Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Maksud Pemimpin Dalam Negara Demokrasi & Kaedah Komunikasi Yang Syar'i

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Dalam Islam seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW di dalam hadis yang umum,
أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا

Maksudnya: “Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar dan mentaati pemerintah, sekalipun yang menjadi pemerintah itu adalah hamba ‘abdi Habsyi (yang berkulit hitam).” (riwayat Abu Dawud)

Asas pemimpin adalah pemimpin yang tertinggi. Soal dia naik bagaimana; sama ada melalui demokrasi, peperangan, pembunuhan, rampasan kuasa dan sebagainya, sekiranya disebabkan hal itu dia naik sebagai pemerintah dan diiktiraf sebagai pemimpin maka dia adalah pemerintah dan pemimpin yang sah, wajib mentaatinya dalam hal yang ma’ruf. Itu adalah asas pemimpin.

Isu yang berlaku dalam negara demokrasi pada hari ini di mana mereka memberi pengiktirafan kepada pemimpin dalam dua jenis wilayah; wilayah ‘aammah (sebuah negara keseluruhannya) dan wilayah khaassah (kawasan tertentu di dalam dalam sebuah negara).

Pada zaman sahabat Nabi, ada gabenor dan ada khalifah. Walaupun Umar bin Al-Khatthab melantik Saad bin Abi Waqqash sebagai gabenor di Syam, tetapi perkataan Umar bin Al Khattab adalah perkataan pemerintah. Semua arahan datang daripada Umar sebagai khalifah dan pemerintah yang tertinggi. Semua wajib mentaatinya di dalam hal yang ma’ruf.

Pemimpin dalam negara demokrasi

Berbalik kepada sistem negara demokrasi. Pemerintah negara yang tertinggi adalah pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri. Walaupun ada perbahasan di kalangan ilmuan akhir-akhir ini tentang adakah Agong lebih tinggi, ada juga di kalangan peguam yang mengatakan perlembagaan nombor satu.

Mereka mengatakan perlembagaan adalah ulil amri jadi perlu taat kepada perlembagaan. Di dalam Islam tidak sedemikian. Pemimpin di dalam Islam bukan di atas kertas. Pemimpin adalah orang yang memiliki kuasa.

Sebab itu kata Nabi, taatilah pemimpin walaupun yang memimpin kamu adalah hamba abdi atau hamba Habsyi. Ini menunjukkan batang tubuh manusia. Sabda Nabi lagi,
تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

Maksudnya: “Dengar dan taatilah penguasa meskipun punggungmu dipukul dan hartamu diambil. Dengar dan taatilah!” (riwayat Muslim).

Walaupun ada pertikaian ulama tentang hadis ini, tetapi hadis ini adalah hadis yang sahih. Jadi pemerintah adalah yang memiliki kuasa tertinggi dalam sesebuah negara. Sekiranya dia melakukan perkara yang tidak elok, kita tidak boleh bersetuju dengannya dalam perkara tersebut, dan sekiranya dia melakukan perkara yang bermanfaat dan baik maka kita wajib mentaatinya.

Cara menegur pemimpin negara dan pemimpin negeri

Soal sekarang ini bagaimana cara untuk menegur pemimpin am (pemimpin negara) dan pemimpin di wilayah khas. Bolehkah pemimpin yang kecil ini kita menegurnya secara terang-terangan dan pemimpin negara kita menegurnya secara bersembunyi?

Lihat kepada dua keadaan dan dua isu yang berbeza. Secara asasnya, wajib menegur pemimpin negara secara sembunyi, dan dalam keadaan tertentu boleh menegurnya secara berhadapan dengannya.

Adapun yang bukan pemimpin negara, dari sudut kedudukan dia tetap lebih rendah daripada pemimpin negara. Adakah kita harus menegurnya secara terbuka? Teguran secara terbuka untuk kesalahan dan kesilapan yang dilakukan secara terbuka bagi selain daripada pemimpin yang utama adalah harus selama mana teguran tersebut bukan bersifat mengaibkan.

Contohnya dia melakukan perkara yang betul-betul bercanggah dengan syariat dan prinsip Islam sedangkan dia melakukannya di khalayak, seperti mendoakan pemimpin yang lebih tinggi supaya pecah perut, mendoakan laknat, menghina anggota polis dan perkara ini tersebar dengan cepat dan meluas di internet.

Dalam Islam sepatutnya kalau ingin berdoa (untuk pemerintah muslim) adalah mendoakan hidayah agar pemimpin ini beramal dengan Al-Quran dan As-Sunnah, menjadikan Al Quran dan As Sunnah itu sebagai pegangan dan ikutan. Maka disebabkan dia melakukan kesalahan tersebut secara terbuka di khalayak ramai dan ia boleh mempengaruhi masyarakat, maka teguran yang dilakukan terhadapnya adalah dengan menegur pada isu tersebut tanpa mengaibkannya.

Ini prinsip asas dalam menegur. Bukan tujuan untuk mengaibkannya. Adapun isu-isu seperti video atau gambar (peribadi) yang dikaitkan dengan tokoh-tokoh tertentu, ini haram untuk dibicarakan di khalayak ramai. Hal tersebut perlu diputuskan oleh pihak-pihak yang berwajib dalam memastikan perkara tersebut kerana ia termasuk dalam kategori yang mengaibkan. Penuntut ilmu jangan terlibat dalam hal yang seperti ini. Itu isu keperibadiannya yang haram kita dedahkan.

Tetapi jika isu yang mempengaruhi dan memberi masalah kepada ummah seperti isu K-Pop contohnya. Perkara ini perlu ditegur tetapi teguran yang dilakukan hendaklah tanpa mengaibkan dan bukan bertujuan menjatuhkan.

Tidak boleh menuding jari mengatakan semua itu kesalahan pemimpin tertentu. Sama juga isu Bertam Night. Tidak boleh mengatakan ini salah pemimpin pembangkang secara khusus. Kita mengatakan kesalahan majlis tersebut, soal siapa yang menganjurkan adalah bab kedua. Kita menjelaskan hukum dan prinsip agar orang memahami dan mengetahui kesalahan tersebut.

Saya nyatakan sekali lagi, disebabkan kita dalam sebuah negara yang demokrasi, pemimpin negara iaitu Perdana Menteri tetap yang tertinggi maka komunikasi dengan beliau sama seperti komunikasi yang diperintahkan dalam hadis Nabi SAW. Kita tidak boleh bersetuju dengan sikap sebahagian manusia akhir-akhir ini yang menyatakan bahawasanya oleh kerana kita mengamalkan demokrasi bererti kita tidak perlu ambil lagi apa yang Nabi perintahkan.

Kita hendaklah berusaha mengamalkan hadis Nabi sedaya mampu. Kita tidak boleh menyerahkan permasalahan ini kepada perkara-perkara mungkar seperti demokrasi kerana demokrasi bukan sistem Islam. Kita hendaklah berusaha meminimumkan kemudharatan sistem demokrasi setakat mana yang kita mampu.

Antara cara yang kita mampu adalah seperti kaedah menegur pemimpin di mana perkara itu mampu dikawal dan diselaraskan agar menyamai tuntutan hadis Nabi SAW. Selain itu adalah cara memilih calon, pendidikan perlu diberi kepada masyarakat.

Memilih calon bukan bergantung kepada wang ringgitnya, bukan kerana parti semata-mata, tetapi bergantung kepada apa yang dijelaskan oleh Allah dan Rasul di dalam Al- Quran.

Ini salah satu cara meminimumkan kemudharatan demokrasi, kerana demokrasi merupakan satu usaha barat dan yahudi untuk menghancurkan Islam dengan cara membiarkan orang awam memilih sesiapa sahaja yang mereka suka mengikut hawa nafsu; memilih kaum kerabat, orang yang pernah menolongnya, memilih kerana kepentingan peribadi dan sebagainya. Perkara ini yang sedang berada dalam politik semasa dan ini yang perlu kita tanggalkan dan buang semua.

Disebabkan hal yang berlaku seperti inilah saya mengatakan bahawa untuk memahami suasana politik pada hari ini, asas kaedah menegur pemimpin nombor satu adalah secara bersembunyi atau menggunakan saluran-saluran yang syar’i; bersendirian atau berhadapan dengannya, menemuinya ketika majlis atau pergi ke pejabat atau rumahnya, menghantar email, sms, mengutus surat dan sebagainya untuk menyampaikan apa yang hendak disampaikan.

Selain daripada itu, jika pemimpin melakukan kesalahan, teguran atas kesalahan tersebut seharusnya dibuat secara umum tanpa mengaitkan kesalahan tersebut dengan batang tubuhnya. Beginilah cara ulama dan ahli ilmu bercakap dan menasihati.

Begitu juga tokoh-tokoh daripada kalangan parti pembangkang. Walaupun sistem Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pemimpin, tetapi sistem demokrasi mengiktiraf mereka sebagai pemimpin di tempat mereka.

Maka asas untuk menegur mereka adalah dengan menegur kesilapan dan kesalahan mereka. Untuk menghubungkan kesalahan tersebut dengan diri mereka, teguran seperti itu kita perlu berhati-hati agar kita tidak terjebak dalam erti dan maksud hadis Nabi. Sebab dalam hadis Nabi menyebut pemimpin, dan sistem demokrasi mengiktiraf kedua-duanya sebagai pemimpin.

Memang jika melihat hadis Nabi kita harus mendahulukan pemimpin teratas, tetapi bukan bererti kita boleh mengaibkan pemimpin di kawasan atau negeri tertentu.

Wallaahua’lam.

Sumber: Ustaz Fathul Bari: Pemikiran Imam As-Syafie (part 6/6)
Maksud Pemimpin Dalam Negara Demokrasi & Kaedah Komunikasi Yang Syar'i Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 4:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.