Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Dia Literalis

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Apakah itu literalis, adakah ia sesat? Bagaimanakah untuk membezakan antara literalis dan tidak literalis?

Jawapan:

Ada banyak sebab dan punca yang menyebabkan seseorang menjadi literalis. Maksud literalis adalah orang yang bergantung kepada dua perkara;

  1. Memahami makna zahir hadis semata-mata

  2. Bergantung kepada hanya satu hadis dan tidak merujuk kepada hadis lain.


Memahami hadis secara zahir

Ada hadis yang kita memang perlu faham secara zahir. Ada hadis yang perlu kepada penjelasan dan penilaian. Contoh hadis yang perlu difahami secara zahir;
بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله ، وأن محمدا رسول الله ، وإقام الصلاة ، وإيتاء الزكاة ، وحج البيت ، وصوم رمضان

Maksudnya: “Dibina Islam atas lima perkara: Persaksian bahawa tidak ada tuhan yang disembah dengan benar melainkan Allah SWT dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji di Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas tidak boleh difahami melainkan secara literal. Hadis tersebut menetapkan rukun Islam ada 5 perkara. Hadis lain yang juga difahami secara literal,
لا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ , فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian memuja aku seperti mana golongan Nasrani memuja Isa bin Maryam, sesungguhnya aku hamba Allah dan aku utusan-Nya.” (riwayat Al Bukhari)

Juga hadis Nabi SAW tentang bacaan di dalam solat,
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah Al-Fatihah.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Tentang bacaan zikir di dalam solat, diriwayatkan bahawa Nabi ketika sujud membaca,
سبحان ربي الأعلى

Maksudnya: “Maha suci Tuhan yang Maha Tinggi.” (riwayat Muslim)

Bagaimana lagi hadis-hadis ini hendak difahami jika tidak secara literal kerana itu yang Nabi SAW ajarkan. Malah bukan dalam bab itu sahaja tetapi dalam bab-bab yang lain juga.

Walaubagaimanapun, ada juga hadis Nabi SAW yang perlu kepada pemahaman yang detil.

Kaedah memahami hadis ada banyak peringkat. Kalau mengikut susunan dan turutan ahlul hadis dalam memahami hadis adalah;

  1. Menghimpunkan semua dalil dalam isu yang berkaitan.

  2. Mengklasifikasikan setiap hadis berdasarkan status atau darjat, hadis sahih diasingkan dari hadis lemah dan palsu. Singkirkan yang lemah dan palsu.

  3. Semak setiap hadis untuk melihat adakah hukumnya telah dimansuhkan oleh Nabi SAW. Singkirkan hadis-hadis yang telah dibatalkan hukumnya.

  4. Daripada semua hadis yang sahih dan tidak dibatalkan hukumnya, hubungkan kesemua hadis yang ada tanpa meninggalkan mana-mana hadis. Pemahaman terhadap kesemua hadis dibuat tanpa menolak satu pun daripada hadis-hadis yang ada. Dari situ dibuat kesimpulan.


Contohnya adalah isu membaca bismillah di dalam solat secara kuat atau perlahan. Setelah mengikut semua langkah di atas, kesimpulan yang dibuat adalah kadang-kadang kita diharuskan membaca bismillah secara kuat dan diharuskan selalu membaca bismillah secara perlahan, kerana hadis membaca bismillah secara perlahan sangat banyak di akhir-akhir hayat Nabi SAW maka kita mendahulukan yang paling banyak. Adapun hadis yang menguatkan suara kebanyakannya dilakukan ketika Nabi SAW di Makkah sebelum hijrah. Itu contoh bagaimana kaedah untuk memahami hadis.

Tetapi kalau ada yang melihat satu hadis dan terus berpegang dengan satu hadis itu sahaja, itu tidak dibolehkan. Itu yang dinamakan sebagai literal. Literal adalah memahami dalil tidak secara keseluruhan atau mengambil makna hanya pada zahir hadis tanpa merujuk kepada penjelasan-penjelasan yang ada berdasarkan kaedah-kaedah ushul maka ia boleh membawa kepada kesesatan.

Contoh yang hebat diperkatakan sekarang adalah dalam bab menasihati pemimpin. Untuk mendapatkan hukum dan kaedah menasihati pemimpin, kita hendaklah menghimpun semua dalil-dalil tentang menasihat. Tidak boleh memilih hadis yang kita suka sahaja, dan meninggalkan hadis-hadis yang lain.

Hadis Nabi seperti “Barangsiapa yang hendak menasihati pemimpin hendaklah bersendirian dengannya, peganglah tangannya….(hingga akhir hadis)” maka asas menasihati pemimpin adalah bukan dengan cara membuka keaibannya di khalayak ramai.

Lihat pula hadis Nabi “perkataan benar di hadapan pemerintah yang zalim.” Kalimah ‘inda (di sisi) dalam hadis tersebut bererti amaam (di hadapan) pemerintah, maka yang dimaksudkan menasihati pemerintah hendaklah dalam keadaan pemerintah itu ada di hadapan orang yang menasihati, tanpa mengaibkannya.

Kesemua hadis-hadis sahih yang berkaitan perlu dihimpun tanpa meninggalkan satu pun daripadanya, barulah boleh dibuat kesimpulan. Jika hanya melihat sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, itulah yang dinamakan literalis.

Contoh hadis yang tidak boleh difahami melalui makna zahir teks hadis,
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika dia tidak mampu hendaklah dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengingkari dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (riwayat Muslim)

Hadis di atas tidak boleh difahami secara literal kerana terdapat penjelasan di dalam hadis-hadis lain. Kalau ia difahami secara literal nescaya apabila melihat orang buat salah mungkin orang yang melihatnya akan terus menampar atau terus membantahnya dengan tangan. Untuk memahami hadis kita hendaklah melihat hadis Nabi yang lain dan berkaitan, antaranya melihat kepada status orang yang hendak ditegur, hadis yang membezakan kaedah menegur pemimpin dan kaedah menegur orang awam, hadis yang membezakan kaedah menegur orang bodoh dan orang cerdik, kaedah menegur orang yang tahu tentang Islam dan menegur orang yang tiada asas tentang Islam. Semua perkara ini perlu dibezakan. Ini baru dikatakan tidak literal.

Dalam isu menegur pemerintah menggunakan kaedah demonstrasi, tidak boleh kita mengharuskannya hanya dengan mengambil satu hadis berkenaan jiran. Kata Nabi SAW kepada seorang lelaki yang mengadu tentang jirannya lalu Nabi menyuruhnya mengeluarkan barang-barang dari rumahnya. Apabila orang lalu dan bertanya, beliau memberitahu dirinya disakiti jirannya. Dari hadis itu mereka mengeluarkan hukum harus membetulkan pemerintah secara demonstrasi.

Inilah sebenarnya fahaman literal, sebab dia melihat hadis ini sahaja tanpa melihat hadis-hadis yang lain seperti hadis yang menerangkan kaedah menegur pemerintah, larangan-larangan dalam menegur pemerintah, ada atau tidak demonstrasi dalam Islam, sejarah demonstrasi dan sebagainya. Kemudian dia mentakwil pula hadis jiran itu mengikut sesuka hati dengan mengaitkannya dengan pemerintah. Jadilah literal yang liberal, satu perkara yang sangat ganjil (menafsirkan agama mengikut hawa nafsu).

Demonstrasi ini juga jangan hanya melihat kepada BERSIH sahaja, tetapi lihatlah kepada semua bentuk demonstrasi. Semua jenis demonstrasi tiada manfaat, kerana ia bukan cara Nabi untuk menyeru kepada amar ma’ruf dan nahi munkar. Sama ada ianya demonstrasi kutuk yahudi, demonstrasi membantah orang mengutuk Islam sekalipun tiada manfaatnya, sebab ini bukan kaedah amar ma’ruf nahi munkar yang diajar didik oleh Nabi SAW.

Wallahua’lam.

Teks disalin berdasarkan rakaman berikut:

Ustaz Fathul Bari: Pemikiran Imam As-Syafie (part 5/6)
Dia Literalis Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:00 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Assalamualaikum Ustaz,

    Saya ada satu soalan..

    hari ini kita dapat lihat orang melayu yang beragama islammencaci memaki sesama sendiri.. dan telah merebak kepada kejadian memaki dan menghina sultan dan pemimpin sama ada di fb, di blog dan juga di kedai2 kopi.. Apakah hukum menghina pemimpin? komen ustaz..

    jzkk

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.