yang digemarinya dengan alasan sudah biasa buat atau memilih pendapat yang mudah.

Bagi orang awam, amal ibadah dan fatwa-fatwa yang diikutinya harus kembali kepada orang yang memberikan fatwa kepadanya, sama ada mufti di tempatnya, atau ustaz yang mengajarnya, dan dia perlu menilai dan membandingkan kekuatan dalil dan nash yang dikemukakan kepadanya.

Tidak ada alasan bagi seseorang itu menolak sesuatu hujah kerana bercanggah dengan kehendak atau kebiasaan, apabila dia telah mendengar keterangan dan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Telah tsabit di dalam hadis sahih,
إِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

“Apabila seorang hakim berijtihad, lalu dia benar, dia memperoleh dua pahala. Dan jika seorang hakim berijtihad, dan ternyata ijtihadnya salah, dia mendapat satu pahala.” (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Adapun sebagai orang awam apabila melihat sesuatu yang diperselisihkan, tidak boleh baginya memilih mana-mana pendapat daripadanya atau menerima kesemua pendapat atas alasan ianya perkara khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu yang diiktiraf.

Hal ini tidak dibolehkan kerana kebenaran hanyalah satu sahaja, yakni yang paling bertepatan dengan dalil Al-Quran, hadis, dan kefahaman para salafussoleh. Kebenaran bukan dua atau tiga, tetapi hanya satu yang menepati kebenaran.

Imam Asy-Syaukani rahimahullah dalam kitabnya Irsyadul Fuhul mengatakan,
“Hadis ini memberi faedah kepada kamu bahawasanya kebenaran itu satu sahaja. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mujtahid (orang yang layak berijtihad) menepati kebenaran dan dikatakan kepada mereka bahawa mereka ini benar dan mereka berhak mendapat dua ganjaran. Dan sebahagian daripada para mujtahid tersalah dan mereka berhak mendapat satu ganjaran.

Dan hendaklah kamu ketahui bahawasanya orang-orang yang melakukan kesilapan itu mendapat ganjaran, tetapi ganjaran ini hanya untuk mujtahid sahaja, dan kesalahan itu dilarang orang lain untuk mengikutinya, dan orang lain yang mengikuti kesalahan ini tidak mendapat keuzuran seperti mana yang diberikan kepada mujtahid, dan dia tidak akan mendapat ganjaran seperti ganjaran yang diberikan kepada mujtahid. Bahkan menjadi kewajipan kepada orang-orang selain mujtahid untuk meninggalkan kesalahan-kesalahan yang mereka (para mujtahid) lakukan dan kembali kepada al-haq (kebenaran) yang ditunjuki oleh Al-Quran dan juga As-Sunnah.”

Ini ulasan Imam Asy-Syaukani rahimahullah. Maka keuzuran hanya dikhususkan untuk orang yang berijtihad. Adapun selain mujtahid, untuk mengatakan sesuatu pendapat itu lebih tepat dan lebih benar hendaklah bergantung kepada dalil-dalil yang dikemukakan. Kata Imam Asy-Syaukani rhm lagi,
“Dan apabila berlaku perselisihan dan manusia berusaha mengembalikan perselisihan ini kepada Al-Kitab dan As-Sunnah, dan barangsiapa perkataannya bersesuaian dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka dia berada di pihak yang benar walaupun dia bersendirian.”

Al-Imam Asy-Syaukani ketika itu masih belum popular lagi, tetapi dia telah melihat satu kesilapan yang besar dilakukan oleh ilmuwan pada zamannya. Jadi dia membuat tulisan ini untuk menegur kesilapan tokoh besar pada zamannya dan menekankan bahawasanya kebenaran itu adalah yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah walaupun hanya seorang sahaja yang berada di atasnya, kerana kebenaran itu tidak bergantung kepada jumlah. Kalau kebenaran itu bergantung kepada jumlah maka rosaklah manusia.

Maka kita semua harus berhati-hati dalam menilai apakah sesuatu itu benar ataupun tidak. Pada masa ini ceramah-ceramah banyak dimuat naik di youtube. Dan ada segelintir orang awam yang memilih guru dengan melihat pada viewer yang paling banyak, mereka tidak melihat lagi kepada apa isi kandungan yang diajar dan disampaikan.

Sewajarnya kebenaran dan agama itu tidak bergantung kepada gaya cerita atau penyampaian seseorang, tetapi harus bergantung kepada nash-nash yang dikemukakan.

Suatu ketika dahulu, kelas-kelas pengajian ilmu yang dipenuhi dengan penjelasan-penjelasan ilmiah merupakan kelas pengajian ilmu yang sangat diminati. Bahkan orang berlumba-lumba dan sanggup berebut-rebut meminta izin untuk memasuki kelas pengajian seumpama itu kerana gurunya memilih anak murid.

Sebaliknya apa yang berlaku pada zaman sekarang, murid yang memilih guru. Apabila anak murid yang memilih guru, mereka memilih guru yang ‘menarik’ dan ‘menghiburkan’.

Dulu tidak begitu. Imam Syafi’i dulu sebelum berguru dengan Imam Malik sampai beliau mendapatkan surat sokongan daripada pemerintah, kerana Imam Malik sangat tegas dalam memilih anak muridnya agar menghasilkan anak murid yang semuanya berkualiti. Maka tidak hairanlah Imam-imam terdahulu menghasilkan anak-anak murid yang semuanya hebat dari segi ilmunya.

Adapun kita pada hari ini mengajar merata tempat, siapa sahaja anak murid kita yang menyerlah dari sudut keilmuannya. Adapun dari sudut pandai bercakap dan pandai mengulas memang ramai, tetapi jarang dijumpai yang menyerlah dari sudut penguasaan ilmu.

Kerana pada masa ini ramai yang suka pada cerita dan tidak suka pada ilmu. Bahkan yang diingati di dalam kuliah-kuliah adalah cerita-cerita yang ustaz sampaikan, bukan dalil-dalil dan hujah yang ustaz sampaikan. Seolah-olah kita lupa bahawa hala tuju kita adalah mengambil dan memetik dasar dan usul agama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Adapun cerita-cerita hanyalah perkara sampingan yang membantu kita memahami bagaimana cara mempraktikkan nash tersebut dalam kehidupan seharian.

Kalau kita tidak berusaha untuk melakukan perubahan, mengembalikan masyarakat kepada kecintaan ilmu yang sebenar, maka hal ini akan menimbulkan masalah yang sangat besar.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=mqLrvu0we9I
Kebenaran pada dalil walaupun seorang diri, bukan pada ramainya yang mengikuti Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 5:20 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.