Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Ramadhan; Mencari cinta, keredhaan Allah

Sunnah-Sunnah di bulan Ramadhan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Seperti yang telah kita maklumi dan fahami, apabila disebut perkataan sunnah maka ia merangkumi perkataan Islam secara menyeluruh, sebagaimana dijelaskan oleh Al Imam Al Barbahari rhm, maksudnya: “Sunnah itu adalah Islam dan Islam itu adalah sunnah.” (Syarhus Sunnah)

Maka apabila kita menceritakan sunnah-sunnah di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak, maka sebenarnya kita sedang membicarakan tentang apakah yang Islam anjurkan di dalam bulan yang mulia ini.

Begitu juga apabila para ulama memberikan pengertian ibadah, di antaranya Syaikh Al Hafidz Al Hakami menukilkan penjelasan Syaikhul Islam Ibn Taimiyah rhm. tentang erti ibadah iaitu, maksudnya: “(Ibadah ialah) Satu kata nama merujuk kepada setiap perkara-perkara yang Allah SWT cintai dan ridhai sama ada daripada perkataan atau perbuatan yang zahir mahupun batin.”

Atas dasar ini, untuk mengatakan sesuatu itu ibadah dan dikaitkan dengan Islam ataupun sunnah, maka sudah semestinya kita perlu mencari perkara apakah yang Allah SWT cintai dan redhai. Kerana itu dalam muqaddimah ini saya membawakan satu hadis daripada Nabi SAW, maksudnya:
Aku tinggalkan untuk kalian dua hal, kalian tidak akan sesat selama berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitabullah (Al-Qur’an) dan Sunnahku.” (riwayat Imam Al-Hakim)

Oleh itu di dalam perbahasan ini kita lebih fokus kepada pelaksanaan-pelaksanaan dan hadis-hadis Nabi SAW secara langsung yang boleh kita ambil faedah daripadanya.

Pengertian Puasa 

Setiap kita telah mendengar penjelasan ahli ilmu tentang pengertian puasa; dari sudut bahasa ia berasal daripada perkataan arab shaama (menahan diri daripada sesuatu), kerana itu orang yang berpuasa menahan diri daripada makan, minum, dan berjima’. Dan orang yang berdiam juga disebut sebagai berpuasa kerana menahan diri daripada bercakap. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud,
“Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan yang Maha Pemurah maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.” (surah Maryam, 19: 26)

Ia adalah perkataan Maryam. Maka apabila disebut perkataan berpuasa, ia membawa erti menahan diri; sama ada menahan diri itu merujuk kepada perkataan (tidak bercakap), perbuatan (tidak melakukan sesuatu), atau menahan diri daripada makan. Jadi asal maksud shaama dalam bahasa arab itu bererti menahan diri.

Tetapi puasa yang sedang dibicarakan sekarang ini dari sudut istilah syara’ adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Takrif ini dilihat sebagai takrif yang jaami’ dan maani’ iaitu terhimpun padanya perkara-perkara rukun yang berkaitan dengan ibadat puasa dan ternafi daripadanya perkara-perkara yang tidak perlu dinyatakan.

Kelebihan puasa

Kelebihan puasa sangat banyak antaranya seperti di dalam firman Allah SWT, maksudnya:
Dan berpuasa itu sangat baik bagimu jika kamu mengetahui.” (surah Al-Baqarah: 184)

Mengetahui dalam ayat di atas merujuk kepada beberapa perkara; yakni mengetahui kelebihan Ramadhan, mengetahui faedah Ramadhan untuk kesihatan, mengetahui faedah Ramadhan di akhirat kelak bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini, serta mengetahui faedah Ramadhan dan kesannya terhadap masyarakat, pendidikan dan akhlak.

Ini menunjukkan bahawasanya sesiapa yang ingin mendapat kebaikan dan faedah Ramadhan untuk diterjemahkan dalam kehidupannya mestilah dia perlu memiliki ilmu pengetahuan. Dia perlu berpuasa dalam keadaan berilmu, mengetahui hukum hakam tentang ibadah yang dilaksanakannya dalam bulan ini supaya dia mendapat kebaikan.

Jika seseorang itu tidak memiliki ilmu tentang berpuasa di bulan Ramadhan maka sudah semestinya dia akan jauh daripada kebaikan. Ini adalah proses-proses dan usaha dalam kita meneliti dan mengkaji apakah amalan yang Allah SWT cintai dan apakah amalan yang Allah SWT redhai.

Puasa mendekatkan diri kepada Allah. Puasa dapat mengawal syahwat. Seperti mana sabda Nabi SAW kepada para pemuda, maksudnya:
Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaknya dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya.” (riwayat Al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400)

Ini menunjukkan bahawasanya puasa mampu mengawal syahwat seseorang. Maka bagi pemuda-pemuda yang belum berkemampuan untuk bernikah, hendaklah mereka memperbanyakkan puasa.

Puasa menyelamatkan seseorang daripada neraka. Hal ini amat jelas dan hadis-hadis tentangnya sangat banyak antaranya apabila Nabi SAW menyatakan, maksudnya:
Apabila datang Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (riwayat Imam Al Bukhari)

Digambarkan di sini bahawasanya dengan kehendak dan izin Allah SWT, Allah SWT menjauhkan manusia daripada neraka-Nya pada bulan itu sendiri. Apatah lagi bagi orang yang mempraktikkan dan memanfaatkan bulan tersebut dengan ibadah-ibadah dan amalan-amalan yang soleh. Sabda Nabi SAW, maksudnya:
Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (riwayat Al-Bukhari no. 2628 dan Muslim no. 1153)

Hadis ini umum merangkumi apa jua jenis puasa, sama ada puasa sunat ataupun puasa wajib dan ia terkait dengan niat, yakni melakukannya pada jalan Allah (kerana Allah SWT semata-mata). Jadi kita tidak sabar menanti ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak.

Sabda Nabi di dalam hadis yang lain pula, diriwayatkan oleh Imam Ahmad rhm., maksudnya:
Puasa adalah perisai di mana seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka.” (riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

Puasa menjanjikan syurga. Sebagaimana hadis Abu Umamah RA bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang dapat memasukkan diriku ke dalam syurga.” Baginda menjawab, maksudnya: “Berpuasalah, tidak ada yang sama dengannya.” (riwayat an-Nasaa-i, Ibnu Hibban, dan al-Hakim)

Ini adalah antara kelebihan-kelebihan berpuasa, dan ini merupakan janji-janji Allah SWT di mana Allah SWT tidak akan menzalimi seorang pun daripada kalangan hamba-hamba-Nya. Maksudnya: “Dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang pun.” (surah Al Kahfi, 18: 49). Maka tawaran-tawaran yang penuh dengan kepastian ini hendaklah kita berusaha untuk mendapatkannya.

 

Pada hari ini kalau kita pergi ke kedai-kedai makan seperti Old Town, Paparich, Mc Donald, KFC dan sebagainya, kita belum melihat lagi makanan yang sebenar yang akan dihidangkan kepada kita. Kita hanya melihat menu sahaja. Gambaran makanan dalam menu itu kelihatan sedap dan menyelerakan. Ini tawaran-tawaran manusia kepada kita di atas muka bumi, mereka memberikan kita menu yang kelihatan sangat sedap tetapi apabila sampai makanan itu kepada kita, kadangkala rasanya tidak seperti yang digambarkan. Ini kerana tawaran manusia bersifat tidak pasti.

Kadangkala juga kita melihat seseorang itu wajahnya cantik dan elok, tetapi sikap dan akhlaknya bukan seperti manusia yang normal. Akan tetapi tawaran Allah SWT adalah syurga. Tawaran Allah SWT adalah membebaskan kita daripada neraka. Tawaran Allah SWT bersifat pasti dan ia bukan tawaran yang bersifat mainan bahkan tidak mungkin dapat digambarkan keindahannya dan kehebatannya. Inilah hebatnya tawaran Allah SWT dan Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya dan segala-galanya kembali kepada kehendak dan ketentuan Allah SWT.
Ramadhan; Mencari cinta, keredhaan Allah Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.