Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Takrifan dan pengertian bid’ah

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Perkataan bid’ah berasal dari perkataan arab بَدَعَ bada’a yang membawa maksud merekacipta. Sebab itu di antara sifat Allah SWT adalah بديع badee’ seperti yang disebut di dalam Al-Quran,
بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi.” (Al-Baqarah, 2: 117)

Itu maksud umum perkataan bid’ah daripada perkataan bada’a, ataupun dalam bahasa arab ibtada’a-yabtadi’u-ibtidaa’ yang bermaksud menciptakan atau memulakan sesuatu yang baru yang tidak pernah wujud contoh sebelumnya. Itu takrifan bid’ah dari sudut bahasa.

Adapun takrifan bid’ah dari sudut istilah, apabila ulama Islam menyebut perbuatan itu adalah bid’ah, sikap itu adalah bid’ah, para ulama Islam memberikan pelbagai takrifan.

Al-Imam Asy-Syafi’i memberikan pandangan beliau tentang bid’ah. Al-Imam An-Nawawi juga memberikan pandangan beliau tentang bid’ah. Ibnu Taimiyah rhm juga memberikan pendapat beliau tentang bid’ah. Al-Imam Al-‘Izz bin Abdis Salam, Al-Imam Asy-Syathibi juga memberikan pendapat beliau. Masing-masing ada pendapat dan kecenderungan masing-masing dan kesemuanya tidak bercanggah antara satu sama lain.

Memadai kita mengambil dua contoh; Imam Asy-Syafi’i dan Imam Asy-Syathibi. Al-Imam Asy-Syafi’I apabila dia menjelaskan erti bid’ah mengatakan,
الْبِدْعَة بِدْعَتَانِ : مَحْمُودَة وَمَذْمُومَة ، فَمَا وَافَقَ السُّنَّة فَهُوَ مَحْمُود وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُوم

“Bid’ah itu ada dua: terpuji dan tercela. Apa yang bertepatan dengan sunnah maka itulah yang terpuji, dan apa yang menyelisihinya maka itulah yang tercela.” (Fathul Baari Syarh Shahihil Bukhari, penjelasan hadis no. 7277)

Itu perkataan Imam Asy-Syafi’i, iaitu merujuk kepada sesuai atau tidak dengan sunnah, sama atau tidak dengan sunnah. Kalau berbeza bermakna ia perkara yang keji. Kalau sama bermakna ia perkara yang terpuji.

Takrif yang lebih jelas, yang lebih sempurna, yang dipersetujui oleh majoriti ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah adalah takrifan bid’ah yang diberikan oleh Al-Imam Asy-Syathibi rhm. Kata beliau,
اَلْبِدْعَةُ: طَرِيْقَةٌ فِي الدِّيْنِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوْكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ للهِ سُبْحَانَهُ

“Bid’ah adalah satu jalan dalam dalam agama yang direkacipta menyerupai syari’at dengan maksud untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.” (Al-I’tisham (hal. 50), cetakan II/Daar Ibni ‘Affan, 1414 H)

Maksudnya orang yang mencipta sesuatu amalan baru itu menyandarkan apa yang dibuat kepada agama dan menganggap apa yang disandarkan itu sama dengan apa yang Tuhan sandarkan, sedangkan tidak pernah ada suruhan dari Allah dan Rasul, akan tetapi orang tetap mengamalkannya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Di sini difahami beberapa poin daripada takrifan bid’ah. Sesuatu yang bid’ah mengandungi beberapa perkara; Pertama, ianya dikaitkan dengan agama. Kedua, ianya direkacipta, tidak ada suruhan dari Allah dan Rasul yang menyuruh melakukan amalan tersebut. Ketiga, orang yang melakukannya menganggap apa yang dilakukan itu benar dan datang dari petunjuk Nabi. Keempat, amalan tersebut diikuti dan dilakukan oleh orang ramai kerana menganggap amalan itu mendekatkan diri dengan Allah.

Ini takrif dan pengertian bid’ah yang diberikan oleh Imam Asy-Syathibi rhm yang hidup pada kurun ke-7 dan ke-8 hijrah dalam kitab beliau yang masyhur iaitu Al-I’tisham, sangat masyhur kitab dan tulisannya ini.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;

http://www.youtube.com/watch?v=TcuenenlgzQ
Takrifan dan pengertian bid’ah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:25 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.