Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Akhlak terpuji antara tanda baiknya akidah

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Apabila kita berbicara tentang selamatkan akidah, satu persoalan yang timbul; adakah masyarakat kita pada hari ini akidahnya rosak? Dan apa bukti akidah masyarakat pada hari ini rosak?

Mungkin kita melihat wujud di sana perkara-perkara syirik, khurafat dan tahayul. Syirik seperti tangkal, berjumpa dengan bomoh yang mengamalkan ilmu sihir, menggunakan pelaris di kedai-kedai, memuja kubur dan hal-hal yang seumpama dengannya, semua itu adalah syirik.

Adakah kita melihat kerosakan dan keruntuhan akidah hanya dari perspektif tersebut semata-mata? Masyarakat pada hari ini kurang sensitif dengan isu syirik. Mereka lebih sensitif dengan isu-isu yang berkaitan dengan akhlak.

Bukankah akhlak mencerminkan akidah seseorang? Bukankah orang yang benar akidahnya akan menzahirkan akhlak yang lurus dan mulia, seperti mana orang yang akidahnya benar, dia tidak menyekutukan Allah.

Kesemua ini ada keterikatan, bukankah orang yang akidahnya benar, ibadahnya benar? Bukankah orang yang akidahnya benar, akhlaknya mulia? Segala-galanya bergantung kepada akidah, segala-galanya bergantung kepada kepercayaan.

Saya bawakan satu contoh mudah; seorang anak yang mempercayai bahawasanya lelaki dan wanita yang ada di rumahnya itu adalah kedua ibu bapanya, yang menjaganya sejak kecil, menyediakan makanan dan pakaian, dan menghantarnya ke sekolah. Dia meyakininya.

Dengan kepercayaan tersebut, segala tindak tanduk, akhlaknya dan sikapnya terhadap kedua ibubapanya akan disesuaikan dengan kehendak kedua ibubapanya.

Apabila ibu bapanya suruh ke sekolah dia pergi, bila kedua ibu bapanya menyuruhnya makan dia akan makan, bila ibu bapanya menyuruhnya tidur maka dia akan tidur, apabila ibu bapa suruh belajar sampai masuk universiti, si anak akan belajar sampai masuk universiti.

Segalanya bermula daripada pengiktirafan dan kepercayaan bahawasanya kedua-dua ini adalah ibu bapanya. Jika datang kepadanya seorang lelaki asing yang menyuruh dia melakukan sesuatu, dia tidak akan mengendahkannya kerana lelaki itu bukan siapa-siapa baginya dan dia tidak wajib taat kepada lelaki tersebut.

Begitu juga ketika di sekolah, dia percaya ini gurunya maka dia akan mendengar arahan gurunya. Sebab itu guru apabila marah kerana murid yang tidak mendengar kata, dia akan mengingatkan kembali muridnya dengan berkata, “saya ini cikgu kamu.” Begitu juga seorang ibu apabila memarahi anaknya, dia akan berkata, “saya ini emak kamu, sayalah yang melahirkan kamu.”

Mengapa disebut perkataan sedemikian rupa kalau bukan untuk mengingatkan anaknya bahawasanya dia adalah ibu, bapa, ataupun guru. Kerana dengan pengiktirafan dan kepercayaan, ia akan meluruskan dan memperbetulkan tindakan.

Begitu juga apabila kita bercakap tentang akidah yakni kepercayaan kepada Allah SWT. Kepercayaan kepada Allah SWT sewajarnya meluruskan dan memperbetulkan ibadat yang kita lakukan. Sebetulnya akan mampu meluruskan akhlak kita dan menjadikan akhlak kita sebagai akhlak yang mulia, sesuai dengan kehendak Islam, bukan kehendak emosi, nafsu, atau kelompok dan pertubuhan yang kita ikuti.

Begitu juga mana mungkin kita beribadah sesuai dengan kehendak kumpulan kita, kita beribadah sesuai dengan kehendak Allah SWT semata, begitu juga halnya dengan urusan akidah.

Kalau kita imbas kembali beberapa peristiwa seperti pelajar menghina gambar perdana menteri, begitu juga ada pihak yang menghadiahkan kek berbentuk najis kepada pemimpin di sebuah negeri, dan beberapa lagi insiden yang membabitkan akhlak dan juga sikap, yang kadangkala apabila ianya dilakukan kerana kepentingan politik pihak tertentu, maka masing-masing pihak yang mempunyai kepentingan hanya mendiamkan diri dan memberikan sokongan.

Sedangkan kita berakhlak untuk apa? Kita beribadah untuk siapa? Kalau benar-benar kita hidup di atas muka bumi ini untuk Allah dan kerana Islam, dan kehidupan kita sebagai seorang Muslim, perkara yang betul kita harus katakan betul, dan perkara yang salah harus kita katakan salah.

Menghina gambar pemimpin negara, menghadiahkan kek berbentuk najis, ini satu sikap yang tidak berakhlak. Begitu juga dengan sikap mengeluarkan kata-kata yang tidak baik bagi sesiapa sahaja, membongkar dan menyebarkan keaiban orang, ini semua bukan akhlak dan sikap yang baik.

Saya hairan apabila kadang-kadang saya menegur isu-isu yang seperti ini, ada sebahagian orang berkata, “Ustaz, ini politik. Politik lain.”

Saya katakan, adakah dengan berpolitik mengharuskan kita melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam syariat? Adakah itu alasan kita untuk kita berdusta atas nama Allah SWT?

Ini perkara yang sangat bahaya. Ini antara perkara yang boleh meruntuhkan akidah. Ini antara perkara yang menunjukkan dan membuktikan betapa nipis dan rapuhnya akidah umat Islam pada hari ini.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=dqcEOUFjaLA

 
Akhlak terpuji antara tanda baiknya akidah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:12 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Baderul Hisham Bin Jumaat08 October, 2012

    Salam Ustaz FBMJ !

    Aapa khabar Al Ustaz ?

    Saya amat mengikuti tulisan dan juga apa komentar terkini dari Ustaz. Kupasan yang diulas begitu baik, mudah dan sampai mesejnya. Cuma satu topik je saya baca , tak boleh masuk sbb banyak sangat soalan mengenai bid'ah. Biarlah ianya disitu seketika.

    Soalan :-
    1) Bolehkah zakat di berikan pada orang kafir dalam konteks negara Malaysia.

    2) Benarkah Rasulullah s.a.w pernah memberi zakat pada Abi Suffian dan Umar ketika mereka masih belum memeluk Islam ? Kiranya ada, apakah rasional disebalik kisah tersebut ?

    Itu saje setakat ini, wassalam Ustaz FBMJ !

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.