Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Cara menuntut ilmu: Dari 1 guru atau pelbagai?

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Berkaitan menuntut ilmu, dalam menuntut ilmu kita perlu mencari guru yang mengajar berlandaskan As Sunnah. Tetapi adakah kita menuntut ilmu perlu fokus dengan satu guru sahaja atau pun boleh menuntut ilmu dengan guru yang pelbagai dan juga di pelbagai tempat?

Jawapan:

Pertama sekali, kita perlu mengenali ilmuwan yang ingin kita mengambil ilmu daripada mereka. Perkara ini dididik oleh para ahli ilmu zaman berzaman. Sejak zaman Nabi lagi baginda SAW telah mengkhabarkan di dalam hadis riwayat Abu Dawud,
العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يُوَرِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنما وَرَّثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Maksudnya: “Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi SAW tidak mewariskan dinar ataupun dirham (kekayaan), sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu) maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak.” (riwayat Abu Dawud)

Dari sini Nabi memberikan kepada kita takrifan dan ciri-ciri ulama. Jadi untuk kita mengiktiraf seseorang itu ulama, ilmu yang dibawanya mestilah sama seperti ilmu yang dibawa oleh Nabi SAW, sekurang-kurangnya dia menyeru manusia mengikut Nabi.

Kita perlu berhati-hati dengan orang yang menyeru manusia supaya mengikuti dirinya atau kelompoknya. Kita tidak mahu wujud lagi individu atau kelompok yang mengajak orang ramai mengikuti mereka dan membelakangi Al Quran dan hadis, mereka inilah ulama-ulama perosak.

Batang tubuhnya bukan dalil, dia manusia biasa. Lihatlah apa yang dia sebut sesuai atau tidak dengan petunjuk agama dan syariat Allah SWT. Tetapi apabila berhadapan dengan kejahilan, kita sendiri tidak mengetahui dan tidak mampu membezakan dan memilih mana yang benar, maka kita perlu berhati-hati.

Kita perlu perhatikan betul-betul apa yang disampaikan, apa perkataan-perkataan yang keluar daripada lisannya, adakah berasaskan Al Quran dan sunnah, adakah dia menyatakan ulasan dan penjelasan para sahabat Nabi, atau adakah dia mengulasnya mengikut pendapatnya sendiri. Ini kerana kaedah memahami Al Quran dan hadis perlu betul yakni menurut pemahaman para sahabat dan golongan yang mengikuti mereka dengan baik.

Contohnya dalam permasalahan jihad, hadis Nabi tentang jihad yang digunakan sudah betul, tetapi cara dan kaedah jihad yang difahami kebanyakan orang adalah salah. Begitu juga kita perlu berhati-hati dalam permasalahan lain.

Bukan sahaja kita mahu mengikuti Al Quran dan hadis, tetapi kita mahu mengambil kefahaman tentang Al Quran itu daripada generasi sahabat Nabi, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in kerana mereka adalah generasi yang Allah SWT dan Rasul SAW muliakan di dalam wahyu. Telah disebutkan kedudukan mereka,
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Ertinya: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian yang menyusul setelah mereka kemudian yang menyusul setelah mereka.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Kedua, apabila ustaz-ustaz dan ilmuwan-ilmuwan ini banyak dan pelbagai, perlu untuk kita ketahui prioriti dan bidang ilmu yang ingin kita pelajari. Tidak ada seorang pun individu Muslim di atas muka bumi ini melainkan tanggungjawab dan ilmu pertama yang perlu dia tuntut adalah ilmu akidah.

Bagaimana hendak mentauhidkan Allah SWT, bagaimana caranya untuk mengesakan Allah SWT pada setiap perbuatan-perbuatan-Nya, bagaimana mengesakan Allah SWT dalam setiap peribadatan kita kepada-Nya, bagaimana hubungkait antara ibadat dengan mengesakan Allah SWT. Bagaimana untuk meraih ihsan jika kita tidak merasai hubungan dengan Allah SWT? Ihsan yang Nabi SAW nyatakan di dalam hadis,
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ ، فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Ertinya: "Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, dan sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihatmu." (riwayat Al-Bukhari no 50 dan Muslim no 8)

Perasaan ini tidak akan datang kecuali dengan penghayatan tauhid, dan tidak akan ada tauhid jika kita tidak ada kesungguhan mempelajarinya. Inilah akidah yang merupakan tujuan para Nabi dan Rasul diutuskan, maka kita perlu menuntut ilmu ini dan jadikan ianya prioriti dalam menuntut ilmu.

Pada masa yang sama, di sana ada juga ilmu-ilmu berkaitan hukum hakam atau dalam bahasa lainnya dipanggil fardhu ‘ain. Kita perlu mempelajari solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya.

Setelah kita mengenalpasti keutamaan dan guru-guru yang benar manhajnya, kita fokus kepadanya dan janganlah tergopoh gapah. Pesan Imam Asy-Syafi’i rahimahullah, masa menuntut ilmu itu panjang. Berkata juga Imam Ahmad rahimahullah yang sentiasa membawa pen dan dakwat ke mana-mana sehingga sahabatnya bertanya sampai bilakah dia akan berkeadaan seperti itu, jawabnya “bersama-sama dakwat ini aku akan bawa sampai ke kubur (mati).”

Inilah sikap yang sebetulnya, pilih guru dan pilih juga bahan bacaan yang benar. Carilah satu buku akidah yang ringkas dan elok susunannya contohnya seperti karangan Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi’i Indonesia bertajuk Syarah Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pastikan di setiap surau ada sekurang-kurangnya satu kitab tersebut. Kitab itu memuatkan poin-poin ringkas, turut memperkenalkan kepada kita tentang Imam Mahdi seperti isu yang timbul baru-baru ini, juga pembahasan-pembahasan akidah yang lain.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

http://www.youtube.com/watch?v=QoFQ0kP1wJA&feature=plcp
Cara menuntut ilmu: Dari 1 guru atau pelbagai? Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 11:19 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.