Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Wawancara: Jawab dakwaan golongan anti-Islam

Muqaddimah

GOLONGAN anti-Islam tidak pernah serik untuk menghasilkan filem dan kartun menghina Nabi Muhammad SAW dengan tujuan membangkitkan kemarahan umat Islam.

Terbaru mereka menghasilkan filem Innocence of Muslims yang sedutannya telah dimuat naik ke YouTube sehingga menyebabkan umat Islam berdemonstrasi di seluruh dunia dan dalam kekecohan itu, Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya, Christopher Stevens turut dibunuh.

Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan NIZAM YATIM serta jurugambar, NOOR AZLINA JAAFAR, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), FATHUL BARI MAT JAHAYA (gambar) menegaskan umat Islam perlu bersatu dan bertindak mengikut syarak dalam menghadapi situasi berkenaan.

UTUSAN: Bagaimanakah cara terbaik menangani isu ini?

FATHUL BARI: Setakat ini dalam isu filem pendek yang menghina al-Quran bertajuk ‘Fitna’ oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders; isu penghinaan oleh Salman Rushdie dan Irshad Manji kita tangani dengan demonstrasi dan emosi.

Bagaimana Islam mengajar kita menanganinya? Tidak lain tidak bukan kita perlu menjawab syubhah-syubhah yang ditimbulkan.

Ini yang perlu kita perjelaskan dan begitu juga dengan apa yang digambarkan di dalam filem Innocence of Muslims tentang Islam. Filem ini menggambarkan Islam dalam konteks yang salah. Sehubungan itu, kita perlu menjawab segala syubhah serta keraguan yang sengaja ditimbulkan.

UTUSAN: Apakah peranan ilmuwan Islam?

Peranan mereka adalah untuk memberikan penjelasan, penerangan dan pemahaman. Wanita digambarkan dalam filem terbaru itu sebagai hamba termasuk juga Rasulullah SAW bernikah dengan ramai wanita. Siapa yang mampu jawab? Setakat ini tiada yang memberi jawapan.

Sebenarnya, Rasulullah SAW berkahwin ramai kerana beberapa faktor dan hikmah. Pertama, isteri baginda yang berjumlah Sembilan orang kesemuanya hanya seorang sahaja yang dikahwininya ketika masih anak dara iaitu Aisyah binti Abu Bakar RA manakala yang lain semuanya janda dan balu, bahkan Khadijah binti Khuwailid RA, isteri pertama baginda seorang janda. Khadijah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW lebih tua daripada baginda.

Perkahwinan baginda ini bukan dilihat dengan hawa nafsu sedangkan di dalam filem itu digambarkan baginda memilih wanita-wanita cantik di kalangan isteri orang dan anak muda.

Rasulullah SAW berkahwin kerana sahabat-sahabat baginda syahid dalam peperangan, tiada siapa yang mahu mengambil berat tentang isteri mereka. Mereka menjadi ibu tunggal.

Kedua, tujuan perkahwinan baginda adalah untuk memperkembangkan dakwah kepada kabilah-kabilah Arab yang lain termasuk kaum Yahudi. Rasulullah SAW mempunyai seorang isteri di kalangan Bani Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyaiy RA kemudian di kalangan kabilah-kabilah besar yang lain.

Baginda memperisterikan Aisyah dan Hafsah anak perempuan Saidina Umar. Kedua-dua mereka ini daripada kabilah yang besar, selain merapatkan hubungan di kalangan para sahabat.

Ketiga, hendak menyampaikan sunnah-sunnah dalaman seperti dalam urusan rumah tangga antaranya tentang mandi wajib, tentang isu-isu berkaitan kewanitaan, persetubuhan dan gurau senda di dalam rumah tangga.

Hendak sampaikan bagaimana jika bukan melalui isteri-isteri baginda? Inilah antara tugas isteri-isteri baginda yang juga merupakan ummul mukminin bagi seluruh umat Islam.

Keempat, inilah keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Kristian kata tidak boleh atas sebab keistimewaan. Kita sebagai umat Islam juga beriman dengan Nabi Isa AS serta keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada baginda. Antaranya baginda boleh bercakap ketika masih bayi. Begitu juga dengan kelahiran baginda yang tidak berbapa.

Allah SWT telah tetapkan ibu baginda, Maryam AS yang tidak bersuami ada kandungan dan akhirnya lahir Nabi Isa AS. Bukankah itu juga keistimewaan? Tiada seorang pun umat Islam kata bahawa Nabi Isa itu anak luar nikah. Saya berlindung dengan Allah SWT, sesungguhnya orang Islam tidak pernah berkata sedemikian.

UTUSAN: Apakah pendustaan lain yang terdapat dalam filem terbaru ini?

FATHUL BARI: Filem terbabit menggambarkan Rasulullah SAW boleh buat apa sahaja. Digambarkan Al-Quran untuk baginda.

Dakwaan ini tidak betul. Allah SWT pernah menegur Rasulullah SAW di dalam Al-Quran, sebagai contoh di dalam surah Abasa. Surah ini dikaitkan dengan isu sahabat baginda yang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Allah SWT juga menegur sahabat-sahabat baginda.

Sebenarnya ini semua pendustaan yang digambarkan dalam filem tersebut. Jika kita tengok semula file mini, penyiarannya hanya di Youtube dan hanya bersifat trailer (sedutan filem). Mana filemnya?

Sebenarnya penerbit file mini mahu membangkitkan kemarahan dan provokasi kaum muslimin. Itulah yang berlaku di Negara Arab ketika ini. Mereka berjaya memecahbelahkan perpaduan orang Arab dengan pergaduhan. Di Iraq dan di Libya mereka ada peluang untuk campur tangan apabila Duta AS dibunuh.

Individu yang menerbitkan filem ini adalah penganut Kristian Koptik. Mengikut sejarah penganut Kristian Koptik mengamalkan agama tauhid. Mereka mengesakan Allah SWT. Bagaimanapun sekarang Kristian Koptik datang dengan wajah baru dan mereka telah berubah (berubah ke fahaman triniti).

UTUSAN: Boleh komen isu pembunuhan Duta AS di Libya?

FATHUL BARI: Bagi orang Islam, membuat filem menghina Rasulullah SAW adalah satu tindakan yang salah. Adakah ini bererti kita juga perlu bertindak dengan tindakan yang salah? Adakah tindakan kita betul dengan membunuh dia? Kalau berdasarkan emosi, memang tak payah diberitahu, kita cari semua dan kita bunuh semua.

Tetapi dalam Islam, tidak. Saya bagi satu contoh betapa Islam sangat menjaga para perutusan. Ini menyentuh berkenaan hubungan diplomatik, yang terhasil daripada perjanjian. Kamu masuk Negara aku, kami kena menjaga kebajikan dan keselamatan kamu. Bila kami pergi ke Negara kamu, kalian kena menjaga kami.

Kita ambil contoh perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Nabi Muhammad SAW dengan wakil Arab Musyrikin Mekah bernama Suhail bin Amru.

Antara isi perjanjian yang penting, orang Mekah kalau masuk ke Madinah, orang Madinah kena hantar mereka balik ke Mekah dan tidak boleh ditangkap.

Selesai sahaja perjanjian itu, anak Suhail bernama Abu Jandal telah memeluk Islam dan hendak mengikut baginda balik ke Madinah. Nabi Muhammad SAW bersabda, tidak boleh. Ini menunjukkan Islam berpegang kepada perjanjian.

Perkara sama perlu kita buat dalam isu Duta AS ke Libya ini. bukan kita pertahankan dia. Kita tidak pertahankan dia, Cuma kita katakan Islam mempunyai prinsip dan hadnya. Ini batasan-batasan yang Allah tetapkan, jadi jangan kau melampauinya.

Kita tidak boleh bunuh perutusan dan kita tidak boleh susahkan mereka, melainkan datang arahan daripada kerajaan yang mengarahkan Kedutaan AS di sini diserang. Ini dibolehkan kerana ada sebab lain.

Tetapi sekarang kita tidak bertindak seperti itu, kerana kita masih ada hubungan diplomatik. Jadi kita kena berhati-hati dalam tindakan dan biarlah ia dilakukan dengan neraca timbangan Islam.

UTUSAN: Bolehkah kita mengadakan demonstrasi?

FATHUL BARI: Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan. Saya tidak bersetuju dengan pendapat yang membolehkan demonstrasi kerana apabila kita hendak melahirkan rasa benci kepada orang yang membuat filem tersebut kita perlu melakukannya mengikut cara-cara yang ditetapkan oleh syarak.

Demonstrasi hanya memberikan semangat pada ketika itu. Impak dan kesannya pada hari itu sahaja, seperti mana kes Wilders yang dahulu. Selepas itu tidak ada apa-apa.

Sepatutnya, kita buka kitab Riyadush Shalihin dan tengok akhlak-akhlak Islam yang Nabi Muhammad SAW ajar yang perlu dibuat apabila kita membenci orang yang menggelar baginda dengan pelbagai tuduhan.

Ketika itu juga kita sepatutnya membuka kitab Syamail Muhammadiyah yang membincangkan mengenai kesempurnaan Rasulullah SAW, bentuk rupa paras baginda, cara baginda bercakap dan berjalan. Dalam filem itu, baginda digambarkan tidak memakai baju sedangkan kita tahu baginda tidak pernak tidak memakai baju.

Alangkah baiknya juga kalau diadakan satu majlis yang menghimpunkan umat Islam di stadium misalnya. Kita panggil ahli panel yang pakar dalam bidang agama. Kita tayang filem tersebut. Selepas itu pakar ini ulas bagi membakar semangat orang supaya membenci filem berkenaan dan orang-orang yang mencerca Nabi Muhammad SAW.

UTUSAN: Apakah tindakan selain daripada itu?

FATHUL BARI: Pertama sekali, kita sebagai kaum muslimin dalam keadaan sekarang kena bersabar. Sesungguhnya kekuatan itu bukan dengan pergaduhan tetapi kekuatan itu dengan mengekang hati di saat kita marah.

Sabar bukan bererti kita diam. Banyak orang salah faham mengenai perkara ini. sabar bererti kita menjaga batasan-batasan yang Allah SWT letakkan kepada kita.

Antara yang disyorkan adalah kita berdoa dan melakukan Qunut Nazilah. Buatlah Qunut Nazilah beramai-ramai dan berdoalah kepada Allah SWT. Mengikut sejarah, Qunut Nazilah dimulakan selepas peristiwa pembunuhan sahabat Nabi seramai 70 orang di Bir Al-Ma’unah.

Kemudian ia seharusnya disusuli dengan tindakan bersifat ilmiah. Contohnya sesiapa yang mampu, tanganilah dengan tangan. Kalau tidak mampu, buatlah dengan lisan dan kalau tidak mampu lagi buatlah dengan hati.

Kita di sini apa yang kita mampu buat? Umat Islam bagi yang pandai menulis kita menulis. Bagi yang boleh berceramah, sampaikan ilmu dan bangkitkan semangat masyarakat.

Apa yang kita nak sampaikan kepada masyarakat? Ini peluang untuk kita memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat, jelaskan mengenai fitnah yang telah berlaku. Apabila seseorang itu kenal Rasulullah SAW, ia membawa kepada mencintai baginda dan akhirnya dia akan mengikuti baginda.

Pada masa sama, tugasan pihak berwajib seperti IKIM dan JAKIM adalah untuk memperkenalkan kepada orang ramai termasuk bukan Islam mengenai sifat peribadi sebenar junjungan Nabi Muhammad SAW. Mereka kena jawab filem ini.

UTUSAN: Adakah pembikinan filem ini hasil dari kebebasan bersuara?

FATHUL BARI: Kita bersyukur dalam Negara kita, orang kita ini dalam bab-bab agama mampu bersatu dan bersuara bersama-sama.

Tetapi adakah kita yakin keadaan seperti ini akan berterusan sekiranya umat Islam dalam Negara kita tidak bersatu dan masing-masing ada kepentingan yang ingin mereka capai sehingga dasar-dasar dan prinsio Islam digadai. Ini realiti yang berlaku pada hari ini.

Baru-baru ini ada seorang daripada pemimpin pembangkang bukan Islam yang secara sinis menyindir kenapa umat Islam membuang masa mengadakan demonstrasi. Dia sepatutnya menjaga sensitiviti umat Islam.

Kalau kita ambil hukum hudud, sama ada yang pro-kerajaan atau pro-pembangkang daripada kalangan bukan muslim, mereka tidak berhak untuk melakukan penghinaan kepada hukum Islam.

Ini kerana umat Islam tidak pernah menghina mereka termasuk menyentuh mengenai tokong dan segala apa yang mereka sembah. Mereka yang hendak membantah dan mengkritik hukum hudud sebenarnya tidak faham pun mengenai hukum itu.

Kebangkitan orang yang seperti ini berpunca kerana mereka lihat umat Islam lemah dan berpecah. Apabila kita berpecah, sudah semestinya ramai yang akan mengambil kesempatan mencucuk kita dari seluruh aspek.

UTUSAN:  Apakah nasihat ustaz kepada umat Islam?

FATHUL BARI: Pesanan saya, jangan kita keterlanjuran dalam berpolitik sehingga prinsip dan dasar Islam kita digadai dan tergadai. Hal seperti ini akan berlaku apabila manusia mencari kepentingan terhadap diri mereka. Kedudukan dan wang ringgit diutamakan manakala nilai persahabatan, nilai Islam dan iman diketepikan.

Masing-masing bercakap atas asas kepentingan semata-mata dan masing-masing sibuk mencari kesalahan sesama muslim.

Ini yang akan berlaku dan terus berlaku. Jadi nasihat kepada diri saya dan semua sekali, untuk isu-isu Islam, kita mesti bersatu tanpa prejudis dan tanpa ada kepentingan politik.

Siaran akhbar 01/10/2012

Wawancara: Jawab dakwaan golongan anti-Islam Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:06 PM Rating: 5

1 comment:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.