Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

UFB sedia debat @ muzakarah dengan Pemuda Pas

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Alhamdulillah, insya-Allah saya akan ke Adelaide, Brisbane, dan Sydney untuk beberapa hari; 7 – 17 Jun untuk program bersama-sama dengan penuntut-penuntut ilmu di sana, kembara ilmu Hadis 40 Imam An Nawawi rahimahullah dan juga beberapa kajian-kajian ilmu yang lain. Cuma sebelum keberangkatan saya dan sahabat, saya terpanggil untuk memberi beberapa ulasan dan komentar atas isu yang dibangkitkan oleh Dewan Pemuda PAS Gombak. Isu yang saya kira agak menyentuh kredibiliti Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU) dan juga seolah-olah bersifat mencabar apabila di dalam Harakah Daily beberapa hari lalu menyebut bahawasanya saya takut ataupun berdolak dalih untuk menyambut perdebatan yang ditawarkan oleh Pemuda PAS Gombak.


Komen dan pandangan saya terhadap kenyataan yang seperti itu; saya rasa kenyataan itu bersifat provokasi. Sebenarnya tidak ada istilah berdolak dalih dan juga tidak ada perasaan takut dengan cabaran-cabaran yang seperti ini kerana kita sebenarnya berbincang untuk mencari kebenaran yakni membezakan antara yang haq dan batil. Itu tujuan asas bermuzakarah berdalilkan firman Allah SWT, maksudnya:




“Hendaklah berjidal dengan mereka dengan cara yang terbaik.” (surah An-Nahl, 16: 125)



Cara yang terbaik tidak lain dan tidak bukan adalah berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Kalau dilihat kepada tajuk yang ditawarkan kepada kami, ia bersifat provokasi – “PAS Vs. UMNO : Siapa Sesat?”


Tajuk seperti ini bukan tajuk untuk mencari penyelesaian bagi isu, tetapi tajuk yang mencari siapa menang.


Kedua, berkenaan muzakarah. Sebenarnya yang memulakan tawaran untuk bermuzakarah adalah Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Prinsip saya dan sahabat-sahabat, kami menerima pelawaan beliau untuk bermuzakarah demi kepentingan Islam dan Melayu. Itu yang disebutkan secara jelas dalam akhbar Sinar Harian dan juga beberapa akhbar dan media tempatan. Itu tujuan asasnya dan kami menyambutnya dengan mengutus surat kepada mereka dan mungkin telah sampai kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kami menerima pelawaan beliau. Cuma di sana kami menggariskan sedikit prinsip dan kaedah untuk kita bermuzakarah menurut Islam.


Jadi kami berharap muzakarah itu berlangsung, muzakarah untuk mencari kebenaran bukan untuk mencari kemenangan, muzakarah yang berusaha untuk mengembalikan manusia agar mempraktikkan Al Quran dan As Sunnah sesuai dengan petunjuk Rasul SAW dan para sahabat RA. Itu sahaja yang kami inginkan, muzakarah yang tidak ada unsur emosi, tekanan dan sebagainya.


Adapun pihak pemuda PAS cuba membangkitkan beberapa isu apabila saya dikatakan menjadi panel (seperti di dalam Harakah Daily disebut saya menjadi pembahas utama) dalam program “PAS : Parti Ajaran Sesat” anjuran Kerajaan Negeri Terengganu.


Saya kira sebenarnya kerajaan negeri Terengganu bukan pemula kepada perkataan sesat dan menyesatkan. Kalau dilihat kembali dalam sejarah, isu sesat menyesatkan bermula daripada pelbagai pihak; ada dari PAS, ada daripada UMNO, masing-masing ada. Bahkan yang terkenal sesat menyesatkan orang dan seringkali melontarkan perkataan-perkataan kafir pada awalnya banyak daripada kalangan ahli-ahli atau ilmuan di dalam PAS.


Walaubagaimanapun secara munshif (insaf), moga-moga Allah SWT mengampuni apa yang telah berlalu. Kita berusaha untuk membuka ruang perbincangan yang baru, yang lebih kritis dan ilmiah.


Dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu (PAS: Parti Ajaran Sesat) saya dijemput untuk menjadi salah seorang panel untuk menjawab soalan. Mungkin saya bersetuju dan mungkin saya tidak bersetuju dengan tajuk yang digunakan. Isunya bermula apabila wujud pertengkaran antara beberapa orang tokoh politik dalam ADUN negeri Terengganu itu sendiri sehingga membawa kepada program-program yang seperti ini, saman menyaman dan sebagainya, wallahu-a’lam.


Saya seringkali menyebut secara jelas bahawa kita menyeru kepada menggunakan dan mempraktikkan lisan yang baik. Kami tidak suka dan tidak berminat apabila wujud di sana insan-insan yang tidak baik; mengata, mengeji, mengumpat, mengutuk dan sebagainya, itu perkara yang tidak kami minati dan sangat-sangat kami merasa kecewa dengan sikap ahli ilmu dan orang yang hendak membawa Islam yang bersikap demikian.


Kita hendak membawa Islam bukan setakat hukum hudud semata-mata, tetapi hukum Islam yang kita lihat lebih kaaffah (menyeluruh) merangkumi kesemuanya; akidah sebagai teras utama, syariah dan juga akhlak. Jadi akhlak juga perlu ada. Kata Nabi di dalam hadis,


أَكْمَلُ الْمؤْمِنِينَ إِيماناً أحْسَنُهُمْ خُلُقَاً




Maksudnya: “Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (riwayat At Tirmidzi)



Maka kita perlu tampilkan akhlak yang baik. Tajuk yang seperti ini tidak membawa kepada penyelesaian, sebaliknya yang datang mungkin membawa emosi, malah panel akan bersiap sedia dengan memastikan kami tidak sesat. Ini kita tidak inginkan.


Kita tidak ingin membahaskan siapa sesat, tetapi kita ingin membahaskan apa sumbangan kita untuk memastikan Islam itu tertegak di atas muka bumi. Kita berbicara tentang tanggungjawab yang perlu sama-sama kita fikirkan sama ada kita PAS, UMNO, atau PKR, yang penting kita individu muslim yang bertanggungjawab mengangkat dan mendokong agama Islam di atas muka bumi.


Saya tertarik dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir ketika kami bertemu dengan beliau baru-baru ini, beliau menyebut beberapa kali,




Perpaduan tidak akan dapat berlaku kecuali dengan mengembalikan seluruh masyarakat kepada Islam itu sendiri.”



Inilah kenyataan beliau. Walaupun mungkin ada perkataan beliau yang kita tidak setuju, akan tetapi dalam bab ini, kenyataan beliau perlu dijadikan sebagai contoh teladan. Gunakanlah pendekatan wasathiyah dalam erti kata mengembalikan masyarakat kepada Al Quran dan As Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabat RA.


Begitulah sedikit respon saya kepada sahabat-sahabat saya pemuda PAS, saya tidak mengatakan ingin menolak 100% atau mengatakan tindakan mereka tindakan yang tidak bijak, tidak baik, dan sebagainya, cuma apa yang ingin saya katakan di sini ialah masanya kurang sesuai, kami menunggu muzakarah bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, dan setelah selesai muzakarah tersebut barulah kita memikirkan perdebatan dengan Dewan Pemuda PAS Gombak, juga tajuk-tajuk yang perlu kita bicarakan.


Kita duduk berbincang dengan cara bersaudara, ilmiah, tanpa emosi dan bukan untuk memenangkan parti, tetapi untuk mengangkat kedudukan Islam.


Terima kasih dan doakan semoga perjalanan kami dalam kembara ilmu di Adelaide ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan ilmu Allah SWT dapat disampaikan di atas muka bumi ini.


Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :


http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=SnMOHgQsAKs

UFB sedia debat @ muzakarah dengan Pemuda Pas Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 10:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.