Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Penjelasan isu zikir/doa yang dikaitkan dengan Al-Imam Asy-Syafi'i rahimahullah

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Saya melihat di youtube seorang ustaz bercakap tentang doa atau zikir yang dikaitkan dengan Imam Syafi’i. Saya mempelajari zikir ini sejak zaman sekolah, apabila membaca doa tersebut, rasa hendak menangis itu ada tetapi bukan bermaksud kita tidak mahu masuk syurga atau duduk di tengah-tengah antara syurga dan neraka. Semakin kita belajar, ilmu kita makin bertambah dan kita tidak mahu mengamalkan sesuatu secara ikut-ikutan sahaja. Jadi saya inginkan kepastian daripada ustaz tentang persoalan ini.

Jawapan:

Bismillah,

Sebenarnya isu ini bukanlah isu mengkritik Imam Asy-Syafi’i, mereka tidak faham apa yang dibahaskan. Sebenarnya isu pertama adalah isu sanad atau sandaran zikir tersebut kepada Imam Syaf’i adalah sangat diragukan. Kita bercakap tentang sandaran ke atas nama Imam Asy-Syafi’i. Kata Imam Muhammad Ibn Sirin rahimahullah,
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Ertinya: “Ilmu adalah agama, maka telitilah dari siapa kalian mengambil agama kalian.” (riwayat Imam Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim)

Banyak orang mengatakan zikir tersebut diajar oleh Imam Syafi’i. Berapa banyak dalam negara kita orang mengatakan ini dari mazhab Syafi’i, itu dari mazhab Syafi’i, namun apabila disemak, adakah benar ianya dari mazhab Syafi’i? Tidak.

Mendakwa dengan dakwaan sangat mudah. Begitu juga dalam isu ini. Sila buktikan zikir ataupun doa “ilahi lastu lil firdausi....(hingga akhir)” itu pernah disebut oleh Imam Asy-Syafi’i. Datangkanlah ia bersama dengan sanad anak muridnya.

Kalau sekadar mengatakan zikir itu ada di dalam kitab, memang sesiapa sahaja boleh menulisnya di dalam kitab. Tetapi di manakah bukti dan sandarannya? Itu persoalan yang pertama.

Persoalan kedua adalah tentang kaedah dan cara berzikir. Kita membawakan kaedah dan cara berzikir Nabi SAW dan membandingkannya dengan zikir tersebut secara ilmiah.

Adab dan cara Nabi SAW berzikir, baginda menggambarkan kepada kita bahawasanya kita perlu mendambakan dan meminta syurga. Sebab itu di dalam hadis Nabi menyuruh kita menangis ketika meminta daripada Allah SWT. Kalau tidak dapat menangis, Nabi suruh buat-buat menangis. Ini menggambarkan betapa kita perlu meminta bersungguh-sungguh daripada Allah SWT, rajak yakni dengan penuh pengharapan.

Adapun zikir tersebut menggambarkan “aku tidak layak ke syurga, tetapi aku tidak sanggup ke neraka, maka disebabkan hal itu ampunkanlah dosa-dosaku.”

Cara dan kaedah berdoa seperti itu adakah sesuai dengan cara dan kaedah yang Nabi SAW ajarkan? Itu sahaja yang dibahaskan. Nabi SAW menunjukkan kepada kita kaedah berdoa kepada Allah SWT adalah dengan meminta apa sahaja yang hendak diminta (tanpa berprasangka buruk bahawa kita tidak akan memperolehnya kerana tidak ada yang susah bagi Allah SWT).

Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh, kita diajar untuk meminta syurga Allah SWT.

“Rabbana aatinaa fid dun-yaa hasanah, wa fil Aakhirati hasanah, waqinaa ‘adzaaba an-Naar” doa ini mengajar kita untuk meminta agar dijauhkan terus dari azab api neraka, bukan setakat mengatakan “tetapi aku tidak sanggup ke neraka-Mu, oleh itu....” Bukan sekadar tidak sanggup, tetapi kita harus bersungguh mengatakan yang kita tidak mahu ke neraka dan mohon dijauhkan daripadanya.

Jangan mengatakan “aku tidak layak ke syurga” tetapi katakanlah dengan bersungguh-sungguh bahawa kita benar-benar ingin ke syurga-Nya. Begitulah cara yang benar dalam kita meminta daripada Allah SWT, yakni dengan penuh kesungguhan, pengharapan, menangis, kalau tidak mampu menangis harus buat-buat menangis.

Lafaz dan cara berdoa

Kita perlu faham, ada beberapa perkara yang dibahaskan dalam adab dan etika berdoa. Pertama adalah tentang lafaz doa. Kedua adalah tentang cara kita berdoa. Dua perkara ini sangat penting untuk difahami.

Lafaz doa boleh datang dengan dua cara. Pertama, lafaz doa daripada Al-Quran dan As-Sunnah seperti yang terdapat di dalam Al Quran ataupun hadis Nabi SAW. Kedua, lafaz doa yang kita ciptakan sendiri berdasarkan keperluan dan kehendak.

Lafaz doa yang kedua adalah harus sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Abu Dawud, kata Nabi SAW, mohonlah dari Allah SWT walaupun untuk memohon garam ataupun selipar. Walaubagaimanapun, dari segi adabnya, baginda tidak menyukai meminta sesuatu dengan menyebutnya secara terperinci. Nabi SAW lebih menyukai doa yang bersifat umum. Sifat doa ini pun kita perlu mencontohi Nabi SAW.

Jenis-jenis doa

          1. Doa yang dijadualkan

Erti doa yang dijadualkan ini ialah doa yang ditetapkan waktu, tempat, lafaz bacaan ataupun jumlah bilangannya oleh Nabi SAW. Kaedah membaca doa ini mesti mengikut ketetapan yang dikhususkan.

Contoh, doa masuk ke tandas mesti dibaca ketika hendak masuk ke tandas dan tidak boleh dibaca sebelum memulakan solat walaupun maksud doa itu baik dan bagus dan dilihat seolah-olah sesuai dibaca pada bila-bila masa. Doa yang ditetapkan untuk dibaca sebelum tidur tidak boleh diubah masanya dan dibaca sebelum makan. Zikir selepas solat yang ditetapkan lafaz dan jumlahnya sebanyak 33x 3 = 99 tidak boleh diubah lafaznya serta bilangannya melebihi daripada itu walaupun ianya dilihat seolah-oleh lebih baik.

          2. Doa yang tidak dijadualkan

Doa yang tidak ditetapkan waktu, tempat, lafaz, ataupun jumlah bilangannya maka doa ini boleh dibaca mengikut keperluan dan kemampuan tetapi tidak boleh ditetapkan masa, tempat, lafaz, bilangan oleh sesiapa pun.

Contoh, zikir yang tidak ditetapkan bilangannya oleh Nabi SAW, tidak boleh kita memandai-mandai menetapkan jumlah bilangannya supaya dibaca 100x, 1000x, dan sebagainya, dan tidak boleh pula ditetapkan waktu dan tempat bacaanya jika ia tidak pernah ditetapkan atau dikhususkan oleh Nabi SAW.

Begitu juga dengan zikir yang kita sedang bahaskan ini – ilahi lastu lil firdaus – pertama adalah dari sudut sandarannya kepada Imam Asy-Syafi’i, setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang membuktikan zikir ini dibaca oleh Imam Syafi’i. Isu kedua adalah dari sudut kaedah dan cara berdoa Nabi SAW.

Sekiranya benar pun zikir tersebut pernah dibaca oleh Imam Syafi’i, tetapi sekiranya ia bercanggah dengan cara dan kaedah Nabi SAW berdoa, maka kita mengambil prinsip Imam Asy-Syafi’i iaitu kata beliau,
إِذَا وَجَدْتُمْ فِيْ كِتَابِيْ خِلاَفَ سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَقُوْلُوْا بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ وَدَعُوْا مَا قُلْتُ. وَفِيْ رِوَايَةٍ : فَااتَّبِعُوْهَا وَلاَ تَلْتَفِتُوْا إِلَى قَوْلِ أَحَدٍ

Ertinya: “Apabila kalian mendapati dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi sunnah Rasulullah maka ikutilah sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah perkataanku. Dan dalam riwayat lain: maka ikutilah ia dan janganlah menoleh ucapan seorang pun.”

Walaubagaimanapun kita tetap menghormati Imam Asy-Syafi’i dan kita tidak pernah menghina beliau rahimahullah. Ini masalahnya apabila masyarakat mempunyai suatu tanggapan yang salah iaitu apabila meninggalkan pendapat seseorang bererti menghinanya.

Tanggapan seperti ini sangat salah. Kita tidak menghina atau merendahkan. Berapa ramai anak murid Imam Asy-Syafi’i meninggalkan pendapat Imam Asy-Syafi’i. Jumhur mazhab Syafi’i termasuk Al-Imam An-Nawawi meninggalkan pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i dalam permasalahan pahala membaca Al-Quran sampai kepada si mati. Imam Asy-Syafi’i mengatakan pahala membaca Al-Quran tidak sampai kepada si mati. Adakah ini bererti Imam Nawawi dan ulama lain menghina Imam Syafi’i kerana menolak pendapat beliau? Sudah tentu tidak. Ulama-ulama yang berbeza pendapat tidak menghina dan mereka menghormati Imam Syafi’i walaupun menolak sebahagian pendapat beliau.

Begitu juga kita, kita tetap mengasihinya. Meninggalkan sebahagian pendapatnya (untuk mengikuti contoh yang lebih mendekati sunnah) bukan bererti kita menghinanya. Permasalahan ini hanya timbul di kalangan orang-orang yang tidak memahami kaedah dan adab dalam berikhtilaf.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :
http://www.youtube.com/watch?v=iAq_874N8vc 
Penjelasan isu zikir/doa yang dikaitkan dengan Al-Imam Asy-Syafi'i rahimahullah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 3:25 PM Rating: 5

8 comments:

  1. Muhammad Jamil28 August, 2012

    Tanpa Prejudis: Walau apapun hujah dan pembentangan. Asalkan tiada penafian terhadap Institusi Kerohanian yang meliputi hal-hal Thariqat dan Kesufian yang mu'tabar maka kita terima. Ini kerana kemuncak 'perjuangan Wahhabi' ialah menafikan persoalan kerohanian diatas.

    ReplyDelete
  2. Janganlah berbalah pasal isu yang kecil ini16 November, 2012

    http://www.youtube.com/watch?v=1eo8UvLBcGA

    ReplyDelete
  3. Khairul Anwar bin Mohd. Din24 November, 2012

    Assalamualaikum ustaz,

    bagi saya pendapat yang mengatakan syair atau zikir tu daripada imam syafie adalah tidak menjadi isu, apa yang lebih penting adalah maksud dan makna 'syair' atau zikir tersebut yang patut kita bincangkan..

    pertama sekali, saya rasa ia lebih kepada pengakuan seorang hamba.. kepada TuhanNya.. tapi kalau disebut zikir saya boleh diterima.

    Siapa diantara kita umat islam... bahawa kita memang tidak layak.. kalau betul layak.. saya nak tahu.. siapa yang berani kata dia layak??

    so, zikir ni lebih kepada memperingatkan diri kita.. sama ada wujud sanad atau bukti ia daripada imam syafie.. tidak penting. tapi apa yang lebih penting.. adalah mengatakan kita ni HAMBA.
    tak layak masuk syurga.. disebabkan AKAL yang ALLAH bagi.. tidak dapat menjangkau.. BERAPA TAHUN AMAL kita di DUNIA ni sama dengan balasan SYURGA ALLAH..

    kalau boleh saya ingin berkongsi.. sedikit pengalaman saya.. ni lah, masa menonton youtube.. gemar saya melihat orang2 yang memeluk atau kembali kepada Islam (muallaf)..
    Jadi, ada seorang saudara baru.. kira2 12 tahun suda beragama islam.. Yusha Evans..
    menanyakan soalan..

    " What do you think that qualifies you to enter JANNAH?? " Sebelum dia jawab dalam video tu, dalam fikiran saya suda terjawab, bahawa, amal saya.. sembahyang, puasa, zakat, naik haji, tolong orang susah, buat kebajikan, derma dan yang sewaktu dengannya akan melayakkan saya masuk syurga..

    tiba2 dia jawab.. "nothing that YOU do can qualify you to ENTER jannah.. ONLY BY HIS MERCY ALONE THAT YOU ARE ABLE TO ENTER JANNAH.. "
    kepala saya terus macam dihempap sekarung SIMEN..

    tanyalah.. mana2 ulama.. yang berani kata dia LAYAK masuk syurga.. tak kan ada.. sebab diorang yang lebih tahu..

    kalau tanya saya masa dulu.. ustaz.. memang lah saya kata saya layak.. kalau saya tak putus sembahyang, tekun puasa dan sebagainya..

    tapi.. kalau pasal minta ni.. kalau boleh.. saya nak.. yang minta sama dengan apa yang diberi kepada rasullulah.. ustaz rasa saya layakkah?? tentulah tak layak.. betul tak..

    Wallahualam..

    ReplyDelete
  4. Khairul Anwar bin Mohd. Din24 November, 2012

    correction/pembetulan - Line 6 / Baris 6

    "Siapa diantara kita umat islam yang mengatakan 'kita tidak layak masuk syurga' itu salah.. kalau betul layak.. saya nak tahu.. siapa yang berani kata dia layak

    ReplyDelete
  5. Hamba Allah25 March, 2013

    Sudah sudah Fathul oi , kau ilmu tak tinggi mana pon nak dibanding dgn Imam Syafi'e , then jangan nak mcm mcm kata zikir tu khurafat bagai . Esok lusa nnti tgk , kau yang menyesatkan org . Kau jangan , teruk kau kalau nak sesatkan org dgn nama ustaz , ini MUNAFIK namanya . Wallahualam .

    ReplyDelete
  6. kalau dah terpedaya dgn dunia.. mcm2 kita leh backup.. jd mcm jamil khor, kta nk tlg islam, x nk dunia.. tgk rumah dia skrg.. masyallah, besar nya.. tgk mashitah.. da kuar hukum hakam yg x ptt.. dunia oh dunia.. Ya Allah, Engkau berikanlah hidayah dan pertolongan mu, dan kau berikanlah petunjuk ke atas jalan yg benar dan lurus.. buka kanlah mata hati mereka, supaya mereka dpt melihat dgn lebih jelas.. Amiin..

    ReplyDelete
  7. Ilahilastulilfirdaus...bkn zikir khusus, ia sebuah syair yg popular dan indah oleh abu nawas.

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.