Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Kerajaan Malaysia tidak melaksanan Islam?

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:


Saya hendak merujuk kepada tahaluf siyasi yang dikatakan oleh ustaz tadi. Pada hari ini dalam BN, UMNO bertanding 117 kerusi, MCA 40 kerusi, MIC lebih kurang 12 kerusi dan selebihnya adalah parti-parti lain. Tetapi apa yang diamalkan oleh tahalluf siyasi parti pembangkang ini 67 parti PAS, 80 PKR yang liberal dan selebihnya DAP 47 kerusi. Cuma satu soalan saya, bagaimana dengan komen mengatakan tidak boleh menyokong UMNO kerana UMNO tidak melaksanakan dasar Islam? Mereka mendakwa mereka hendak melaksanakan hudud di Kelantan tetapi kerajaan persekutuan tidak membenarkan. Minta ustaz ulas.


Jawapan:


Kita berikan contoh yang paling mudah. Kerajaan melarang demonstrasi dan melarang masuk ke Dataran Merdeka, tetapi mereka masuk juga. Kalau kerajaan tidak membenarkan perlaksanaan hudud mengapa mereka tidak laksanakan sahaja? Mengapa mereka mengatakan bahawasanya kerajaan tidak membenarkan? Sedangkan mereka boleh meneruskan demonstrasi walaupun ianya diharamkan, malah beratus-ratus polis menyekat tetapi mereka boleh merempuh. Setakat melaksanakan hudud di Kelantan siapa yang berani kacau? Bahkan saya yakin orang-orang Islam di Kelantan akan bangkit mempertahankannya. Tetapi mereka tidak melaksanakannya.


Saya bukan hendak mengatakan Kelantan tidak bersungguh (melaksanakan hudud) dan sebagainya, wallahua’lam, itu niat dan tujuan manusia masing-masing. Cuma apabila kita katakan kerajaan tidak melaksanakan Islam, ia satu kenyataan yang tidak adil.


Saya tertarik dengan satu soalan yang diajukan kepada saya ketika memberi ceramah di Melaka baru-baru ini, seorang saudara bertanya, “ustaz, saya memang rasa saya banyak buat salah dan dosa kalau mengikut cakap ustaz tadi. Tetapi untuk berhadapan dengan tuduhan orang PAS, saya terpaksa mengenepikan peribadi saya sebagai seorang Islam. Contohnya mereka mengatakan orang umno tidak islamik berbanding orang PAS dari segi penampilan; pakaian, tiada serban dan janggut. Tetapi jika dilihat dari segi ucapan, orang umno lebih islamik. Demi menjawab tuduhan-tuduhan mereka saya terpaksa mengenepikan sifat-sifat kemuliaan Islam itu demi untuk menepis fitnah-fitnah mereka yang pura-pura Islamik. Disebabkan hal itu kami kelihatan tidak Islamik. Jadi bolehkah kami jentera parti umno melawan pembangkang dengan mengenepikan nilai Islam tadi walaupun dalam hati kami rasa bersalah?” (lihat soalan: http://www.youtube.com/watch?v=SQqhLqQCYlk&feature=share )


Saya katakan kepadanya hadis tadi, setiap manusia ada kekurangan dan kelemahan. Mereka mungkin menang dari sudut etika berpakaian dan penampilan. Kita perlu bermuhasabah dan memperbetulkan kembali etika dan cara pemakaian kita agar menepati nilai-nilai Islam. Kita pula mungkin memiliki adab yang lebih baik seperti tidak bersangka buruk dan tidak mengkafirkan orang, adapun mereka yang berserban, berjubah, mengkafirkan orang. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Tidak boleh kita merasa hanya dengan penampilan semata-mata bererti Islam kita sudah sempurna. Itu pandangan yang sangat tidak adil.


Saya melihat UMNO kadangkala mengambil langkah terlalu berhati-hati sehingga mereka meletakkan seluruh urusan mengurus agama itu pada satu agensi iaitu JAKIM. JAKIM yang bergerak merata ceruk itu sebenarnya mewakili UMNO cuma mereka tidak menggunakan nama UMNO. Idea, pemilihan pengarah dan sebagainya ditentukan oleh siapa? Bukan MIC, Koh Tsu Koon, atau Chua Soi Lek yang masuk campur dalam pemilihan jawatan di dalam JAKIM.


Saya berpendapat walaupun UMNO hendak berhati-hati tetapi UMNO harus melakukan perubahan, tidak boleh terus seperti itu kerana orang tidak nampak bahawa JAKIM itu adalah pelaksana kepada agenda UMNO. UMNO perlu jelaskan kerana di dalam perlembagaannya sudah tertulis hendak mempertahankan agama, bangsa dan negara. Jangan bercakap tentang bangsa dan negara sahaja, perlu bercakap tentang agama juga.


Ini satu muhasabah yang perlu sama-sama kita terima. Kita perlu tampilkan dan tunjukkan kerana orang sudah mengata dan menuduh, walaupun kita ingin berhati-hati kerana tidak mahu dilihat mempergunakan agama untuk kepentingan politik dan tidak ingin sehingga melaungkan slogan pangkah kami masuk syurga.


Petang tadi wartawan menghubungi saya bertanya isu pangkah parti masuk syurga ini. Sebab ahli majlis fatwa Masjidil Haram, Prof. Dr. Sulaiman As-Saloomi pada minggu lepas ditemuramah oleh Prof. Dr. Sidek Baba. Beliau ditanya isu parti politik mendakwa bahawa jika mengundi mereka masuk syurga, beliau mengatakan perkara itu haram di sisi Islam, boleh membatalkan Islam dan sebagainya.


Komen saya mudah sahaja, saya memberi dua contoh kenyataan; pertama, bank Islam mengeluarkan iklan sesiapa yang melabur dalam bank Islam mendapat pahala. Kedua, bank islam mengatakan sesiapa yang melabur dengan cara yang halal beroleh pahala. Kenyataan mana yang tepat? Kenyataan pertama secara jelas menunjukkan bank islam mempergunakan Islam untuk kepentingan bank dan perniagaannya. Begitu juga parti tersebut tidak boleh menggunakan kenyataan sedemikian; sokong kami masuk syurga, atau dapat pahala.


Sepatutnya dia berkata, sesiapa yang memperjuangkan dan mengangkat kedudukan Islam insya-Allah layak masuk ke syurga Allah SWT. Iklan seperti ini tiada masalah, sesiapa boleh mengatakannya. Tetapi apabila kita menawarkan pahala atau syurga kepada penyokong parti kita bererti kita telah mempergunakan agama untuk kepentingan politik. Ini tidak boleh di dalam Islam kerana tidaklah perkataan Islam ini disandarkan melainkan ia menggambarkan kelompok tersebut berusaha untuk mempraktikkan Islam secara syumul.


Ketika memperkatakan hukum Islam, apa yang orang fahami daripadanya adalah hukum hudud. Di manakah hukum hakam akidah dan ibadahnya? Ibadah pula ada banyak jenis; solat, puasa, zakat, haji. Bukankah agensi-agensi kerajaan telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang asas dan telah menegakkan syiar-syiar ini? Mengapa kalian tidak pernah mengiktiraf dan tidak berterima kasih?


Iktiraflah kebaikan yang dilaksanakan walaupun saya sendiri akui dari segi sistem perundangan belum lengkap dan kukuh, tetapi dalam urusan lain kerajaan sudah melaksanakannya. Cara pembangkang melihatnya seolah-olah kerajaan tidak pernah berbuat apa-apa untuk Islam.


Penyelesaiannya kembalilah kepada ayat Al Quran, maksudnya:




“Janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (surah Al Maidah, 5: 8)



Begitu juga jika hendak menghukum pihak lawan, kita tidak boleh menghukum mereka semua sesat secara semberono. Detilkan satu persatu di dalam bab apa mereka salah dan berikan justifikasi, dengan cara itu barulah kita boleh berlaku adil sebelum memberi hukuman. Kita berbicara untuk perpaduan bukan untuk mencipta perpecahan.


Wallahu-A’lam.


Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :


UFB - Benarkah Kerajaan Malaysia Tidak Laksana Dasar Islam..??

http://www.youtube.com/watch?v=-GZvMQfVnwk

Kerajaan Malaysia tidak melaksanan Islam? Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:01 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.