Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Keberadaan umat Islam dalam demokrasi tidak menjadikan sistem itu Islami & baik

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Sekarang ustaz sendiri terlibat dalam sistem demokrasi. Ustaz terlibat dengan gerakan yang mengaplikasikan sistem demokrasi.

Jawapan:

Sekarang kita bercakap tentang dua topik yang berbeza. Pertama, demokrasi itu sistem Islam atau tidak. Saya katakan secara prinsipnya, demokrasi bukan sistem Islam.

Kedua, penglibatan ataupun keberadaan kita dalam sistem demokrasi.

Sekarang saya tidak nafikan saya berada dalam sistem demokrasi. Saya tidak nafikan teman-teman dan sahabat saya di dalam PAS contohnya yang hendak memperjuangkan hukum Islam, mengatakan perlembagaan ini bukan daripada perlembagaan Islam, tetapi mereka juga terlibat dalam sistem ini.

Mengapa mereka terlibat dalam sistem ini adalah atas usaha untuk membaik pulih atau memperbaiki sistem ini agar kembali berada di kedudukan dan tempat yang betul. Maka kalau dulu mereka berdalilkan sedemikian rupa iaitu untuk memperbetulkan keadaan, begitu juga saya berusaha untuk memperbaiki dan mengislah keadaan dan berusaha untuk mengembalikan manusia ke jalan yang lebih baik dan lebih benar.

Satu lagi saya hendak tekankan di sini. Keberadaan kita di dalam sistem ini tidak menjadikan kita menyatakan sistem ini sistem Islam. Jangan kita ambil sesuatu yang haram kemudian kita halalkan. Jangan kita ambil khinzir kemudian kita halalkan khinzir kerana kita hendak makan khinzir tersebut.

Ini satu permisalan yang sangat jelas. Sistem demokrasi bukan sistem Islam, tetapi keberadaan kita dalam sistem ini bukan bererti kita terima semua, tetapi kita mengawal dan berusaha untuk mendisiplinkan diri kita daripada terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang di dalam sistem ini.

Sebab itu Islam meletakkan kaedah, apabila manusia berhadapan dengan dua kemudharatan, kita memilih kemudharatan yang paling ringan dan minimum kesannya yakni kaedah yang disebut “akhaffu dhararain”.

Akhaffu dhararain bagi kita adalah kita berusaha untuk meminimumkan kemudharatan yang datang dan terhasil daripada demokrasi. Sebab itu kita tidak bersetuju dengan demonstrasi contohnya. Kerana kita melihat ia mendatangkan kemudharatan yang lebih besar dan ia juga bukan dari syariat Islam. Maka kita mengawal demokrasi pada hari ini dengan menolak demonstrasi yang diadakan untuk memastikan dakwah Islam serta adab di dalam Islam terjaga. Wallaahua’lam.

Soalan: Adakah ustaz mengatakan demokrasi tidak boleh dijadikan dasar dalam menentukan halatuju bangsa dan agama Islam?

Jawapan:

Ya, demokrasi tidak boleh dijadikan dasar. Itu prinsip. Sebab Islam tidak boleh bergantung pada suara ramai. Adakah kita hendak mengatakan negara yang mempraktikkan demokrasi sebagai negara Islam? Bagaimana dengan Amerika Syarikat, Denmark, Norway, UK, di mana mereka mempraktikkan demokrasi? Adakah mereka negara Islam? Tidak.

Jadi jangan mudah kita berdalilkan bahawa demokrasi itu adalah sistem Islam dan jangan kita katakan demokrasi itu adalah sistem yang adil kerana memberi hak kepada semua untuk bersuara.

Sedangkan Islam sebenarnya telah memberikan keadilan yang terbaik. Islam menimbang antara kemaslahatan dan kemudharatan untuk melakukan sesuatu keputusan.Nabi SAW sendiri pun telah menetapkan bahawa asas kerajaan yang diiktirafkan di dalam Islam ini adalah kerajaan yang bersifat sama ada khilafah, beraja, imam, jadi itu adalah sistem Islam yang asas.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=zmV3Bdmvqk4
Keberadaan umat Islam dalam demokrasi tidak menjadikan sistem itu Islami & baik Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 9:01 PM Rating: 5

1 comment:

  1. submy th05 May, 2013

    fitnah dajjal datang dlm berbagai bentuk. dan salah satunya demokrasi. apa pendapat ustaz tentang situasi yang kita alami sekarang.

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.