Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Antara Adat Dan Syariat

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Perlu kita ketahui bahawasanya Islam merupakan agama yang berbeza daripada agama-agama yang lain. Di dalam Islam, kita ada asas untuk beribadat dan asas untuk beragama. Jika kita lihat agama Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan paderi-paderi dan rabai-rabai mereka sebagai tandingan-tandingan selain Allah SWT. Kerana itu Nabi SAW ketika menegur sahabatnya yang baru memeluk Islam yakni ‘Ady ibn Hatim RA, apabila dia datang kepada Nabi SAW dalam keadaan memakai salib, Nabi memintanya agar menanggalkan salib tersebut dan baginda SAW membacakan firman Allah,
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Ertinya: “Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan (tempat rujukan) selain Allah.” (surah At Taubah, 9: 31)

‘Ady Ibn Hatim RA tercengang dengan perkataan Nabi SAW, kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka.” Lalu Rasulullah SAW bersabda,
أليس يحلون لكم ما حرم الله فتحلونه، ويحرمون ما أحل الله فتحرمونه؟

Ertinya: “Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang Allah haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian pun mengharamkannya?” Beliau (‘Ady bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah SAW bersabda,

فتلك عبادتهم

“Itulah (yang dimaksudkan) beribadah kepada mereka.” (riwayat Ahmad, Tirmidzi, ‘Abd bin Humaid, Ibnu Abi Hatim, dan Ath Thabrani dari banyak jalur. Lihat Fathul Majid halaman 109, cetakan Darus Salam)

Mereka mendengar dan mengikuti perkataan orang-orang alim di kalangan mereka yang tidak selayaknya bercakap tentang agama Allah SWT dan mereka membiarkan orang-orang ini berkata-kata, seterusnya mengikuti tanpa menganalisa apa yang disampaikan.

Islam agama bermanhaj

Islam agama yang berbeza. Islam menetapkan prinsip, metodologi, garis panduan, tanda aras untuk memastikan amal perbuatan umatnya diterima oleh Allah SWT. Sebab itu jika dilihat dalam agama atau kecenderungan-kecenderungan yang lain sama ada ia dikaitkan dengan Islam atau pun ajaran-ajaran yang sesat, mereka bukan mengajak manusia kepada Allah dan kembali mencontohi Nabi SAW. Mungkin sebahagian mereka mengajak kepada Allah, tetapi pada masa yang sama mereka mengajak untuk mengikut cara imam-imam, tok guru, dan mursyid-mursyid mereka, bukan mengikuti cara Nabi SAW.

Berbicara tentang ibadat dan adat di bulan Ramadhan, cuba kita fikirkan mengapa semua umat Islam pada hari ini tertarik dengan Ramadhan, tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan kalau bukan kerana ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Nabi SAW yang datang menceritakan pelbagai kelebihan-kelebihan yang dikaitkan dengan Ramadhan, serta kelebihan bulannya. Antaranya seperti hadis yang berbunyi,
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

Ertinya: “Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah telah mewajibkan atas kalian berpuasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa terhalangi dari kebaikannya maka dia telah terhalangi (dari kebaikan).” (riwayat Ahmad dan an-Nasa-i. Dinilai sahih oleh Syaikh Albani)

Diceritakan juga kelebihan puasa itu sendiri yang tidak berkait pun dengan bulan Ramadhan, kelebihan berpuasa yang umum seperti dalam hadis yang lain Nabi berpesan kepada pemuda-pemuda,
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya.” (riwayat Al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400)

Diceritakan tentang kelebihan puasa yang seterusnya iaitu berpuasa khusus di dalam bulan Ramadhan, dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA,
من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan dan pengampunan daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Kemudian diceritakan pula kelebihan hari-hari di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak, dikaitkan dengan 10 hari yang terakhir, dikaitkan juga Ramadhan dengan Lailatul Qadar, hari tertentu yang dipetik khusus oleh Allah SWT dan kelebihannya disebut di dalam Al Quran,
إِنَّآ أَنْزَلْنَهُ فِى لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَآ أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌمِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَئِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِّنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam Al Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al Qadr itu? Malam Al Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (surah Al Qadr, 97: 1-5)

Bukan sekadar itu sahaja bahkan diceritakan pula kelebihan-kelebihan, amalan-amalan khusus di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak seperti membaca Al Quran. Dinyatakan pula oleh Nabi SAW secara umum di dalam hadis selain daripada Nabi menggunakan perkataan “man shaama ramadhan (sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan)”, datang dalam riwayat lain yang sahih, Nabi SAW bersabda “man qaama ramadhan (sesiapa yang menghidupkan Ramadhan)”.

Bukanlah Ramadhan dihidupkan dengan tidur, bukan dengan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi Ramadhan dihidupkan dengan akhlak yang mulia, ibadah, tauhid di dalam bulan tersebut. Sebab itu di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda,
الصيام جنة، فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل إني صائم

Ertinya: “Puasa itu perisai, jika seseorang di antara kalian berpuasa, janganlah berkata keji dan janganlah berkelahi, dan jika seseorang mencelanya atau memusuhinya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Maka kita pun tertarik dengan Ramadhan kerana ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Tetapi aneh, mengapa apabila kita hendak beramal dalam bulan Ramadhan, kita tidak bergantung pula kepada ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah? Ini persoalannya dan kembali kepada tajuk perbincangan kita pada hari ini; Ramadhan antara ibadat dan adat.

Beribadah mengikut petunjuk Allah & Rasul

Kalau kita tertarik untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan kerana ayat Allah SWT, kalau kita tertarik untuk mula berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana sabda Rasulullah, mengapa kita tidak tertarik untuk beramal dalam bulan Ramadhan sesuai dengan ayat-ayat Allah dan petunjuk Rasulullah SAW?

Hudzaifah Ibnul Yaman RA, sahabat Nabi pernah ditanya tentang siapakah orang yang paling dekat sikapnya, akhlak, perwatakannya, perbuatannya dengan Nabi SAW. Ini sahabat Nabi yang bertanya kepada sahabat Nabi yang lain. Lihatlah dan pelajarilah bagaimana cara sahabat Nabi bertanya, mereka tidak bertanya siapakah yang paling mirip dengan si fulan atau orang lain, tetapi mereka bertanya siapakah yang paling mirip dan serupa perangainya dengan Nabi SAW. Jawab Hudzaifah Ibnul Yaman,
“Aku tidak mengetahui seorang pun yang paling mirip petunjuknya dan sikapnya dengan Nabi SAW selain daripada Ibn Ummi ‘Abd (merujuk kepada Abdullah ibn Mas’ud RA).”

Apa yang hendak saya kisahkan ialah sikap para sahabat Nabi, mereka akan sentiasa berusaha dan berlumba-lumba untuk mendekati dan meniru setiap perkara yang dipraktikkan oleh Nabi SAW.

Praktikkan kaedah yang betul

Kita ada kaedah dalam memahami dan mempraktikkan Al Quran dan As Sunnah, tidak lain dan tidak bukan mestilah sesuai dengan petunjuk sahabat Nabi RA. Mereka adalah manusia yang lebih memahami tentang agama, mereka lebih faham tentang hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat Al Quran. Sebab itu Ibn Mas’ud RA ketika menceritakan tentang sahabat Nabi, katanya;
من كانَ منكم مُتأسياً فليتأسَّ بأصحابِ رسول ِاللهِ صلى اللهُ عليهِ وسلمَ, فإنهم كانوا أبرَّ هذهِ الأمةِ قلوباً، وأعمقـُها عِلماً، وأقلـُّهَا تكلـُّفَا، وأقومُها هَديَا، وأحسنـُها حالاً، اختارَهُمُ اللهُ لِصُحبةِ نبيِّهِ صلى اللهُ عليهِ وسلمَ وإقامَةِ دينِهِ، فاعرفوا لهم فضلـَهُم، واتـَّبـِعُوهم في آثارِهِم، فإنهم كانوا على الهُدى المُستقيم

Ertinya: “Sesiapa sahaja yang mencari contoh untuk diikuti, maka contohilah para sahabat Rasulullah SAW. Kerana merekalah orang yang paling baik hatinya di kalangan umat ini, paling mendalam ilmu agamanya, umat yang paling sedikit dalam berlebihan-lebihan, paling lurus bimbingannya, paling baik keadaannya. Allah telah memilih mereka untuk mendampingi Nabi SAW dan menegakkan agama-Nya. Ketahuilah keutamaan mereka, dan ikutilah jalan mereka. Kerana mereka semua berada pada shiratal mustaqim (jalan yang lurus lagi benar).” (Tafsir Al Qurthubi)

Jadi apabila kita bercerita tentang Ramadhan antara adat dan ibadat, asas kita adalah Al Quran dan As Sunnah dan asas dalam kita memahami keduanya adalah sahabat Nabi RA. Maka sudah pasti kita mampu membezakan di antara ibadat dan adat.

Hindari KUMAN

Saya selalu membawakan satu teori; teori K.U.M.A.N.. Lazimnya kuman merupakan sesuatu yang kita tidak mahu dan tidak suka serta perlu dijauhi. Maka apabila datang sahaja apa-apa ibadat atau perbuatan, semak dahulu dan hindari lima perkara ini.

K- kitab

Apabila kita bercerita tentang hadis Nabi atau apa-apa ibadah contohnya ibadah dalam bulan Ramadhan yang menurut sunnah, orang menolaknya dengan membawakan alasan dalam kitab itu bilang begini. Mereka berdalilkan kitab ciptaan manusia dan membelakangkan kitab Allah yakni Al Quran dan hadis yang sesuai dengan kefahaman sahabat Nabi SAW.

U- ustaz atau ulama

Ustaz atau ulama lebih diutamakan sesetengah manusia yang taksub berbanding Al Quran dan hadis. Menurutnya mustahil ustaz atau ulama tidak mengetahui Al Quran dan hadis, mustahil ustaz dan ulama itu tidak merujuk kitab, mustahil ustaz itu silap.

M- majoriti

Mereka melihat bilangan. Jika ramai orang mengamalkan sesuatu maka itulah yang diikutinya. Sedangkan kebenaran bukan terletak pada bilangan pengikutnya. Sebab itu Nabi SAW menyebut di dalam hadis,
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Ertinya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (riwayat Muslim no. 208)

Di dalam riwayat lain Nabi bersabda,
بَدَأَ الْإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَنِ الْغُرَبَاءُ؟ قَالَ: الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إِذَا فَسَدَ النَّاسُ

Ertinya: “Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana mulanya, maka beruntunglah al-Ghuraba’.” Ditanyakan kepada beliau, “Wahai Rasulullah, siapakah al-Ghuraba’?” Beliau menjawab, “Orang-orang yang soleh melakukan kebaikan dan selamat saat manusia dalam kerosakan.” (riwayat Imam Ahmad)

Maka kebenaran bukan bergantung kepada majoriti, dan bukan bergantung kepada bilangan ramai semata-mata.

A- Akal

Apabila kita mengatakan Nabi tidak pernah buat seperti ini, mereka menjawab apa masalahnya, amalan ini kelihatan baik. Mereka mengira sesuatu itu baik berdasarkan akalnya semata-mata. Akalnya didahulukan daripada Al Quran dan As Sunnah. Ali bin Abi Thalib RA pernah mengucapkan perkataan yang seringkali kita dengar,
لو كان الدين بالرأي لكان مسح أسفل الخف أولى من أعلاه

Ertinya: “Kalaulah agama ini dengan (berpandukan) akal, bawah khuf itu lebih layak disapu daripada atasnya.”

Sedangkan Nabi mengajar kita menyapu di bahagian atas khuf. Mengikut logik dan rasional akal, yang kotor adalah di bahagian bawah khuf, tetapi mengapa Nabi mengajar kita menyapu di bahagian atas. Begitu juga apabila terkentut, apa logiknya kita mengambil wudhu dengan berkumur-kumur, membasuh wajah, tangan dan sebagainya. Maka jelas di sini bahawa agama bukanlah bergantung dengan akal, tetapi agama berpandu kepada wahyu, dalil dan nas.

N- nenek moyang

Apabila kita memberikan dalil, mereka bertanya pula, jika dalil ini benar adakah orang-orang tua dulu semuanya masuk neraka? Ini masalah. Lupakah kita Allah SWT mencerca golongan-golongan Arab Jahiliyah di dalam firman-Nya,
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ

Ertinya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari nenek moyang kami.” “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?” (surah Al-Baqarah, 2:170)

Maka dari sini kita fahami bahawa alasan nenek moyang tidak relevan dan tidak boleh diterima. Saya tegaskan sekali lagi bahawa hanya dengan prinsip ini barulah kita boleh membezakan antara adat dengan ibadat, perkara yang disyariat dan perkara yang direkacipta oleh manusia. Dengan prinsip ini barulah kita dapat membezakan antara bid’ah dengan sunnah.

Siapa yang tidak berpegang dengan asas ini iaitu merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah sesuai dengan petunjuk para sahabat Nabi RA, dia akan mudah terdedah dengan hal-hal yang bercanggah dengan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam dalam beribadat dan beramal.

Wallahua’lam.
Antara Adat Dan Syariat Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 12:15 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.