Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Bagaimana Menghadapi Amalan Bid’ah

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Dalam mengejar redha Allah SWT apakah peranan kita di dalam menghadapi amalan bid’ah?

Jawapan:

Isu bid’ah merupakan isu yang sensitif bagi orang-orang tertentu. Sedangkan perkataan bid’ah itu diulang beberapa kali oleh Nabi SAW di dalam hadis. Cuma apa yang kita faham tentang ulasan Nabi SAW, dengan keadaan kita dan realiti masyarakat khususnya di negara kita pada hari ini. Apa yang masyarakat kita faham tentang perkataan bid’ah. Mereka tidak diberi pendedahan yang jelas dan ilmiah tentang bid’ah, tentang bagaimana ahli ilmu menyikapi bid’ah.

Perbahasan ilmiah tidak dibawa, sebaliknya mereka dibawakan dengan pandangan-pandangan atau kecenderungan ilmuan-ilmuan tertentu di dalam membahaskan bid’ah. Itu sahaja. Kita berhadapan dengan masyarakat yang belum faham apa itu bid’ah.

Bagi mereka, bid’ah ini terfokus kepada apa yang disandarkan kepada golongan-golongan yang dikatakan wahabi. Adakah perkara-perkara seperti majlis tahlil, yasin, itu sahaja bid’ah. Tidak,  bid’ah yang disebut oleh Nabi SAW mempunyai pengertian yang luas. Bid’ah dari sudut akidah, ibadah, akhlak dan muamalah. Ia merangkumi elemen-elemen penting di dalam Islam sendiri.

Masalah timbul apabila skop bid'ah dikecilkan dan dijadikan sebagai senjata untuk berperang sesama muslim, menyebabkan masyarakat kita terus menerus tidak memahami apa itu bid’ah.

Untuk melihat takrif bid’ah itu sendiri, Imam Asy-Syathibi ada pandangannya, Ibnu Taimiyah ada pandangannya, Imam Asy-Syafi’i ada pendapatnya, Imam An-Nawawi, Imam ‘Izz bin Abd As-Salam juga ada pendapatnya, dan banyak lagi imam-imam ASWJ yang mempunyai takrifan tentang bid’ah (tetapi ia tidak menyelisihi antara satu sama lain).

Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata,
Maksudnya: “Bid’ah itu terbahagi kepada dua, bid’ah mahmudah (terpuji) dan bid’ah mazmumah (dikeji). Apa yang bertepatan dengan sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi sunnah maka ia dikeji.

Sedangkan mereka yang menggunakan perkataan Imam Asy-Syafi’i ini tidak meneliti perkataan Imam Syafi’i sendiri, di mana beliau rahimahullah menyebut ‘yang bertepatan’ dengan sunnah barulah bid’ah baik, sedangkan yang menyelisihi sunnah adalah bid’ah yang buruk atau dikeji.

Maka kita perhatikan amalan-amalan yang kita lakukan bertepatan atau tidak dengan sunnah Nabi SAW. Barulah kita petik perkataan yang dibawa oleh Al-Imam Asy-Syafi’i. Kalau kita setakat petik Imam Syafi’i berkata bid’ah ada dua iaitu bid’ah baik dan bid’ah buruk, itu satu tindakan yang tidak adil dan dusta. Kita tidak memberikan takrifan yang sesuai dengan kehendak dan maksud imam Asy-Syafi’i rahimahullah.

Imam An-Nawawi rahimahullah yang berpendapat adanya bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah dhalalah (buruk). Tetapi kalau kita tengok Al-Imam An-Nawawi juga antara yang menolak majlis kenduri arwah 7 hari, 40 hari dan seterusnya, dan beliau menamakan majlis itu sebagai bid’ah al-munkarah (bid’ah yang tercela). Kenapa Imam An-Nawawi tidak mengatakan ia bid’ah hasanah?

Ini perkara-perkara yang perlu dibicarakan. Saya tidak bermaksud untuk membahaskan hukum amalan tersebut. Saya harap apabila kita bahaskan isu bid’ah kita buka minda kita, lebih bersikap global. Ini kerana apabila kita menghadapi masalah dalam memilih takrifan-takrifan para  ahli ilmu dalam urusan bid’ah, ia akan memberi kesan kepada semua urusan.

Puak-puak yang dituduh wahabi, yang dituduh mengatakan itu bid’ah, ini bid’ah, semua bid’ah, betulkah mereka mengatakan semua itu bid’ah? Itu juga masalah. Adakah isu baca bismillah kuat dan perlahan, apabila ada orang baca kuat, mereka mengatakan itu bid’ah? Saya kira tidak pernah lagi mana-mana pihak yang mengatakan demikian.

Isu bacaan yasin khusus malam Jumaat dan isu seumpamanya, kita tidak katakan ia isu yang terlalu kecil. Ia isu yang besar juga, sebab ia disandarkan kepada ibadat. Cuma yang lebih penting untuk kita semua fokus, ambil langkah paling mudah. Sekarang ini telah berada di hadapan kita kitab-kitab hadis yang sahih, contohnya Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Riyadhush Shalihin Imam An-Nawawi, dan yang lainnya. Kenapa tidak kita fokus untuk beramal dengan hadis-hadis yang sahih ini terlebih dahulu. Jadikan perkara itu prinsip kita, jangan berkelahi.

Perkara-perkara  yang tidak pasti, contohnya ada orang kata bid’ah, ada yang kata bukan bid’ah, kita tidak pasti ia betul atau tidak, kita letak tepi dulu. Ambil dan amalkan yang kita tahu sudah sedia ada di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Berpegang dengan yang itu terlebih dahulu, sebab ini pesanan sahabat Nabi SAW. Lebih baik kamu berhenti daripada melakukan 1 sunnah daripada kamu melakukan 1 bid’ah.

Agama bukan mengikut citarasa

Kita mungkin mengatakan sesuatu itu sunnah. Tapi kita tidak ada alasan, logik akal kita mengatakan amalan itu bagus. Kita bergantung kepada citarasa kita. Citarasa tidak akan ada penghujungnya.

Citarasa dalam berpakaian pun berbagai-bagai. Allah membenarkan kita bercitarasa dalam berpakaian, memilih calon isteri, memilih alat telekomunikasi, makanan, kereta, kesemua itu diberi kelonggaran. Manfaatkanlah citarasa bersungguh-sungguh dalam hal-hal keduniaan. Tetapi dalam bab agama tidak boleh. Tidak boleh beragama mengikut citarasa. Agama kita tidak boleh buat sesuka hati.

Sebab itu seorang lelaki pernah ditegur oleh Imam Malik bin Anas (yang pada masa itu menetap di Madinah). Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: "Wahai Abu 'Abdillah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut mulakan ihram? Jawab Imam Malik: "Dari Dzul Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram". Kata lelaki itu, “Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi.” Jawab al-Imam Malik, "Jangan". Kata lelaki itu, “Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi SAW.” Jawab al-Imam Malik, "Jangan, jangan buka pintu fitnah." Tanya lelaki itu, “Apa fitnahnya? Aku hanya menambah jarak sahaja.”

Jawab al-Imam Malik, "Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada orang menyangka bahawa perbuatan engkau lebih mulia daripada perbuatan Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW telah mengurangi kemuliaan tersebut berbanding engkau.  Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) "Berhati-hatilah mereka yang menyelisihi urusannya (Rasulullah SAW), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)" (Al-Syatibi, Al-I'tisam)

Itulah fitnah yang dibimbangi oleh Imam Malik. Apabila kelak orang menyangka perbuatan seseorang itu lebih baik dan lebih mulia daripada perbuatan Nabi SAW (kerana dia melakukan sesuatu “kebaikan” yang tidak pernah dilakukan Nabi SAW).

Sibukkan diri berdebat atau bertengkar dalam keadaan kita jauh daripada ilmu, ia perbuatan membuang masa. Alangkah baiknya kalau kita semua sama-sama praktikkan hadis-hadis Nabi SAW yang sahih. Kita analisa setiap amalan kita, ada atau tidak di dalam hadis. Jika tiada, jangan kata bid’ah (sebab mungkin kita mengaji belum habis). Tetapi letak ke tepi dahulu. Kita buat yang sahih dahulu.

Kalau kita asyik menyibukkan diri dengan hal ini, kita akan bawa kepada perbalahan dan perpecahan sesama kita. Walaupun hakikatnya bid’ah merupakan satu masalah yang serius. Sekiranya tidak serius, Nabi SAW tidak sebut dan tidak wasiatkan kepada para sahabat.

Di dalam wasiatnya yang panjang, dalam hadis Irbadh bin Sariyah yang masyhur, Nabi saw di subuh hari memberikan nasihat kepada sahabat. Sehingga sahabat kata nasihat Nabi itu menyebabkan mereka mengalirkan air mata, bergementar hati, seolah-olah apa yang Nabi SAW sampaikan itu merupakan wasiatnya yang terakhir.

Maka sahabat pun meminta, “Ya Rasulullah, berilah wasiat kepada kami.” Maka Nabi SAW bersabda,
((أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَة

Maksudnya: “Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar dan mentaati pemerintah, sekalipun yang menjadi pemerintah itu adalah hamba ‘abdi Habsyi (yang berkulit hitam). Maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah dia dengan gigi geraham. Dan jauhilah oleh kalian setiap perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah adalah sesat.’" (Riwayat Abu Dawud)

Itu wasiat Nabi SAW, iaitu;

  1. Bertakwa kepada Allah

  2. Taati pemimpin kamu walaupun yang memerintah adalah hamba abdi yang berkulit hitam

  3. Barangsiapa yang hidup selepas Nabi akan melihat perselisihan (bukan perpecahan) yang banyak

  4. Maka pada ketika itu, (solusi kepada perselisihan) hendaklah kamu melazimi sunnahku dan sunnah para sahabat

  5. (Solusi kedua) Hendaklah kamu jauhi benda-benda baru dalam agama, benda baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.


Itu perkataan Nabi. Cuma masalah yang boleh menimbulkan perpecahan ialah apabila kita bawa (perkataan bid’ah) kita tempek dekat orang, “Kau buat bid’ah, kau sesat, kau masuk neraka”. Yang itu masalahnya. Jangan tempek dekat orang.

Dalam proses kita mengaji, kita ada ilmu, kita ada akhlak dan etika dalam agama. Kita boleh membaca hukum, tetapi kita tidak boleh menghukum. Kita boleh baca hadis berkaitan bid’ah, tetapi untuk menghukum orang, itu isu lain.

Wallahu A’lam.

***

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=bkBoZ0IfLms
Bagaimana Menghadapi Amalan Bid’ah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:06 PM Rating: 5

2 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz. Mohon ustaz komen berkenaan isi blog ini. http://koleksiilmuhikmah.blogspot.com/ jzkk =)

    ReplyDelete
  2. […] http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/10/06/bagaimana-menghadapi-amalan-bidah/ […]

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.