Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Meraih buah taqwa sesudah Ramadan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Segala puja dan puji kepada Tuhan yang Maha Agung dan Maha Esa yang memberikan kesempatan kepada kita semua menyempurnakan Ramadan dan menikmati indahnya Syawal sekali lagi pada tahun ini. Semoga Allah menerima setiap penat dan lelah kita di sepanjang bulan yang lalu.

Demikian juga, setelah berakhirnya madrasah tarbiyah Ramadan mudah-mudahan beroleh buah taqwa yang telah Allah janjikan dalam al-Qur’an:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sama seperti diwajibkan ke atas generasi sebelum kalian agar kalian bertakwa." (surah Al-Baqarah, 2: 183)

Buah dari taqwa itu diperoleh apabila umat Islam tetap taat atas perintah Allah, meninggalkan larangan Allah dan bersabar atas ujian yang Allah timpakan. Jika sepanjang Ramadan umat Islam sanggup berjuang sepanjang malam sepanjang bulan semata-mata untuk menunaikan ibadah yang hanya sunat yakni solat tarawih. Hasil dari itu tentu sahaja menunaikan solat wajib secara berjemaah di masjid menjadi lebih ringan dan mudah.

Satu hal yang sering disalah tanggap oleh orang Islam hari ini ialah dengan memberi keutamaan kepada amalan sunat berbanding amalam fardu. Telah diuraikan dalam suatu hadits, barangsiapa yang melaksanakan solat 40 hari bersama imam dan mendapati takbiratul ihram, ditulis baginya dua jaminan surat kebebasan, (yaitu) bebas dari api neraka dan sifat munafiq.
“Sesiapa solat kerana Allah empat puluh hari dengan berjemaah, dan sempat mendapat takbir pertama maka dicatat baginya dua kebebasan ; bebas dari api neraka dan bebas dari sifat munafik.” (Sahih Sunan Tirmidzi)

Hal ini dinyatakan oleh Prof. Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili dalam sebuah khutbah di Masjid Dzun Nurrain. Tambah beliau lagi, mendirikan solat lima waktu bersama imam sahaja, tanpa melakukan solat sunnah satu malam pun, lebih baik daripada mengerjakan solat sunnah, namun menyia-nyiakan shalat fardu yang lima waktu. Ini bukan berarti kita memandang remeh terhadap shalat tarawih. Akan tetapi seharusnya seorang Muslim itu menggabungkan keduanya, memberikan perhatian khusus terhadap hal-hal yang fardu (solat lima waktu), baru kemudian melangkah menuju amalan sunnah.

Solat pada hakikatnya merupakan simbol persatuan dan keharmonian interaksi sosial. Para jamaah solat, rukuk dan sujud kepada Allah menghadap ke arah kiblat yang sama dan menyeru kepada Allah Yang Esa.

Mekanisma ibadah secara berjemaah ini memberi kesempatan kepada umat Islam untuk berkomunikasi, saling berkenalan, saling berbincang, dan tolong-menolong antara mereka. Ibadah jemaah ini memberi manfaat dan faedah yang besar kepada umat Islam. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Dr. Salih bin Ghanim Sadlan ialah membantu golongan yang lemah, memberi pelajaran kepada orang yang jahil, melembutkan hati dan menampakkan kebesaran Islam. Tegas beliau lagi dalam buku Shalatul Jamaah Hukmuha wa Ahkamuha wat Tanbih Ala Ma Yaqa’u fiha min Bida’ wa Akhta’ (Bimbingan Lengkap Solat Jemaah Menurut Sunnah Nabi, terjemahan Abu Ihsan al-Atsari).

Solat Aidil Fitri meraikan kejayaan Ramadan

Lanjutan dan kemuncak tahunan dari ibadah solat fardu berjemaah di masjid, diikuti mengimarahkan sebulan Ramadan menghidupkannya dengan solat dan bacaan al-Qur’an. Kemuncak dari acara tahunan ini ialah solat Aidil Fitri di tanah lapang bersama-sama kaum Muslimin. Semua umat Islam digalakkan memenuhi kawasan solat baik yang muda mahupun tua, lelaki mahupun perempuan, semuanya sekali. Hatta anak-anak kecil dan wanita yang tidak boleh bersolat juga digalakkan hadir untuk mendengar khutbah hari raya.

Antara hikmahnya adalah untuk menampakkan syiar-syiar Islam, kebaikan dan doa-doa orang Islam. Manakala orang-orang yang berjalan kaki menuju ke tempat solat dianjurkan melaungkan takbir dengan penuh semangat menggambarkan kemenangan dan kegembiran setelah sebulan berjuang melawan hawa-nafsu, lapar dan dahaga. Ini semua ada syiar Islam yang perlu dipraktikkan.

Usaha menghidupkan sunnah bertakbir sudah ada di negeri-negeri tertentu. Mereka bertakbir beramai-ramai dari rumah ke rumah pada malam hari. Ada sedikit persamaan tetapi ia sebenarnya jauh berbeza dari sunnah Rasulullah SAW. Apa yang Nabi buat ialah Nabi keluar di pagi hari, berjalan sambil melaungkan takbir raya.

Berbeza dengan kebanyakan di kalangan kita, pada pagi raya lagu-lagu raya dipasang, di antaranya lagu-lagu yang sedih, dinyanyikan pula dengan anak-anak. Sepatutnya ketika di dalam kereta menuju ke tempat solat kita membuka tingkap dan melaungkan takbir agar syiar Allah SWT ini didengari.

Kalau mampu berjalan kaki semestinya itu lebih bagus, sambil melaungkan takbir dan menguatkan suara. Ini petunjuk dan contoh daripada Nabi. Cuma hari raya Aidil fitri, takbir itu selesai sebaik solat hari raya didirikan. Berbeza dengan hari raya Aidul Adha, sehingga ke hari-hari tasyrik. Kita bertakbir memuji Allah SWT.

Hari raya ialah hari untuk bergembira dan meraikan kemenangan. Sebaliknya yang berlaku pada hari ini, khususnya di daerah nusantara ini; hari raya adalah hari kesedihan dengan lagu-lagu sedih, drama-drama air mata dan ziarah kuburan. Ia jauh dari apa yang disunnahkan oleh Nabi SAW.

Siaran akhbar, Ahad 19 Ogos 2012
Meraih buah taqwa sesudah Ramadan Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 9:51 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.