Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Perkara yang wajib ditinggalkan ketika berpuasa

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Apabila sudah mula berpuasa pada hari pertama, apakah perkara yang wajib ditinggalkan? Telah menjadi satu cara dan kaedah Nabi SAW apabila menjelaskan perkara-perkara yang dibolehkan dan perkara-perkara yang dilarang, Nabi mendahulukan dan mengutamakan penceritaan untuk menggambarkan tentang perkara yang dilarang terlebih dahulu sebab perkara yang dibolehkan terlalu banyak.

Datang seorang sahabat Nabi SAW kepada Nabi bertanya, “Pakaian apakah yang boleh aku pakai untuk berihram?” Nabi tidak terus menceritakan pakaian apa yang boleh dipakai ketika ihram tetapi Nabi mengkhabarkan pakaian apa yang tidak boleh dipakai agar diambil sebagai satu dasar prinsip yang mudah difahami. Setelah itu barulah Nabi menceritakan dalam riwayat yang lain pakai yang dipakai ketika ihram iaitu ar-ridaa (kain penutup bahu), kain di bawah dan an-ni’aal (selipar). Tetapi pada awalnya Nabi menceritakan perkara yang dilarang.

Dalam ibadah puasa ada banyak perkara yang boleh dibuat. Maka kita dahulukan penceritaan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan rasul-Nya terlebih dahulu.

Makan dan minum dengan sengaja

Perkara pertama yang membatalkan puasa secara jelas, iaitu makan dan minum dengan sengaja. Walaubagaimana pun sekiranya seseorang itu makan dan minum kerana terlupa atau tersalah maka tidaklah batalkan puasanya seperti mana sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Jika terlupa lalu makan dan minum hendaklah dia sempurnakan puasanya kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka jika seseorang itu terlupa dan telah makan dan minum sehingga kenyang sekalipun, puasanya masih sah dan dia perlu menyambung puasanya sehingga selesai kerana itu adalah anugerah daripada Allah SWT yang memberinya makan dan minum. Tetapi seseorang tidak dibolehkan buat-buat lupa dan makan, itu satu perbuatan yang haram dan membatalkan puasa.

Kedua, muntah dengan sengaja. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk mengqadha (menggantikan) puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadha (menggantikan) puasanya." (riwayat Imam Abu Dawud dll)

Ada orang yang menjaga badan (diet) dengan memuntahkan kembali apa yang dimakan. Sesudah makan sahur dia menjolok tekaknya untuk memuntahkan apa yang dimakan. Ini satu perbuatan yang membawa kepada pembatalan puasa dan wajib baginya mengqadha (menggantikan) puasa tersebut.

Ketiga, khusus bagi wanita yakni  haidh dan nifas. Ini khusus bagi orang yang uzur syar’i. Puasa wajib ditinggalkan bagi orang yang didatangi haidh dan nifas berdasarkan dalil-dalil yang sangat jelas seperti hadis Abu Sa’id Al-Khudri yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada para wanita yang bertanya tentang maksud kurangnya agama mereka, Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Bukankah wanita itu bila haid dia tidak solat dan tidak puasa?” Mereka menjawab, “Ya.” Rasulullah bersabda, “Maka itulah dari kekurangan agamanya.” (riwayat Imam Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis dari ‘Aisyah RA, wanita haid wajib mengqadha (mengganti) puasa yang ditinggalkannya, maksudnya:
“Kami mengalami haid pada masa Rasulullah SAW maka kami diperintahkan untuk mengqadha puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Shahih Jami’ no. 3514)

Keempat ialah Jima’ atau persetubuhan. Hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata, maksudnya: “Pernah datang seseorang kepada Rasulullah SAW kemudian dia berkata, ‘Ya Rasulullah binasalah aku!’ Rasulullah bertanya, ‘Apa yang membuatmu binasa?’ Orang itu menjawab, ‘Aku menjima’ isteriku di bulan Ramadhan’ (di siang hari). Rasulullah bersabda, ‘Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?’ Orang itu menjawb, ‘Tidak’.

Rasulullah bersabda, ‘Apakah kamu mampu memberi makan enam puluh orang miskin?’ Orang itu menjawab, ‘Tidak’ Rasulullah bersabda, ‘Duduklah’. Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirim satu dulang kurma kepada Nabi SAW. Rasulullah bersabda, ‘Bersedekahlah’, Orang itu berkata, ‘Tidak ada di antara dua tanah hitam ini (bumi Madinah) keluarga yang lebih miskin dari kami’. Rasulullah SAW pun tertawa hingga terlihat gigi manisnya lalu baginda bersabda, ‘Ambillah, berilah makan keluargamu.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawasanya para sahabat mengetahui bahawasanya berjima’ pada siang hari Ramadhan merupakan perkara yang membatalkan puasa. Sebab itu dia bertanya kepada Nabi apa yang perlu dia lakukan dan Nabi memberikan denda atau hukuman ke atasnya.

Kelima, suntikan yang berupa makanan. Apa-apa suntikan berbentuk makanan, vitamin yang membantu untuk mengenyangkan atau memberi tenaga kepada seseorang atau yang berfungsi seperti makanan turut diharamkan pengambilannya ketika berpuasa kerana ia dalam kategori mengenyangkan.

Selain itu terdapat juga perkara yang tidak membatalkan puasan, namun mengurangkan pahala berpuasa apabila kita melakukannya. Seperti mana kata Nabi SAW di dalam hadis, maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya itu, kecuali rasa lapar dan dahaga.” (riwayat Imam Ahmad)

Antaranya termasuklah meninggalkan perkataan keji. Sabda Nabi yang bermaksud’
“Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji.” (Sahih Al-Jami As-Saghir)
Perkara yang wajib ditinggalkan ketika berpuasa Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:00 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Muhammad Islakh27 July, 2012

    Assalaumualaikum ustaz...saya ingin bertanya dua soalan berkenaan dengan suntikan berupa makanan tu...Sekiranya seseorang itu meyuntik ubat-ubatan atas sebab kesihatan dan bukan untuk tujuan mengeyangkan atau memberi tenaga, adakah puasa akan terbatal?

    Soalan saya yang kedua...sekiranya seseorang itu sedang bersahur kemudian tiba2 azan subuh telah berkumandang sedangkan makanan tersebut masih belum habis dijamah...apa yang perlu dilakukan? Adakah makanan tersebut perlu dihabiskan atau ditinggalkan?

    ReplyDelete

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.