Top Ad unit 728 × 90

Terbaru

recent

Ulama Tidak Keluar Jihad Pun?

Jihad merupakan satu perkataan yang disebut oleh Allah S.W.T berulang kali di dalam Al Quran dan di sebut juga Nabi S.A.W di dalam hadis-hadis baginda. Bahkan Nabi menjelaskan kedudukan dan kelebihan jihad serta ancaman-ancaman kepada orang-orang yang tidak terlintas di dalam hatinya keinginan untuk berjihad.
Kata Nabi bermaksud; “Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang (berjihad), maka dia mati atas satu cabang nifaq (kemunafikan)"  (riwayat Imam Muslim)

Jihad mempunyai pra syaratnya iaitu jihad bukan sembrono seperti bukan dengan cara mengangkat pedang lalu kita keluar memerangi sesiapa yang kita lihat sesiapa yang menyelisihi Islam ataupun sesiapa yang menyatakan sesutau perkataan yang tidak baik tentang Islam.

Syarat Jihad

Jihad mempunyai dawabitnya. Ianya mesti datang melalui arahan daripada pemerintah. Ini adalah asas jihad. Oleh kerana itu Nabi S.A W menyebut tentang, barang sesiapa yang keluar berjihad tetapi tanpa pemerintah, maka dia akan mati dalam keadaan mati jahiliah.

Cuma apa yang berlaku pada hari ini pemerintah itu siapa? Ini adalah persoalan yang di bicarakan oleh ahli ilmu. Contohnya adakah pemerintah itu bersifat seperti pemerintah yang di tempat kita atau pemerintah di tempat yang diperangi.

Soal para ulama, siapakah di kalangan mereka yang keluar berjihad? Apabila ulama kita ini faham bahawa jihad mempunyai garis panduan, maka mereka mengikuti garis panduan tersebut. Al-Imam As-Syafie rahimahullah tidak pernah terkenal keluar berjihad. Ada di antara ahli ulama yang tidak dinukilkan daripada mana-mana satu peperangan pun antaranya ialah Al-Imam Al Syafie, Al Imam Nawawi, Al Imam Al Bukhari, Al Imam Muslim dan sebagainya. Ini berlaku kerana mereka faham bahawa jihad di sisi ahli sunnah wal jamaah mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi.

Allah S.W.T memberi permisalan atau persediaan contohnya apa yang berlaku di Palestin. Adakah ulama-ulama ahli sunnah wal jamaah meminta supaya rakyat Palestin itu berjihad? Perselisihan antara pemimpin di Palestin iaitu Fatah dan Hamas masih tiada penghujungnya serta mereka juga tiada persediaan untuk berjihad. Sekiranya tiada persediaan dalam berjihad tidak mungkin kita boleh berjihad.

Oleh kerana itu pada pertama kali timbulnya isu Palestin Syeikh Abdul Aziz Bin baz rahimahullah mengeluarkan fatwa iaitu mengadakan suatu perjanjian damai dengan Yahudi. Ketika itu beliau dikritik dengan ilmuan-ilmuan Islam di Timur Tengah yang lain.

Syeikh Abdul aAziz Bin Baz berkata, kalian duduk di negara-negara kalian, mengeluarkan fatwa dengan menyuruh rakyat Palestin berjihad sedangkan rakyat Palestin pada ketika itu tiada kelengkapan. Kalian membangkitkan semangat rakyat Palestin tanpa kalian berada dalam realiti waki’ rakyat Palestin.

Syeikh Abdul Aziz Bin Baz berdalilkan firman Allah S.W.T firmannya,
“Sekiranya mereka merendahkan sayap mereka untuk berdamai, maka berdamailah dengan mereka dan bertawakallah kamu kepada Allah”(Surah al-Anfal, ayat 61)

Ini kerana Allah telah memberitahu bahawa Yahudi adalah golongan yang penipu. Oleh itu kita bertawakal kepada Allah kerana untuk kemaslahatan. Walaupun Allah telah memberi tahu bahawa Yahudi golongan penipu tetapi Nabi S.A.W tetap membuat perjanjian damai dengan mereka. Nabi masih menyusun piagam Madinah, menjaga hak-hak mereka. Walaupun Allah telah berfirman,
“Yahudi dan Nasrani tidak akan meredhai kalian semua wahai umat Islam selama mana kamu tidak mengikut agama mereka” (surah al-Baqarah, ayat 120)

Nabi tetap membuat perjanjian ini kerana untuk kemaslahatan dalam keadaan langkah berjaga-jaga dan berhati-hati. Ini adalah pendapat para ahli ilmu.

Cuma pada hari ini keterikatan dalam bentuk pecahan-pecahan dunia Islam iaitu negara-negara bergantung kepada pemimpin. Jika pemimpun kita menghantar tentera kita sebagai tentera pengamanan, matinya akan disebut sebagai mati dalam keadaan kita berjihad ke jalan Allah S.W.T kerana ianya adalah arahan daripada pemerintah.

Jihad ini juga mestilah di dalam jiwa setiap individu muslim perlu lahir dan wujud perasaan ingin berjihad di jalan Allah S.W.T. Cuma disesuaikan dengan pra syarat-pra syarat yang telah digariskan dan dibahaskan secara terperinci tentangnya oleh para ilmuan dan ahli sunnah wal jamaah.

Apabila perkataan jihad ini disalah-guna seperti ada di antara golongan-golongan tertentu menggunakan perkataan jihad ini sehingga membawa fitnah kepada pendakwah-pendakwah Islam yang hendak mengulas dan membahaskan tentang jihad.

Jadi jihadlah sekadar mampu. Jika kita hendak mengambil takrifan jihad itu sendiri ianya mempunyai jihad besar dan jihad kecil. Jihad besar ialah membabitkan penglibatan kita di dalam peperangan yang cukup syarat-syarat yang di gariskan oleh Nabi S.A.W.

Manakala jihad kecil kita boleh lihat secara umum seperti tafsiran dari Al Imam Ibn Kathir pada ayat;
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (Surah al-Taubah, ayat 41)

Syeikh Muhammad Ibn Salleh al-Uthaimin menafsirkan ayat ini katanya, “berjihadlah dengan harta kamu”. Maksudnya di sini menunjukkan prioriti itu diberikan kepada harta selama mana tumpah darah itu perlu diminimamkan. Dahulukan jihad dengan harta kemudian barulah kita susuli jihad dengan jiwa dan nyawa.

http://www.youtube.com/watch?v=3FKPrEgXoLQ
Ulama Tidak Keluar Jihad Pun? Reviewed by Fathul Bari Mat Jaya on 6:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Dr. Fathul Bari © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Abu Aqif Studio

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.